Monday 25 July 2011

PEMBINAAN UMAT : LANDASAN PERUBAHAN MASYARAKAT

Kemestian Pembinaan
Masyarakat merupakan kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka diatur oleh satu peraturan (nizam)tertentu. Apabila masyarakat sekular yang menerapkan ideologi Kapitalisme hendak diubah menjadi masyarakat yang menerapkan Islam, maka harus ada perubahan unsur-unsur tersebut. Pemikiran yang berkaitan dengan keyakinan dan cara penyelesaian masalah di tengah-tengah masyarakat mesti diubah ke arah akidah dan syariat Islam. Emosi redha-benci dan senang-sedih mereka juga perlu diubah menjadi redha dan senang jika apa yang berlaku di dalam masyarakat sesuai dengan Islam; serta menjadi benci dan sedih bila tingkahlaku pemerintah dan masyarakat, serta peraturan yang diterapkannya bukan berasal dari Islam.


Jika keinginan majoriti atau kehendak dominan yang ada di tengah masyarakat mahukan perubahan ke arah Islam, maka saat itulah perubahan akan terjadi; rakyat mahukan penerapan Islam, menjadikan orang-orang yang membela Islam sebagai pemimpinnya, dan peraturan Islam pun ditegakkan.
Bagaimana mewujudkan pemikiran dan perasaan yang sama bahawa peraturan Islam merupakan satu-satunya solusi bagi seluruh masalah kehidupan? Jawapannya hanya satu: pembinaan (tasqif).
Cuma realiti menunjukkan bahawa masyarakat berbeza-beza sikapnya terhadap perubahan. Ada masyarakat yang memiliki idealisme tinggi, tahu visi dan misi, serta memahami bagaimana cara melakukan perubahan dari kehidupan jahiliah kepada kehidupan Islami. golongan ini bersedia untuk mengorbankan waktu, tenaga, dana, bahkan jiwanya demi menegakkan Islam. Merekalah massa berkualiti. Orang-orang yang memiliki karakter sedemikian perlu dibina dan diarah untuk menjadi golongan massa berkualiti ini. Caranya: mereka dibina secara intensif dalam pembinaan kader (tasqif murakkaz).
(Seminar: satu bentuk tasqif jama'ie)
Tidak semua orang dapat dibina secara intensif. Kita perlu sedar bahawa ada orang yang masanya amat terbatas, tidak dapat mengikuti aktiviti pembinaan intensif dan tetap. Bahkan ada juga golongan masyarakat yang tidak peduli terhadap sebarang perubahan. Prinsip yang dipegangnya: 'yang penting aman, usaha lancar, dan anak-anak dapat sekolah'. Orang-orang sedemikian tidak dapat dipaksa menjadi penggerak perubahan. Namun mereka harus tetap menjadi pendukung perubahan. Setidak-tidaknya, jangan sampai mereka menjadi penghalang perubahan. Oleh itu, pembinaan tetap harus diberikan kepada golongan ini; bukan secara intensif, tetapi pembinaan secara umum. Inilah pembinaan umum (tasqif jama'ie).
Kesimpulannya, jelaslah bahawa realiti memestikan adanya pembinaan intensif dan pembinaan umum dalam melakukan perubahan dari masyarakat sekular menjadi masyarakat Islam.

Pembinaan Nabi saw.
Nabi merupakan contoh terbaik dalam melakukan pembinaan untuk mengubah masyarakat Arab jahiliyah menjadi masyarakat Islam. Sejak baginda diutus menjadi rasul, baginda segera menyeru dan menyampaikan wahyu yang diterimanya. Didakwahnya isteri baginda, Khadijah, lalu isterinya beriman. Baginda juga berdakwah kepada anak saudaranya, Saidina Ali, maulanya Zaid bin Harithah, dan teman rapatnya Abu Bakar.
Baginda terus-menerus menyeru Islam. Di antara manusia ada yang beriman, ada pula yang kafir. Orang-orang yang beriman secara berterusan dibina oleh Nabi. Di antaranya pembinaan intensif di rumah Arqam bin Abi Arqam. Al-Quran dibacakan kepada mereka, jiwa-jiwa mereka dibentuk hingga menjadi suci, Al-Quran dan As-Sunnah pun ditanamkan dalam diri mereka. Baginda membina mereka, solat bersama mereka, bertahajjud di malam hari, dan para sahabat pun mencontohinya. Ruhiah mereka dipenuhi dengan solat dan bacaan Al-Quran. Kajian terhadap Al-Quran dan renungan terhadap makhluk-makhluk Allah mempengaruhi fikiran mereka. Baginda membentuk akal para sahabat dengan makna Al-Quran dan lafaznya, serta pemahaman Islam dan pemikirannya. Baginda mencetak mereka menjadi orang-orang yang sabar dan taat dalam keikhlasan total kepada Allah, Zat Yang Mahaperkasa. Allah SWT dengan indah mengabadikan hal ini:
Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajar kepada mereka Al-Kitab dan Hikmah (Sunnah). Sesungguh mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Al-Jumuah:2)


