Friday 25 February 2011

SAMBUNGAN 2: APAKAH KANDUNGAN UTAMA KALIMAH LA ILAHA ILA LAAH?



UNSUR KETIGA:
Tidak Mencari Hukum Selain Hukum ALLAH
Makna bahagian ketiga “Tidak mencari hukum selain hukum ALLAH” iaitu: Tidak tunduk kepada segala bentuk hukum-hukum selain dari hukum ALLAH, dan segala perintah selain dari perintah ALLAH, dan semua bentuk sistem hidup selain dari sistem hidup yang ditetapkan oleh ALLAH, dan semua perundangan selain dari Syariat ALLAH, dan semua bentuk undang-undang ciptaan manusia atau tradisi atau ikutan atau manhaj (kaedah atau pendekatan) atau fikrah (pemikiran) atau nilai yang tidak dibenarkan oleh ALLAH. Sesiapa yang menerimapakai mana-mana bahagian yang disebut di atas samada ketika dia menjadi pemerintah (atau penggubal undang-undang) atau pun semasa dia menjadi rakyat, tanpa kebenaran daripada ALLAH, maka dia telah membatalkan bahagian yang paling asas daripada unsur-unsur Tauhid, kerana dia mencari hukum selain dari hukum ALLAH, sedangkan Hak Menetapkan Undang-undang serta Syariat Yang Tertinggi merupakan hak mutlak ALLAH semata-mata. Firman ALLAH:

{Hukum itu tidak lain hanya, bagi ALLAH. Dia menyuruh supaya kamu jangan menyembah, melainkan kepadaNya. Demikianlah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui}(Yusuf:40).

Bahagian ini sebenarnya merupakan tuntutan mengEsakan ALLAH dari aspek rububiyah dan ilahiyyah. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan seseorang dari hamba-hamba ALLAH (manusia) sebagai penggubal syariat dan perundangan, yang berkuasa memberikan arahan serta larangan, menghalalkan dan mengharamkan mengikut apa yang individu tersebut inginkan, dan dia berikan hak ketaatan kepada individu tersebut, sekalipun individu tersebut menghalalkan perkara-perkara haram, seperti perbuatan berzina, riba’, arak, perjudian, mengharamkan perkara-perkara halal, seperti talak (cerai nikah) dan poligami, menggugurkan kewajipan seperti Khilafah, Jihad, Zakat, amar makruf nahi munkar serta pelaksanaan hukum-hukum ALLAH. Sesiapa yang menjadikan individu atau golongan yang mempunyai ciri-ciri yang disebut di atas sebagai pemerintah serta penggubal undang-undang, maka hakikatnya dia telah menjadikan individu atau golongan tersebut tuhan yang dipatuhi setiap perintahnya, serta diikuti setiap peraturannya. Ini disebut dalam Quran dan dijelaskan pula oleh sunnah. Surah At-Taubah menyebut berkaitan dengan Ahli Kitab :

{Mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) menjadikan ahli-ahli agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain ALLAH, dan Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan}(At-Taubah:31).





Kenapa mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) dikatakan menjadikan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan padahal mereka tidak sujud dan beribadat kepada pendita-pendita itu sama seperti menyembah berhala-berhala?


Persoalan ini dijawab sendiri oleh Rasulullah salalahu alaihi wa sallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi, dan Ibnu Jarir iaitu kisah masuk Islam Aadi Ibnu Hatim At-Thoiie, yang telah menganut agama Nasrani pada zaman jahiliyyah. Beliau datang ke kota Madinah, dan orang ramai heboh memperkatakan mengenai kedatangannya. Dia masuk untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan di lehernya tergantung sebuah kayu salib yang diperbuat daripada perak. Ketika itu Baginda sedang membaca ayat ini:
{Mereka menjadikan ahli-ahli agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain ALLAH…}. Maka berkata Aadi: kami tidak sekali-kali menyembah mereka (pendita-pendita itu)! Nabi s.a.w pun membalas: “Memang kamu menyembah mereka, kerana mereka telah mengharamkan yang halal serta menghalalkan yang haram, kemudian arahan mereka ini dipatuhi. Itulah satu bentuk ibadat kepada mereka”.
Ibnu Kathir menyebut: beginilah kata Huzaifah bin Al-Yaman, dan Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini:
Bahawa ahli-ahli kitab itu mengikuti pendita mereka dalam perkara-perkara yang mereka halalkan dan haramkan. As-Suddiy pula menyebut: orang ramai meminta nasihat padahal pendita-pendita itu tidak mengendahkan kitab ALLAH yang mereka sembunyikan di belakang mereka. Berkenaan perbuatan mereka ini ALLAH berfirman: {Padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa} iaitulah Tuhan yang jika Dia menghalalkan sesuatu maka perkara itu menjadi Halal, dan apa-apa yang Dia haramkan maka perkara itu Haram, dan apa-apa bentuk peraturan yang diletakkanNya wajib diikuti, dan hukum-hakamNya wajib dilaksanakan, Tiada Tuhan selainNya, Maha Suci ALLAH dari apa yang mereka persekutukan.

