Sunday 21 October 2012

TANGGUNGJAWAB GERAKAN ISLAM TERHADAP GOLONGAN MINORITI MUSLIM DI SELURUH DUNIA

Petikan buku ‘Awlawiyat Harakah Islamiah’ karya Dr. Yusuf Qaradawi.


Di antara golongan yang mesti diberikan perhatian oleh Gerakan Islam: golongan minoriti muslim yang berada di pelbagai negara seluruh dunia.

Fakta Penting Berkenaan Golongan Minoriti Muslim
Kita sewajarnya meletakkan di hadapan kita beberapa fakta berikut:

1-Golongan minoriti ini secara keseluruhannya membentuk kira-kira satu perempat dari jumlah kaum muslimin, atau lebih banyak lagi. Ini adalah sebagaimana yang ditunjukkan oleh kajian-kajian yang telah dibuat di Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud beberapa belas tahun yang lalu.


2-Sesetengah daripada golongan minoriti ini mewakili dari sudut bilangannya himpunan kedua orang Islam di dunia, iaitu golongan minoriti India, yang melebihi seratus juta orang, yang mempunyai sejarahnya dan kesan keilmuan serta ketamadunannya di Semenanjung Benua India dan dalam tamadun Islam secara umum.


3-Sesetengah golongan yang dianggap sebagai golongan minoriti sebenarnya hanyalah negara-negara Islam yang tulen, yang dimasukkan secara paksa ke dalam struktur yang lebih besar daripada negara-negara itu, agar ia mencair ke dalam struktur tersebut, dan menjadi satu golongan minoriti yang dihancurkan dalam negara besar. Contohnya ‘republik-republik Islam’ dalam Kesatuan Soviet: Tashken, Uzbekistan, Turkistan dan Azerbaijan (termasuklah Moro, Pattani, Rohingya dan lain-lain). Ia apabila diteliti daripada jantung dunia Islam.



4-Sesetengah golongan yang dikira dalam bancian-bancian dunia yang berat sebelah sebagai golongan minoriti Islam adalah satu pendustaan terhadap realiti. Nombor sebenar menyatakan bahawa: orang-orang Islam adalah golongan majoriti yang besar, walaupun pemalsuan bancian yang dibuat dengan sengaja selama-lamanya mengurangkan bilangan orang Islam, khasnya di kawasan-kawasan tertentu, untuk memberi khidmat kepada matlamat-matlamat politik musuh-musuh umat Islam.
Contoh yang paling nyata: orang-orang Islam di Ethiopia. Mereka adalah majoriti dari segi bilangan, tetapi mereka adalah majoriti yang dikekang, yang tidak diberikan hak-hak asasi kemanusiaan.

Bantuan Paling Penting Yang Diperlukan Oleh Golongan Minoriti
Golongan minoriti ini memerlukan daripada orang-orang Islam yang berada dalam dunia Islam besar kepada banyak bantuan.

A.Mereka memerlukan sokongan institusi-institusi keagamaan di sana, khasnya institusi pendidikan untuk menjaga pengekalan keperibadian Islam, lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan kempen-kempen berpusat yang dilakukan oleh para pendakyah serta institusi Kristianisasi, yang mahu mencabut hingga akar umbi kewujudan Islam bermula dari benih-benihnya.

B.Mereka memerlukan buku-buku Islam yang tulen yang memperkenalkan Islam sebagai akidah, ibadah, akhlak dan syariat, yang tertulis dengan bahasa mereka yang asal, agar dapat menerangkan kepada mereka secara khususnya tafsir Quran al-Karim, dan sesetengah kitab-kitab sahih hadis yang mesti.

C.Mereka memerlukan penerimaan sebilangan anak-anak mereka di universiti-universiti Islam di dunia arab, supaya anak-anak ini boleh pulang sebagai para pendakwah, tenaga pengajar dan golongan yang memahami agama.
وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
(at-Taubah:122)
Amat malang sekali apabila kita mendapati universiti-universiti ini dalam tahun-tahun yang terakhir telah mula menutup pintu penerimaan di hadapan para penuntut ilmu dari kalangan anak-anak negara-negara tersebut, walaupun ia sangat merbahaya kepada masa depan golongan minoriti tersebut serta masa depan para pendakwahnya, dan masa depan ummah keseluruhannya.