Para sahabat yang dibina oleh Rasulullah saw tidak terhenti setakat kesolehan individu. Sebaliknya mereka juga membangunkan sebuah kelompok dakwah di bawah pimpinan Nabi. Kemudian, seperti disebut dalam surah Al-Maidah, ayat 56, mereka digelarkan oleh Al-Khaliq (Tuhan Maha Pencipta) sebagai hizbullah (parti Allah); mereka melakukan dakwah, menyedarkan masyarakat, dan membinanya.
Abu Bakar misalnya, berdakwah kepada rakan bisnesnya, jirannya, dan masyarakat sekitarnya. Melalui beliaulah beriman Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqash, dan Thalhah bin Ubaidillah. Nabi mengutus individu tertentu untuk membina mereka. Khabab bin Arath misalnya, ditugaskan oleh Rasulullah untuk membina Zainab binti Khattab bersama suaminya, Said. Malahan, lama sebelum baginda berhijrah, baginda mengutus Mus'ab bin Umair untuk membina masyarakat di Madinah.
Nabi bukan hanya melakukan pembinaan intensif. Baginda juga melakukan pembinaan umum bagi masyarakat. Buku-buku sirah menuliskan bahawa Rasulullah saw pernah menjamu-makan keluarganya. Di situ baginda menyampaikan Islam, dan mengajak mereka beriman kepada Allah SWT dan RasulNya.
Rasulullah saw juga pernah mengumpulkan masyarakat Arab dari pelbagai golongan di Bukit Sofa. Maka hadirlah masyarakat Banu Abdul Muttalib, Banu Abdil Manaf, Banu Zuhra, Banu Taim, Banu Makhzum dan Banu Asad. Di sana baginda menyampaikan Islam.




Arah Pembinaan
Apabila kita mengkaji aktiviti Nabi dalam membina masyarakat, kita mendapati pembinaan yang baginda lakukan bukanlah sembarangan, bukan merupakan pembinaan yang berbentuk sekadar pemindahan ilmu atau kemahiran, dan bukan pula pembinaan untuk sekadar melepaskan kewajipan. Pembinaan yang dimaksudkan adalah pemindahan saqafah (tasqif). Perubahan yang mesti terjadi adalah perubahan sikap dan tingkahlaku.
Pembinaan intensif (tasqif murakkaz) merupakan pembinaan untuk mencetak kader dakwah. Orang-orang yang dibina secara intensif sudah sewajarnya faham bahawa proses pembinaan tersebut ditujukan untuk memahami Islam yang akan diterapkan dan dibawa di tengah-tengah masyarakat. Pembinaan intensif diarahkan untuk membentuk keperibadian Islam (syakhsiyah islamiyyah) para kader dakwah. Di sana mereka dibina pola berfikirnya menjadi pola fikir islami (aqliyyah islamiyyah) dengan kajian dan pengisian pemahaman; pola jiwanya juga dibina menjadi pola jiwa islami (nafsiyah islamiyyah) melalui keyakinan terhadap idea-idea Islam yang dikaji serta pengamalannya. Oleh itu, pembinaan tersebut dilandaskan kepada:
1. Metode fikriyyah. Ertinya, pemikiran Islam disampaikan dengan disertai dalil dan cara mengeluarkan maknanya (istinbath), atau dengan faktanya yang berkaitan dengan realiti. Dengan cara demikian, para kader benar-benar memahami apa yang dikaji.
2. Landasan iman. Ertinya, pemikiran Islam (baik akidah mahupun syariatnya) yang sedang dikaji diyakini sebagai pedoman hidup, diyakini berasal dari Allah SWT yang bersumber dari wahyu. Pembinaan intensif bukan sekadar untuk kepuasan intelektual semata-mata.
3. Amal. Ertinya, apa yang telah diketahui diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Setiap hukum syariat yang dipelajari dan belum dapat diterapkan harus diperjuangkan untuk dapat diterapkan.
4. Dakwah. Ertinya, pemahaman yang telah dipelajari bukanlah untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan kepada masyarakat.

Dengan pembinaan intensif seperti ini akan muncul kader-kader dakwah yang rajin beribadah di masjid (ahlul mihrab) yang sekaligus merupakan pahlawan di medan jihad (bathalul jihad), pejuang (mujahid) dan ahli ibadah (a'bid). Mereka menyatu dalam kelompok dakwah dengan sepenuhnya. Para kader inilah yang akan berjuang menyatukan Islam dengan umat di tengah-tengah masyarakat melalui berbagai pembinaan, baik secara intensif mahupun secara umum.