SAMBUNGAN 1: APAKAH KANDUNGAN UTAMA KALIMAH LA ILAH ILLA LAAH?


   Syiar “ربنا الله “ maksudnya ‘Tuhan kami ALLAH’ adalah satu bentuk pengistiharan pemberontakan serta penentangan terhadap  penguasa yang zalim di dunia ini.
    
 Oleh kerana matlamat inilah Nabi Musa a.s. menghadapi ancaman akan dibunuh, dan bangkit seorang pemuda yang beriman daripada kalangan kerabat keluarga Firaun lalu berkata:  


{Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: Tuhanku ialah ALLAH?!
                                                                                         (Al-Mu’min @Ghaafir:28).   

 Oleh kerana matlamat ini jugalah Nabi kita Muhammad salallahu alaihi wa salam serta para sahabat baginda menghadapi penindasan, penyeksaan dan pengusiran dari tanah air dan harta-benda..
 
{Mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, semata-mata kerana berkata: Tuhan kami ialah ALLAH}
 

                                                                                                               (Al-Hajj:40).  

UNSUR KEDUA:

Tidak Mengambil Selain ALLAH Sebagai Penolong (Wali)
     
  Makna bahagian kedua “Tidak mengambil selain ALLAH sebagai penolong (wali)” iaitu tidak sekali-kali menyerahkan AL-WALA’ (kesetiaan) kepada selain dari ALLAH dan partiNya. Bukanlah daripada ajaran Tauhid, seseorang mengaku bahawa Tuhannya adalah ALLAH, kemudian dia menghalakan kesetiaan, cinta serta sokongannya kepada selain ALLAH, barangkali kepada musuh-musuh ALLAH.
 Firman ALLAH: 

{Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin, pelindung, penolong). Dan sesiapa yang melakukan sedemikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari ALLAH dalam sesuatu apa pun.}                                          
                                                                                                              (Ali Imran:28).

  Sesungguhnya pengertian Tauhid yang hakiki bagi sesiapa yang beriman bahawa Tuhannya adalah ALLAH ialah: menyerahkan sepenuh kesetiaannya kepada ALLAH serta golongan yang diarahkan oleh ALLAH agar diberikan kesetiaan kita, sebagaimana firmanNya: 

{Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah ALLAH, RasulNya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dalam keadaan mereka tunduk (menjunjung perintah ALLAH). Dan sesiapa yang menjadikan ALLAH dan RasulNya serta orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ajaran) ALLAH itulah yang tetap menang.}
                                                                                                       (Al-Maidah:55-56).


  Di sini Al-Quran mencela golongan musyrikin apabila mereka membahagi-bahagikan (kesetiaan) hati mereka antara ALLAH Ta’ala dengan tuhan-tuhan tandinganNya yang mereka ambil daripada berhala-berhala, lalu mereka memberikan cinta dan kesetiaan sama sebagaimana mereka berikan kepada ALLAH.
 