D.Mereka memerlukan sokongan pengajaran bahasa Arab, akademi-akademi pengajiannya, dan guru-gurunya. Ini adalah aspek yang telah diabaikan sepenuhnya oleh bangsa Arab, sedangkan bangsa-bangsa yang unggul mencurahkan berpuluh-puluh dan beratus-ratus juta Ringgit demi menyebarkan bahasanya yang merupakan penterjemah pemikirannya, dan wadah tamadunnya. Bangsa Arab menjadi kedekut dengan sangat sedikit dalam usaha menyebarkan bahasa mereka. Kalaulah tidak kerana orang-orang Islam dengan dorongan kecintaan terhadap agama, Nabi Muhammad dan kitab Quran, memberanikan diri menghadapi risiko dengan kerelaan sendiri mempelajari bahasa Arab, mengasaskan sekolah-sekolah, dan kuliyah-kuliyah bagi mempelajari bahasa Arab kemudian mengajarkannya, sebagai bahasa Quran dan Sunnah serta bahasa ibadah, wadah pemikiran serta tamadun Islam, dan lidah persefahaman bersama di kalangan umat Islam nescaya kita tidak akan menemui di luar dunia Arab orang yang mengenali bahasa Arab, atau orang yang boleh menyebutkannya.
Saya tidak mempunyai pilihan kecuali menyanjung tinggi Kesatuan Sekolah Arab yang dipengerusikan oleh Amir Muhammad Faisal al-Saud, yang bergerak atas bimbingan Doktor Taufik Syawi, yang telah mengadakan banyak siri pertandingan yang berguna di pelbagai tempat di negara-negara Asia dan Afrika, bagi menyokong bahasa Arab, guru-gurunya, institusinya dan kebangkitannya.

E.Mereka memerlukan para pendakwah dan guru-guru, yang mengenali bahasa mereka, bercakap dengan menggunakan bahasa tersebut, tinggal di kalangan mereka, dan hidup bersama mereka, mengajar orang yang jahil, mengingatkan orang yang lalai, memberi fatwa, meyakinkan orang yang ragu-ragu, mengembalikan orang yang sesat, dan menyatukan pandangan di atas petunjuk, hati-hati di atas ketakwaan, emosi di atas kasih sayang, dan keazaman di atas kebaikan.
Mereka hendaklah dijauhkan dari para pendakwah yang membawa keruntuhan, yang tidak membawa bersama-sama mereka kecuali beliung untuk meruntuhkan, mancis untuk menyalakan api, dan perdebatan untuk memecahbelahkan barisan, dan menimbulkan kecemburuan hati.
Kemungkinan sesetengah mereka adalah ikhlas, tetapi keikhlasan bersama kebodohan lebih banyak memudaratkan dari memberi manfaat, dan meruntuhkan lebih banyak dari membina. Barangkali musuh yang berakal, lebih ringan bahayanya dari kawan yang bodoh. Benarlah puisi:

Setiap penyakit mempunyai ubat untuk merawatnya,
Kecuali kebodohan yang meletihkan orang yang merawatnya!


F.Mereka memerlukan kehadiran para pendakwah, pemikir serta murabbi utama yang berterusan, yang membuka akal, yang jiwa menjadi segar dengan kewujudan para pendakwah tersebut, yang sentiasa menziarahi, dari semasa ke semasa, dalam seminar-seminar, persidangan-persidangan dan kesempatan-kesempatan yang sesuai, setiap kali ada peluang, sehingga mereka yang ditakdirkan berada jauh dari jantung ummah tidak merasakan bahawa mereka telah dilupakan dari memori umat Islam besar, atau terasing dari fokus pemikiran serta perasaan dari para pimpinan pemikir serta gerakan ummah.

