Monday 18 April 2011

OPTIMIS TERHADAP PENEGAKKAN KHILAFAH




Sikap yang Benar terhadap Khilafah Islamiyah

Para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah menggariskan beberapa ketetapan utama berkaitan Khilafah Islamiyah.
1. Melantik seorang khalifah untuk memegang tampuk kekuasaan Khilafah Islamiyah adalah wajib (Imam al-Qurtubi, al-Jami lil Ahkamil Qur'an, 1/264-265; Imam Zakaria An-Nawawi, Syarhul Muslim, 8/291; dan lain-lain).
2. Melantik seorang khalifah setelah berakhirnya zaman nubuwwah adalah kewajipan paling penting (Imam al-Haisami, Sowa'iq al-Muhriqah,1/25).
3. Allah SWT telah menjanjikan Kekhalifahan kepada kaum mukmin sehingga akhir zaman (Imam asy-Syaukani, Fathul Qadir,7/241).
4. Menegakkan kekuasaan Islam (Khilafah Islamiyah) termasuk wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah yang paling agung (Imam Ibnu Taimiyyah, Siyasah as-Syar'iiyah, muka 161).
Dalam konteks 'menegakkan Khilafah Islamiyah' sebagai kewajipan syariah, sikap sejati seorang Mukmin adalah tunduk, patuh, dan berusaha menunaikan kewajipan tersebut dengan sebaik-baiknya. Seorang Mukmin dilarang mempersoalkan, meragui, menggugat atau mengelak dari kewajipan agung ini dengan alasan apa sekalipun. Sebab, kewajipan menegakkan Khilafah Islamiyah tidak ada bezanya dengan kewajipan-kewajipan lain seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Engkar tehadap kewajipan menegakkan Khilafah samalah dengan keengkaran terhadap kewajipan solat, zakat dan kewajipan-kewajipan syariat yang lain.
Dalam aspek janji Kekhilafahan kepada kaum mukmin, maka seorang Mukmin wajib meyakini sepenuhnya bahawa Allah SWT pasti akan menunaikan janji-janjiNya (Qur'an; 18:108; dan 73:18). Ini kerana percaya terhadap janji Allah merupakan sebahagian daripada Iman, dan siapa sahaja yang engkar atau ragu terhadap janji Allah SWT, maka keimanannya telah rosak.
Dalam konteks menegakkan Khilafah Islamiyah sebagai kewajipan paling penting dan wasilah paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka seorang Mukmin sepatutnya 'lebih memfokaskan diri' pada kewajipan ini dan menjadikannya persoalan utama. Sebab, Khilafah Islamiyah adalah satu-satunya thariqah syar'iyyah (metode syar'ie) untuk menerapkan Islam secara sempurna sekaligus membentuk kepimpinan kaum muslimin di seluruh dunia. Tanpa Khilafah Islamiyah, Islam tidak akan berjaya diterapkan secara sempurna; serta kaum muslimin tidak akan mampu memimpin dan mengatur dunia dengan syariah Islam.
Malangnya, sikap-sikap yang benar ini telah mula dilupakan oleh kaum muslimin. Puncanya adalah pelbagai, bermula dari ketiadaan kefahaman, kedangkalan berfikir, keimanan yang mulai merapuh sampailah kepada usaha-usaha penyesatan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam.

Sikap Pesimis dan Putus Asa

Sikap putus asa ini tercermin pada keyakinan, sikap dan ucapan mereka yang menyatakan bahawa perjuangan menegakkan kembali Khilafah Islamiyah adalah utopis. Akibatnya, mereka acuh tak acuh dan cenderung mencemoh perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyah. Padahal,sikap putus asa dan mencemoh kewajipan yang ditetapkan oleh Allah termasuk perbuatan dosa dan mencerminkan kelemahan iman. Nabi saw bersabda:


وَثَلَاثَةٌ لَا تَسْأَلْ عَنْهُمْ رَجُلٌ نَازَعَ
اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ رِدَاءَهُ فَإِنَّ رِدَاءَهُ
الْكِبْرِيَاءُ وَإِزَارَهُ الْعِزَّةُ وَرَجُلٌ شَكَّ
فِي أَمْرِ اللَّهِ وَالْقَنُوطُ مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ



