Friday 30 November 2012

HIJRAH RASULULLAH - KELUAR DARI DARUL KUFUR MENUJU DARUL ISLAM




Tindakan dan makna politik penting dari hijrahnya Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang sering dilupa dan dilalaikan oleh umat Islam adalah kewajipan menegakkan Negara Islam (ad-Daulah al-Islamiyah). Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sesungguhnya merupakan titik penting dalam babak perjuangan baginda beserta para sahabat di dalam menegakkan agama Allah di mana dari situlah lahirnya sebuah Daulah Islam. Madinah merupakan Negara Islam pertama di dunia yang didirikan oleh Rasulullah SAW yang dibangun berdasarkan aqidah Islam. Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin Negara yang bertanggungjawab mengurus urusan umat (rakyat) secara keseluruhan. Sementara hukum (undang-undang) yang berlaku adalah hukum Islam secara keseluruhan menggantikan hukum Jahiliyyah yang sesat dan zalim.


Keberadaan pemimpin, rakyat dan hukum ini cukup untuk menjadi bukti kukuh bahawa apa yang dibangun oleh Rasulullah SAW di Madinah adalah sebuah Negara, dan ia adalah sebuah Negara (Dar) Islam, setelah sebelumnya baginda dan para sahabat hidup dan berjuang di Mekah yang merupakan Negara (Dar) Kufur pada ketika itu. Negara baru yang dibangun oleh Rasulullah SAW ini dihuni oleh warganegara yang beragam. Selain kaum Muslimin yang menjadi majoriti, terdapat Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Auf, Bani Najjar dan termasuk masih terdapat orang-orang musyrik penyembah berhala. Namun keberagaman ini langsung tidak menghalangi penerapan hukum Islam oleh Rasulullah. Ini kerana hukum Islam sesungguhnya bukan hanya untuk orang-orang Islam sahaja tetapi ia merupakan hukum (undang-undang) Negara yang terpakai ke atas semua warganegara tanpa mengira bangsa dan agama dan ia merupakan rahmat bagi seluruh manusia (rahmatan lil ‘alamin), termasuk non-Muslim. Hubungan antara kaum Muslimin dan warganegara lain yang non-Muslim di atur oleh Rasulullah dengan Islam dan sebuah piagam yang disebut Piagam Madinah (watsiqah al-madinah) diwujudkan. Sebagaimana disebutkan di dalam Sirah Ibnu Hisyam bahawa apabila muncul perselisihan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian, maka wajib dikembalikan kepada Allah dan RasulNya. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa:59. Imam al-Mawardi dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini sebagai kewajipan mentaati Allah SWT dalam seluruh perintah dan laranganNya dan taat kepada Rasulullah SAW. Beliau juga mengutip penjelasan Mujahid dan Qatadah bahawa makna kembali kepada Allah dan Rasul adalah kembali kepada kitabullah dan Sunnah Rasulullah.


Perlu difahami bahawa Rasulullah SAW tidak mendirikan negara-bangsa (nation-state), tetapi baginda mendirikan Negara Islam (Islamic State). Islamic State ini tidak hanya dikhususkan kepada bangsa-bangsa tertentu, tetapi untuk kesemua manusia yang ingin tinggal di dalamnya (dan tunduk kepada Islam) dan wilayah kekuasaan Islamic State ini meluas ke seluruh dunia sebagai konsekuensi kewajipan dakwah Islam ke atas umat manusia seluruhnya. Negara Islam ini kemudiannya berkembang dan terus berkembang dengan jalan dakwah dan jihad yang dilakukan oleh Nabi SAW. Di masa Khulafa’ Rasyidin dan para Khalifah selepasnya, Daulah Islam ini meluas hingga hampir mencapai 2/3 dunia dengan pelbagai bangsa dan agama di dalamnya yang kesemuanya tunduk kepada hukum Islam yang merupakan undang-undang Negara. Walaupun Madinah merupakan sebuah kota kecil ketika itu, namun bukti bahawa Madinah merupakan sebuah Negara Islam tampak jelas dari apa yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana lazimnya dipraktikkan oleh seorang Ketua Negara. Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin, mengatur urusan-urusan dan kepentingan rakyatnya, memenuhi keperluan pokok rakyat, menjamin keamanan dan kesihatan untuk rakyat dan melindungi penduduk Madinah. Rasulullah SAW menjadi hakim (qadhi) pada waktu terjadi perselisihan antara rakyatnya, termasuk mengangkat Ali bin Abi Thalib, Mu’adz bin Jabal, dan Abu Musa al Asy’ari sebagai qadhi di Yaman. Untuk membantu pemerintahannya, Rasululah SAW mengangkat Abu Bakar dan Umar sebagai Mu’awwin (pembantu)nya, Mu’adz bin Jabal menjadi Wali (gabenor) di Janad, Khalid bin Walid sebagai Amil di Sun’a, Ziyad bin Lubaid sebagai Wali di Hadhramaut, Abu Dujanah sebagai Amil di Madinah dan seterusnya. Dalam mengurus politik luar negara, Rasulullah SAW mengirim surat-surat diplomatik, melalui utusan diplomatik baginda yang mana kandungannya mengajak pemimpin dan rakyat negara lain untuk memeluk agama Islam. Sebagai ketua Negara, Rasulullah adalah Amirul Jihad (ketua/pemimpin perang) dalam pelbagai pertempuran dan mengangkat beberapa orang sahabat baginda sebagai Komandan di dalam beberapa peperangan. Baginda mengutus Hamzah bin Abdul Muthalib dan sahabat lainnya dalam pasukan perang menyerang Quraisy, mengutus antara lain Zaid bin Haritsah menyerang Rom, Khalid bin Walid menyerang Dumatul Jandal dan banyak lagi. Kesemua hal ini hanya boleh/layak dilakukan oleh seorang Ketua Negara dan semua fakta ini merupakan hakikat yang tidak boleh dibantah bahawa Madinah adalah sebuah negara dengan Ketua Negaranya adalah Rasulullah SAW.