G.Apa yang paling penting mesti dilindungi dengan golongan minoriti muslim adalah: bekerja untuk menyatukan pandangan mereka, temasuk kesatuan mereka, dan membentuk gagasan mereka dalam satu kumpulan politik, agar membolehkan mereka menjaga kewujudan moral mereka, dan kewujudan agama mereka.
Adalah amat malang apabila didapati bahawa semua golongan minoriti di seluruh dunia mennyatukan, membentuk gagasan dan bekerjasama antara satu sama lain bagi membentuk kekuatan daripada kesatuan mereka, yang digunakan untuk berhadapan dengan kekuatan golongan majoriti…kecuali golongan minoriti Islam, yang kita melihatnya berselisih antara sesama mereka, dihamburkan kekuatannya berpunca dari perselisihan yang banyak di antaranya yang tidak mempunyai sebarang makna, khasnya perselisihan keagamaan sekitar masalah-masalah fiqah atau ilmu kalam.
Sepatutnya semua pihak berdiri dalam satu pasukan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Cukuplah mereka disatukan oleh perkara-perkara yang menjadikan seorang Islam itu menjadi muslim, iaitu mereka percaya kepada Allah sebagai rabb, Islam sebagai agama, Quran sebagai kitab, serta Muhammad sebagai nabi dan rasul.
Saya menyatakan pandangan ini, dalam masa yang sama saya mengetahui bahawa orang-orang Islam merasa curiga pada tanahair induk mereka di jantung Islam iaitu di dalam dunia Islam, sendiri, lalu bagaimana curiga golongan minoriti muslim di luar dunia Islam, dan di luar negara Islam?
Sekiranya orang-orang Islam yang berada di jantung tanahair mereka mencurigai kezaliman, penindasan, penyempitan dan hukuman yang dapat menjadi contoh daripada para pemerintah yang diandaikan bahawa mereka adalah orang Islam, maka bagaimana tidak curiga orang-orang yang hidup jauh dari tanahair Islam, yang diperintah oleh orang-orang bukan Islam, iaitu golongan Kristian atau Komunis atau para penyembah berhala??!!

Ummah Tanpa Pimpinan (Tiada Khalifah! Tiada Pope!)


Masalah umat Islam yang paling besar, dan golongan minoriti muslim yang bertaburan di seluruh dunia ialah, kita umat Islam walaupun ramai dan luas tidak mempunyai pimpinan yang berkuasa mengarahkan: bergerak atau berhenti, bersuara atau diam, pergi ke kanan atau ke kiri.
Dahulu kita mempunyai Khilafah yang menyatukan kaum muslimin di bawah panji Akidah Islamiah. Dahulu kita mempunyai seorang khalifah yang mewakili kepimpinan pusat bagi ummah yang satu. Apabila musuh-musuh Islam melakukan tipudaya terhadap Khilafah, dan mereka berjaya menghancurkan benteng yang hebat ini, yang membentuk kesatuan umat Islam, maka kita sudah tidak mempunyai struktur yang sama, dan panji yang sama yang kita bertemu di bawah naungannya.
Kita telah kehilangan Khilafah, dan kita tidak mempunyai gantinya, lalu kita kini hidup tanpa sebarang bentuk kepimpinan.
Agama Kristian mempunyai kepimpinannya yang diiktiraf oleh para penganutnya, iaitu kepimpinan keagamaan yang teratur yang mempunyai institusi, ahli-ahli dan belanjawan yang menyusuli belanjawan Amerika dan Russia, dan mempunyai para pendakyahnya yang bertaburan di seluruh pelusuk dunia termasuk dunia Islam sendiri.
Manakala kita orang-orang Islam tidak mempunyai ‘khalifah’ yang memberikan arahan lalu dia dipatuhi, dan tiada ‘Pope’ yang berkata lalu dia didengar! Kita sama sebagai mana perumpamaan: Lebih malang nasibnya daripada anak-anak yatim yang berada di dalam hidangan para penjahat!
Dalam suatu masa dahulu ada pemimpin yang dipanggil ‘Syeikhul Islam’ sekalipun tiada di dalam Islam jawatan rasmi dengan pengertian ini, tetapi sesetengah ulama dengan ilmu dan amalan mereka, kewarakan dan jihad mereka layak menerima gelaran ini dari majoriti kaum muslimin. Hari ini selepas para ulama berjalan dalam sanggurdi para pemerintah, mereka tidak memadai dengan berdiam terhadap kebenaran, hingga menyuarakan kebatilan, maka orang ramai telah hilang kepercayaan kepada para syeikh yang besar, dan sudah tiada di kalangan mereka orang yang boleh ditunjukkan dengan hujung jari sebagai ‘Syeikhul Islam’! Ulama yang derhaka kepada para pemerintah tersebut maka para pemerintah itu berusaha dengan alat-alat mereka yang besar, dan alat-alat tuan mereka yang memberikan arahan, untuk mengasingkan atau memburukkan ulama berkenaan, atau melibatkannya dalam penyelarasan mereka sehingga mereka dapat membuat halangan di antara ulama itu dengan rakyat.