{Ada di antara manusia yang mengambil selain dari ALLAH (menjadi) sekutu-sekutu ALLAH, mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai ALLAH; sedangkan orang-orang yang beriman itu sangat-sangat mencintai ALLAH s.w.t.
                                                                                          (Al-Baqarah:165).                                                                                                                       
 Sesungguhnya ALLAH tidak akan menerima sebarang bentuk perkongsian di dalam hati-hati hamba-hambaNya yang beriman. Maka tidak boleh dijadikan sebahagian hati untuk ALLAH dan sebahagian lagi untuk Thaghut, atau sebahagian untuk Khaliq (Tuhan yang menciptakan-ALLAH) dan sebahagian lagi untuk makhluk. Seluruh kesetiaan dan hati wajib diserahkan kepada ALLAH, Tuhan seluruh alam ciptaanNya serta semua urusan. Inilah perbezaan di antara orang mukmin dengan orang musyrik, orang mukmin menyerahkan diri kepada ALLAH, sepenuh Ubudiyah (pengabdian diri) bagi ALLAH semata-mata, sedangkan orang musyrik membahagikan (kesetiaan dan pengabdian) antara ALLAH dan selain ALLAH:



{Allah memberikan satu contoh perbandingan: seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa tuan-tuan yang berkongsi dan tuan-tuan itu saling bertentangan tabiat serta kemahuan, dengan seorang hamba yang dimiliki oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya? (Tentulah tidak sama). Segala pujian hanya bagi ALLAH. Bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) itu tidak mengetahui}
                                                                                                             (Az-Zumar:29).
 


APAKAH KANDUNGAN UTAMA KALIMAH LA ILAH ILLA LAAH ?


  Untuk menjelaskan lagi makna kalimah syahadah yang disebut pada artikel lepas, kita menyatakan bahawa: terdapat tiga unsur Tauhid sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran. Ini disebut dalam Surah Al-An’aam, sebuah surah yang memfokaskan pengukuhan asas-asas Tauhid.


Pertama: Tidak menjadikan yang lain dari ALLAH sebagai tuhan.  

{Katakanlah: Apakah aku akan mencari tuhan selain ALLAH padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu?!} 
                                                                                                        (Al-An’aam:164)

Kedua  : Tidak mengambil selain ALLAH sebagai penolong (wali).    
{Katakanlah: Apakah akan aku jadikan pelindung selain dari ALLAH yang menjadikan langit dan bumi, dan Dia yang memberi makan dan bukan Dia yang diberi makan?} 
                                                                                                           (Al-An'aam:14)

Ketiga  : Tidak mencari hukum selain Hukum ALLAH. 
   
{Maka patutkah aku mencari hakim selain daripada ALLAH, padahal Dialah yang telah menurunkan kepada kamu kitab (Al-Quran) yang jelas nyata (kandungannya) satu persatu?} 
                                                                                                      (Al-An’aam:114)  

   


UNSUR PERTAMA:

 Tidak Menjadikan Yang Lain Dari ALLAH Sebagai Tuhan

      Makna bahagian atau unsur yang pertama “Tidak menjadikan yang lain dari ALLAH sebagai tuhan” iaitu: Menghapuskan semua tuhan-tuhan yang didakwa ada dan disembah oleh manusia samada yang lama atau yang baru, di timur atau di barat, samada ia diukir daripada batu dan pokok atau pun daripada perak dan ketulan emas, atau pun ianya matahari dan bulan, atau ia terdiri dari kalangan jin dan manusia. Makna bahagian ini ialah menolak segala bentuk tuhan-tuhan selain dari ALLAH, serta mengistiharkan revolusi atau penentangan terhadap golongan angkuh yang mendewa-dewakan diri mereka secara yang tidak benar iaitu mereka yang mahu menjadikan hamba-hamba ALLAH (manusia) sebagai hamba dan khadam mereka.[1]

   Kalimah “لا اله الا الله“ merupakan satu Pengistiharan umum untuk membebaskan manusia daripada ketundukan serta peng’abdian diri, melainkan kepada Tuhan Yang Menjadikannya serta Penciptanya. Maka tidak sepatutnya muka-muka menyerahkan diri, atau kepala-kepala ditundukkan, atau anggota-anggota badan diturunkan (direndahkan), atau hati-hati merasa gerun, kecuali kepada Tuhan yang memelihara serta menjaga langit dan bumi.