Bermula dari hijrah Rasulullah SAW yang keluar dari Negara Kufur menuju tegaknya Negara Islam, agama Islam yang sebelum itu hanya menjadi anutan pengikutnya sahaja kemudian telah bertukar menjadi agama yang memerintah negara dan memerintah dunia. Agama suci ini telah zahir di atas agama-agama yang lain dengan peranan Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya ke seluruh pelosok dunia. Namun malangnya, sejak kejatuhan Daulah Islam lebih kurang 90 tahun yang lalu (28 Rajab 1342H), agama Islam sudah tidak lagi memimpin dunia kerana tidak ada lagi Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya. Umat Islam pula sering dipalingkan dari makna hijrah yang sebenar oleh para pemimpin dan oleh ulama su’ (buruk) sehingga sudah tidak ada kesedaran dari sebahagian besar umat Islam bahawa hijrah Rasulullah adalah sesungguhnya bermaksud keluar dari Negara Kufur menuju Negara Islam, dan ini merupakan sebuah kewajipan.

Adapun kewajipan mendirikan Negara Islam (Khilafah) adalah merupakan konsekuensi dari kewajipan menerapkan seluruh syariah Islam sebagai bukti keimanan seorang Muslim kepada Allah SWT. Keberadaan negara (kekuasaan) adalah hal yang mutlak untuk itu. Kewajipan menegakkan syariah Islam dalam pemerintahan seperti menerapkan hudud Allah, qisas, ta’zir, menetapkan mata wang berdasarkan dinar (emas) dan dirham (perak), mengadili pihak yang bersengketa, menjatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah, mengirim pasukan perang, menjamin pengagihan harta di tengah-tengah masyarakat, menjamin keperluan pokok (basic needs) rakyat, mengambil jizyah, kharaj, ghanimah, jihad dan banyak lagi adalah termasuk dalam bidangkuasa (authority) negara, bukannya bidangkuasa mana-mana kelompok atau individu. Kerana itu menyatakan Negara Islam tidak wajib adalah sebuah kebodohan yang tidak dapat diterima di dalam agama kerana ia termasuk di dalam hal yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak ada alasan untuk tidak tahu). Sesungguhnya kewajipan menerapkan syariah Islam secara total bererti kewajipan mewujudkan sebuah negara yang didasarkan kepada Islam (Khilafah). Kewajipan mulia (menegakkan Khilafah) ini tidak pernah diperdebatkan oleh ulama-ulama tersohor dan mukhlis sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslimnya, “Mereka (para imam mazhab) telah bersepakat bahawa kaum Muslimin wajib mengangkat seorang Khalifah”.