"Ada tiga golongan manusia yang tidak akan ditanya pada Hari Kiamat iaitu: manusia yang mencabut selendang Allah dan sesungguhnya selendang Allah adalah kesombongan dan kainnya adalah al-izzah (keperkasaan); manusia yang meragui perintah Allah; dan manusia yang putus harapan dari rahmat Allah".
(HR Ahmad, Tabrani dan Al-Bazzar. Al-Haisami menyebut bahawa perawi thiqah. Diriwayatkan Al-Bukhari dalam Al-Adab dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahih-nya)

Menegakkan Khilafah Islamiyyah adalah satu kewajipan syariah. Sikap seorang Mukmin sejati ketika diperintahkan Allah dan RasulNya untuk melaksanakan sebuah kewajipan adalah : kami dengar dan taat; bukan sebaliknya meragui, mencemoh atau menganggapnya utopis. Sikap mencemoh dan menganggap utopis perintah menegakkan Khilafah merupakan satu bentuk keraguan terhadap perintah Allah.
Memang benar, menegakkan Khilafah Islamiyyah adalah satu aktiviti yang susah dan sukar. Namun adalah mengelirukan, jika seorang Muslim pesimis atau berputus asa untuk tegaknya Khilafah Islamiyyah, atau menyatakan bahawa perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah satu utopis atau khayalan. Ini kerana menegakkan Khilafah Islamiyyah adalah kewajipan syariah sekaligus janji Allah SWT atas kaum Mukmin.

Tidak Menggunakan Kekerasan

Sesungguhnya Islam telah menjelaskan metode syar'ie untuk menegakkan Daulah Islamiyyah secara terperinci. Metode ini merupakan hukum syariah yang mengikat kaum Muslimin hingga ke akhir zaman. Seorang muslim dituntut untuk sentiasa bersabar dan beristiqamah di atas manhaj itu.
Malangnya ramai pembawa dakwah Islam yang tidak sabar menempuh manhaj yang sangat terang itu. Dengan alasan terlalu panjang dan lama, akhirnya mereka meninggalkan manhaj yang sahih dan beralih ke jalan keganasan. Bahkan sebahagian kaum Muslimin meyakini bahawa mengangkat senjata dan jihad adalah thariqah syar'ieyyah untuk menegakkan Daulah Islam. Mereka beralasan bahawa dominasi dan pengaruh sistem kufur ke atas kaum Muslimin sangat kuat dan mencengkam seluruh sendi kehidupan. Sementara itu, perubahan dengan cara damai belum membuahkan hasil yang diinginkan. Organisasi dan gerakan Islam yang diharapkan mampu mengubah keadaan masyarakat dan negara pula memilih berkerjasama dan memperkuatkan pemerintahan kufur. Dalam keadaan seperti ini, sangat sukar mengharapkan perubahan dengan cara damai. Menurut mereka, jihad dan mengangkat senjata adalah pilihan yang paling masuk akal. Apalagi Nabi saw menetapkan jihad fisabililah sebagai amal yang paling utama setelah iman.
Memang benar, dakwah Islam belum membuahkan hasil yang memuaskan. Dominasi sistem kufur dan orang suruhannya hari demi hari dirasakan semakin kuat. Malah parti dan gerakan Islam berjaya diselewengkan oleh musuh-musuh Islam hingga melencong jauh dari tujuan dan arah dakwah Islam. Namun realiti seperti ini bukanlah dalil syar'ie dan sekali-kali tidak boleh dijadikan sebagai dalil untuk merumuskan hukum dakwah. Ini kerana realiti adalah manath al-hukm (objek hukum), bukan masdar al-hukm (sumber hukum). Hukum dakwah tidak boleh digali dari realiti, tetapi mesti di-istinbath (digali) dari dalil-dalil syarak iaitu Al-Quran dan Sirah Nabi saw.
Nabi saw tidak pernah menggunakan kekerasan untuk menegakkan Daulah Islamiyah. Baginda dan para Sahabat juga tidak beralih ke jalan kekerasan ketika dominasi dan kooptasi kaum kafir Quraish semakin kukuh. Baginda memilih thalabun nusrah (meraih dukungan) sebagai metode untuk meraih kekuasaan Islam, dengan bertumpu pada aktiviti pembinaan kader dan berinteraksi dengan masyarakat. Baginda tetap bersabar dan konsisten menempuh manhaj tersebut hingga datang pertolongan Allah SWT. Sikap inilah yang harus dijadikan pegangan dan dalil untuk menetapkan hukum dakwah, bukan realiti yang sentiasa berubah-ubah.
Berkenaan dengan kewajipan mengangkat senjata dan jihad fisabililah pula, sesungguhnya tiada seorang pun meragui bahawa mengangkat senjata di hadapan penguasa dan jihad di jalan Allah adalah dua aktiviti yang disyariatkan dalam Islam. Cuma, dua aktiviti tersebut bukanlah thariqah yang ditetapkan Nabi saw untuk menegakkan Daulah Islamiyah. Demikian juga mengangkat senjata terhadap penguasa yang terjatuh dalam kekufuran yang nyata adalah hukum syariah untuk menyelesaikan masalah penyimpangan penguasa, bukan thariqah untuk menegakkan Khilafah. Menjadikan dua aktiviti tersebut (jihad dan mengangkat senjata) sebagai thariqah untuk menegakkan Daulah Islamiyah jelas merupakan tindakan meletakkan hukum syariah bukan pada tempatnya yang sebenar.