   Kerana inilah Nabi salallahu alaih wa sallam mengakhiri surat-suratnya kepada raja-raja, gabenor-gabenor dan pembesar-pembesar Nasrani (Kristian) dengan ayat Al-Quran:

{“Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan ALLAH, dan kita tidak sekutukanNya dengan sesuatu pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan-tuhan selain ALLAH. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.
                                                                                                             (Ali Imran:64).

 



Saturday 19 February 2011

MASYARAKAT IMAN dan AKIDAH


  Satu fakta yang tidak ada keraguan serta tidak menjadi bahan perselisihan lagi bahawa masyarakat Islam adalah sebuah ‘masyarakat mukmin’ (masyarakat yang beriman kepada ALLAH).

  Asas utama bagi masyarakat ini yang merupakan tiang-tiang berdirinya ialah akidahnya: Akidah Islamiyah. Oleh itu tugas utama masyarakat Islam ialah menyemai akidah ini, menjaganya, meneguhkannya dan memeliharanya serta meratakan cahayanya ke seluruh alam.

Akidah Islamiyah terdiri daripada keimanan kepada ALLAH, para malaikat, para rasul-rasulNYA dan Hari Akhirat :

{ Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada ALLAH, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membeza-bezakan antara seorang rasul dengan rasul-rasul yang lain”. Mereka berkata lagi: ‘Kami dengar dan kami taat. (Kami memohon) keampunanMU wahai Tuhan kami, dan kepadaMU jualah tempat kembali”}
                                                                                                         (Al-Baqarah:285).

   Ini merupakan akidah yang membina bukan meruntuhkan, akidah yang menyatukan bukan yang memisah-misahkan, kerana ia dibina berasaskan warisan risalah Ilahiyyah (keTuhanan) keseluruhannya, di atas keimanan kepada semua para rasul-rasul yang diutuskan ALLAH

 { Kami tidak membeza-bezakan antara seorang rasul dengan rasul-rasul yang lain }
                                                                                                      (Al-Baqarah: 285)


                Tema Akidah Islamiyah-Dua Kalimah Syahadah

   Akidah ini memiliki tema atau syiarnya yang tersimpul pada :
                                                                                                                     
Kesaksian bahawa tidak ada TUHAN melainkan ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad utusan ALLAH’.



        Akidah ini menggambarkan perspektif atau pemikiran dan pandangan orang-orang muslim mengenai alam semesta serta Pencipta alam semesta ini, dan mengenai alam semulajadi serta apa yang tersirat di sebalik alam semulajadi ini, dan mengenai kehidupan serta apa yang akan berlaku selepas hidup ini, dan mengenai alam nyata serta alam yang tidak nyata. Dengan perkataan lain, akidah ini membicarakan berkenaan : makhluk dan Khaliq (Pencipta), dunia dan akhirat, serta Alam Syahadah (alam nyata) dan Alam Ghaib.
     
  Alam semesta ini yang terdiri daripada bumi dan langitnya, benda-benda keras dan tumbuhannya, haiwan serta manusia, jin dan malaikat…. Kejadian alam semesta ini bukanlah dijadikan daripada tanpa sesuatu dengan tiba-tiba, dan alam ini tidaklah menciptakan dirinya sendiri. Mesti ada pencipta baginya yang bersifat Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Gagah, Maha Bijaksana menciptanya dan menjadikannya seimbang, kemudian menetapkan kedudukan setiap kejadian dengan kebijaksanaanNya, setiap inci ada timbangannya, dan setiap gerakan yang berlaku adalah menurut kadar serta perhitungan yang sesuai. Pencipta itu adalah ALLAH, yang setiap perkataan malahan setiap huruf dalam alam yang wujud ini menunjukkan KehendakNya serta KekuasaanNya, IlmuNya dan Kebijaksanaannya.

 { Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi ALLAH; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya }
                                                                                                              (Al-Israa’:44).

   Pencipta Yang Maha Tinggi ini Dialah Tuhan langit dan bumi, Tuhan sekalian alam, Tuhan setiap sesuatu, yang Tunggal lagi Esa. Tiada sekutu baginya pada zatNya dan pada sifatNya dan af’al (perbuatan)Nya. Dialah satu-satunya Tuhan yang menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, yang memiliki Asmaul Husna (nama-nama yang paling baik) serta sifat-sifat yang paling tinggi. Tidak ada sesuatu yang setara denganNya dan tiada lawan bagiNya, tidak beranak dan tidak berbapa, tiada yang serupa denganNya dan tiada tandingan bagiNya.