Umat Islam semakin Menyahut Seruan Khilafah
Setelah berjaya dalam usaha ratusan tahun mereka meruntuhkan Khilafah, berpuluh tahun pula lamanya usaha golongan kuffar Imperialis Barat melakukan serangan terhadap usaha umat Islam untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah. Di samping tindakan fizikal (peperangan, penangkapan, penyeksaan dan pembunuhan) mereka ke atas anggota-anggota gerakan Islam yang ingin menegakkan semula Khilafah, mereka juga melakukan serangan pemikiran yang bertubi-tubi tanpa henti ke atas usaha mewujudkan kembali Daulah Islam. Mereka melontarkan pelbagai kata-kata dan propaganda jahat bagi menggambarkan kepada dunia bahawa gerakan yang ingin menegakkan Khilafah adalah gerakan yang ekstrem, radikal, teroris dan pelbagai macam tohmahan lagi. Mereka berusaha untuk menakutkan dunia, termasuklah dunia Islam sendiri bahawa Khilafah merupakan sebuah kekuasaan yang penuh dengan kejahatan dan kekolotan. Mereka melantik agen mereka dari kalangan penguasa umat Islam bagi memastikan Khilafah tidak dapat ditegakkan.

Bekas Presiden AS, George Bush sering melemparkan kata-kata jahatnya terhadap gerakan yang ingin mendirikan semula Khilafah, antaranya dia mengatakan, “They hope to establish a violent political utopia across the Middle East, which they call caliphate, where all would be ruled according to their hateful ideology.” (“Mereka mengharapkan berdirinya sebuah entiti politik kejam yang tak masuk akal di Timur Tengah, yang mereka sebut sebagai Khilafah, di mana semuanya akan diperintah mengikut ideologi kebencian mereka”). Sekutu rapat Bush yang juga mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, semasa memberi komen setelah peristiwa pengeboman London menyifatkan pengebom sebagai ‘barbarian’. Tidak berhenti di situ. Blair kemudian menambah, “Undang-undang syariah di dunia Arab akan membawa kepada terbentuknya satu keKhilafahan untuk seluruh manusia dengan Islam.” Menteri Dalam Negerinya Charles Clark ketika itu pun turut memberikan pernyataan (dalam dialognya dengan para pemikir sayap kanan Amerika, The Heritage Foundation), “Kita tidak akan pernah bertolak ansur sedikit pun tentang penegakan Khilafah. Kita juga tidak akan bertolak ansur apa pun tentang pelaksanaan undang-undang (hukum) syariah.” Banyak lagi propaganda dan kenyataan yang dibuat oleh golongan kuffar ini tentang Khilafah. Seruan kepada Khilafah benar-benar telah digambarkan dengan gambaran yang jahat oleh mereka dan mereka sering mengaitkannya dengan keganasan. Padahal, usaha umat Islam untuk menegakkan Khilafah, sejak Khilafah dihancurkan pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), adalah sebuah usaha yang mulia di dalam menegakkan kembali agama Allah yang telah dihancurkan oleh musuh-musuhNya ini.

Hizbut Tahrir adalah antara gerakan Islam antarabangsa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semula Khilafah ke persada dunia melalui jalan politik dan intelektual. Di dalam perjuangan menegakkan Khilafah, Hizbut Tahrir telah dan senantiasa meneladani thariqah (jalan) dakwah Rasulullah SAW semasa di Mekah sehingga tertegaknya Negara Islam di Madinah, yang mana perjuangan dakwah ini semata-mata dilakukan melalui jalan fikriyyah (pemikiran) tanpa kekerasan (la madiyah) sedikit pun. Kita hendaklah yakin bahawa sekiranya kita ikhlas dan bersungguh-sungguh di dalam perjuangan mengembalikan semula Khilafah dengan mengikuti thariqah yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW, Insya Allah pertolongan Allah akan bersama kita, walau bagaimana hebat dan dahsyat halangan dari musuh-musuh Allah sekalipun. Sejak ditubuhkan pada tahun 1953 di Baitul Maqdis, Palestine, seruan menegakkan Khilafah yang dilaungkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia telah membuka mata umat Islam dan mendapat sokongan dari mereka yang ikhlas. Hal ini sesungguhnya semakin menakutkan kuffar Barat (akan kemunculan semula Khilafah). Kaum Muslimin di seluruh dunia mulai sedar dan menganggap perjuangan ini sebagai qadhiyah masiriyah (agenda utama) dan semakin memahami kewajipan hukumnya. Kaum Muslimin juga mula sedar bahawa Khilafah merupakan satu-satunya alternatif terhadap segala kerosakan, kezaliman, penjajahan, perpecahan, kekacauan, pembunuhan dan sebagainya yang kini sedang melanda dunia Islam.