Tidak Menumpukan Pada Persoalan Cabang

Salah satu cara yang digunakan oleh musuh Islam untuk menghalang kebangkitan kaum Muslimin adalah: mengalihkan perjuangan gerakan Islam dari dakwah menegakkan syariah Islam secara menyeluruh melalui penegakan kembali Daulah Islamiyah kepada dakwah yang menumpu hanya untuk memperbaiki masalah cabang. Cara seperti ini dikenali dengan strategi Pengalihan dan biasa digunakan oleh musuh-musuh Islam serta kaum Muslimin.
Usaha mengalihkan gerakan dakwah Islam ke persoalan-persoalan cabang dilakukan dengan berbagai cara. Di antara propaganda mereka:
1. Dakwah yang ditujukan untuk menegak Khilafah Islamiyah tidak memberikan hasil yang nampak di tengah-tengah masyarakat.
2. Umat memerlukan solusi yang kongkret ke atas masalah seharian, bukan propaganda semata-mata.
3. Dakwah syariah dan Khilafah terlalu tinggi dan tidak dapat difahami oleh masyarakat awam.
4. Dakwah menegakkan syariah dan Khilafah berisiko tinggi; dan pelbagai slogan lagi digunakan.
Propaganda seperti ini, selain menyesatkan, juga bertujuan agar gerakan Islam tidak lagi memberikan tumpuan pada aktiviti "melenyapkan aturan dan sistem kufur" (izalaatul munkaraat) yang menjadi persoalan utama, kerana terlalu sibuk dengan persoalan-persoalan cabang. Dengan begitu, sistem kufur yang menjadi punca permasalahan ummah tidak akan pernah disentuh oleh gerakan Islam akibat beralihnya fokus perhatian mereka ke persoalan-persoalan cabang.
Dari sini dapat difahami kenapa gerakan Islam tidak boleh memfokuskan perjuangannya pada masalah-masalah cabang, seperti membaiki bidang kesihatan, pendidikan, akhlak, dan lain-lain. Sebab dakwah seumpama ini akan memalingkan umat dari persoalan utama mereka, yakni melenyapkan sistem kufur dan menggantinya dengan sistem Islam.

Mempersiapkan Umat

Sikap meremeh-remehkan perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah juga kelihatan pada sikap sebahagian kaum Muslimin iaitu menunda-nunda dakwah menegakkan Khilafah. Mereka memberikan alasan bahawa umat belum siap. Akibatnya mereka cenderung menunda serta mengabaikan aktiviti dakwah yang paling penting ini. Mereka sibuk pula dengan bentuk-bentuk dakwah yang tidak pernah dapat menyelesaikan masalah kaum Muslimin secara total.
Sikap seperti ini jelas salah. Puncanya, kerana seorang mukmin wajib segera melaksanakan perintah ALLAH SWT, tidak boleh baginya menunda-nunda. Jika alasannya adalah umat belum bersedia, langkah yang perlu dilaksanakan adalah mempersiapkan umat dengan idea-idea Khilafah Islamiyyah secepat mungkin, bukan menundanya. Sebab, jika dakwah seruan menegakkan Khilafah ditunda-tunda, sudah tentu umat tidak pernah akan bersiap-sedia. Umat harus diberi kefahaman dan dipersiapkan dengan segera, agar Khilafah Islamiyyah boleh ditegakkan secepat mungkin.
Malahan kita melihat golongan yang mempromosikan idea 1 Malaysia di negara ini tidak pun menunggu kesediaan masyarakat untuk membawanya. Lantas kenapa masih ada sebahagian muslim menangguh-nangguh kewajipan menegakkan Khilafah Islamiyyah dengan alasan umat belum bersedia?