{ Katakanlah: “Dialah ALLAH, Yang Maha Esa.” ALLAH adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” }              
                                                                                                                                          (Al-Ikhlas:1-4)

{ Dialah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}
                                                                                                                (Al-Hadiid:3)

{ Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (zat, sifat-sifat, dan pentadbiran)Nya, dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.}
                                                                                                             (Asy-Syura:11)

    Semua benda-benda yang ada di alam semesta yang hebat ini, yang di atas serta yang di bawah, yang senyap dan yang berbunyi, menjadi bukti bahawa ada satu akal yang mentadbir urusannya, dan ada satu tangan yang mengendalikan putarannya, dan alam ini diarahkan oleh satu pengemudinya kerana jika tidak, sudah tentu akan berselerak sistemnya, terlepas teraju pemerintahannya, kacau-bilau sukatannya, hancur binaannya, oleh sebab apa yang pasti berlaku kesan daripada perselisihan antara akal-akal yang tidak sependapat dalam mengarahkannya, dan pertentangan antara tangan-tangan dalam menggerakkannya… Benarlah firman ALLAH Yang Maha Agung menyebut:

 { Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari ALLAH, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka Maha Suci ALLAH, Tuhan yang memiliki ‘Arasy dari apa yang mereka sifatkan
                                                                                                          (Al-Anbiya’: 22)

dan firman ALLAH Yang Maha Mulia:

{ALLAH tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan besertaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan sendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci ALLAH dari apa yang dikatakan oleh mereka itu
                                                                                                       (Al-Mukminun:91)

 serta firmanNya:

 { Katakanlah: Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama ALLAH, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada ALLAH yang memiliki Arasy (dan kekuasaan yang mutlak). Maha Sucilah ALLAH dan tertinggilah setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu. }
                                                                                                          (Al-Isra’:42- 43).

       

   Satu hakikat yang tidak ada keraguan padanya: bahawa semua makhluk yang bernyawa yang ada di langit dan di bumi adalah hamba-hamba ALLAH, dan segala benda-benda yang ada di langit dan di bumi adalah milik ALLAH. Tidak ada sesiapa atau sebarang benda samada yang berakal atau yang tidak berakal menjadi sekutu bagi ALLAH, atau menjadi anak ALLAH, sebagaimana dakwaan golongan penyembah berhala dan yang seumpamanya,

 {Dan mereka berkata: “ALLAH mempunyai anak”. Maha Suci ALLAH (dari apa yang mereka katakan), bahkan Dialah Yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya. ALLAH jualah yang menciptakan keindahan langit dan bumi, dan apabila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya berkata “Jadilah engkau!” lalu jadilah ia.}
                                                                                                 (Al-Baqarah: 116-117).

   Sesiapa yang menyeleweng daripada hakikat ini di dunia, akan disingkap kepadanya hakikat ini di akhirat nanti, dan dia akan nampak hakikat ini sejelas-jelasnya seterang matahari.

 {Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai hamba. Demi sesungguhnya! ALLAH mengira mereka dan menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat seorang diri.}                         
                                                                                                          (Maryam:93-95).

      Maka bukanlah suatu yang aneh jika Pencipta Yang Maha Hebat ini, Tuhan Yang Paling Tinggi ini, Dialah satu-satu yang layak ditujukan kepadaNya IBADAH serta ketaatan yang mutlak, dengan perkataan lain: “Layak menerima kemuncak penyerahan diri serta kemuncak cinta. Maka pengertian yang tergabung dari penyerahan diri sepenuhnya dan cinta sepenuh hati inilah yang kita namakan IBADAH”.[1]

    Inilah makna kalimah “لا اله الا الله “ ‘Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH’ iaitu benda atau sesiapa selainNya tidak layak ditujukan Ibadah (peng’abdian)…atau ia juga bermaksud tidak ada yang layak menerima segala bentuk penyerahan diri dan segala bentuk kecintaan kecuali Dia(ALLAH)… Dia sahaja satu-satu yang tunduk kepadaNya seluruh anggota, dan sujud kepada keagunganNya dahi-dahi, lidah-lidah bertasbih dengan memujiNya, serta patuh kepada hukumNya hati, akal dan tubuh badan.

   Dia sahaja satu-satu yang hati-hati menghalakan cinta sepenuhnya, Dia yang tunggal dengan kesempurnaan seluruhnya, iaitu kesempurnaan yang dikasihi serta dikasihi hambaNya. Dialah sumber segala keindahan, iaitu keindahan yang disukai dan disukai hambaNya. Dialah yang memberikan segala nikmat, dan sumber segala kebaikan.

 {Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu adalah daripada ALLAH
                                                                                                              (Al-Nahl:53), 

dan kebaikan serta nikmat sentiasa disukai dan orang yang melakukannya pun disukai oleh orang ramai.

    Makna “لا اله الا الله “ ialah menolak segala bentuk penyerahan serta penyembahan kepada setiap kuasa selain dari kekuasaan ALLAH, setiap hukum selain hukum ALLAH, setiap perintah selain perintah ALLAH. Kalimah ini juga bermakna tidak memberikan kesetiaan kecuali kepada ALLAH dan tidak mencurahkan kecintaan kecuali kepada ALLAH dan pada jalanNya sahaja.




[1] Rujuk makna Ibadah dengan terperinci dalam buku kami “Ibadah Dalam Islam” – Qaradawi.

Thursday 17 February 2011

WAHAI MUSLIM, APA ITU ISLAM?


ISLAM : CARA DAN SISTEM HIDUP YANG BERLANDASKAN AKIDAH
 

  
 Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh. Salam sejahtera buat para pembaca budiman. Kini Nizamul Hayah tampil untuk menyuarakan aspirasi-aspirasi perjuangan Islam; iaitu sebuah Ad-Din, cara hidup yang syumul, sempurna dan amat kita bangga-banggakan. Subhanallah , segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan bagi kami nikmat Islam dan Iman.

Apa Itu Islam?

   Al-Imam Taqiyuddin An-Nabhani , seorang ulama umat ini telah mendefinasikan ISLAM: “ Cara hidup/Ad-Din yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW, yang mengatur hubungan manusia dengan Khaliq (Pencipta)nya, hubungan manusia dengan dirinya, dan hubungan manusia dengan manusia lain. Hubungan dengan Khaliqnya tercakup dalam aspek akidah dan ibadah. Hubungan manusia dengan dirinya tercakup dalam aspek akhlak, makanan dan pakaian. Hubungan di antara sesama manusia pula tercakup dalam aspek mu’amalah dan uqubat (hukuman jenayah)”.
(petikan buku Nizamul Islami)

  Manakala Al-Imam Hassan Al-Banna, seorang mujaddid yang tidak asing lagi bagi kita memperkenalkan: “ Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh bidang kehidupan, iaitu:
1)     Negara dan tanah air atau kerajaan dan umat.
2)     Akhlak dan kekuatan atau rahmah dan keadilan.
3)     Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.
4)     Material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan.
5)     Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
6)     Sepertimana ia adalah akidah yang sebenar dan ibadah yang sahih, sama sahaja tanpa ada perbezaan.”
(Prinsip pertama dari usul 20)



  Oleh itu Nizamul Hayah merumuskan bahawa Islam adalah sebuah sistem kehidupan bagi manusia yang diciptakan oleh Allah, untuk menjalani kehidupannya di dunia ini. Sistem ini mengatur hubungan tiga hala manusia iaitu dengan Penciptanya, dengan dirinya sendiri, dan dengan sesama manusia. Ini dapat diperincikan dengan memahami bahawa hubungan manusia dengan Khaliqnya adalah mencakupi akidah yang sebenar dan ibadah yang sahih. Manakala hubungan manusia dengan dirinya sendiri terkandung dalam akhlak, makanan dan pakaian. Hubungan sesama manusia pula merangkumi aspek negara, kerajaan dan umat, kebudayaan, ilmu dan undang-undang, material dan kekayaan, serta jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.