Sejak sekian lama, Hizbut Tahrir telah melakukan banyak seruan, konferens, seminar dan demonstrasi aman di seluruh dunia untuk menyedar dan membangkitkan umat agar berjuang menegakkan Khilafah. Seruan penegakan Khilafah ini telah disambut oleh ratusan ribu kaum Muslimin yang dengan jelas menyokong usaha-usaha ke arah menyatukan umat Islam di bawah satu Negara. Baik di negara umat Islam mahupun bukan, seruan dan usaha ke arah penegakan Khilafah telah kedengaran di mana-mana. Seruan mulia ini telah bergema di setiap lorong, jalan-jalan, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta, universit-universiti, masjid-masjid dan rumah-rumah kaum Muslimin di seluruh dunia. Ribuan umat Islam telah keluar untuk bergabung, menyokong, mendengar dan membicarakan tentang Khilafah. Dari golongan kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun tua, baik lelaki mahupun wanita, pendek kata, kaum Muslimin tanpa mengira bangsa telah mula sedar dan bangkit bahawa Khilafah merupakan satu-satunya jalan dan masa depan bagi umat Islam. Pada tahun 2007 sebagai contoh, Konferens Khilafah Internasional yang diadakan di Indonesia telah dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam yang datang dari seluruh ceruk Indonesia khususnya dan dunia amnya yang menyatakan sokongan yang begitu kuat untuk menegakkan semula Khilafah. Al-Jazeera, BBC, Reuters dan lain-lain media internasional melaporkan tentang himpunan terbesar umat Islam ini yang menginginkan Khilafah. Segala puji bagi Allah, sambutan umat Islam di seluruh dunia kini amat memberangsangkan dan kebanyakan mereka memberi sokongan penuh kepada usaha menegakkan kembali institusi politik agung umat Islam ini.

Justeru, sempena hijrah tahun ini (1434H) Hizbut Tahrir sekali lagi menyeru agar semua pihak bergabung dengan saudara-saudara kita di seluruh dunia dan saling bahu-membahu dalam perjuangan untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah, yang akan menyatukan kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan, membebaskan kaum Muslimin dari cengkaman musuh-musuh Allah serta mengembalikan kemuliaan kaum Muslimin sebagaimana dahulunya. Jadikanlah hijrah Rasul sebagai peringatan untuk kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menukar Darul Kufur yang kita duduki kepada Darul Islam yang sekaligus akan menukar segala hukum kufur kepada hukum Islam. Sentiasalah ingat bahawa hijrah Rasulullah adalah merupakan hijrah baginda dari Negara Kufur menuju Negara Islam dan ia merupakan sebuah kewajipan ke atas kita semua yang tidak ada tawar-menawar lagi. Ia (menegakkan Daulah Islam) adalah perintah Allah dan kita semua wajib mematuhinya. Berusahalah untuk menegakkan Khilafah dan sahutlah seruan Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu, ‘Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?’ mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah...” [TMQ as-Saf (61):14].

Khatimah










Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Sesungguhnya Khilafah bukanlah monopoli salah satu kumpulan atau mana-mana kelompok Islam. Khilafah adalah sistem pemerintahan Islam yang sama-sama kita harap dan usahakan penegakannya. Sistem tersebut merupakan satu kefardhuan yang agung, yang telah Allah SWT tetapkan. Seruan-seruan yang dikumandangkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, selain menjelaskan adanya sebuah kekuatan yang sedang membimbing kaum Muslimin menuju tegaknya Khilafah, juga telah berjaya meruntuhkan berbagai fitnah dan serangan yang dipenuhi kedengkian, berbagai kritikan yang keliru, serta berbagai kebohongan dan propaganda yang telah dihembuskan oleh musuh-musuh Islam sejak bertahun-tahun yang lalu. Kaum Muslimin kini semakin sedar bahawa adalah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk memperjuangkan penegakan semula Khilafah serta mendukung gerakan Islam yang memperjuangkannya. Nas-nas syarak yang jelas dan sejarah sepanjang lebih 1,400 tahun pemerintahan Islam telah membuktikan bahawa Khilafahlah satu-satunya sistem pemerintahan yang wajib, sahih dan adil bagi umat manusia. Dengan janji dan izin Allah, Khilafah akan pasti berdiri dan ia akan kembali memimpin dunia dan akan menggantikan sistem kufur demokrasi yang penuh kebohongan dan kejahatan saat ini dengan sistem Islam yang penuh rahmat dan berkat.

Wednesday 21 November 2012

Syeikh Abdul Aziz al-Badri : Mujahid Dakwah Teladan Dari Iraq


Syeikh Abdul Aziz al-Badri (1930-1969) aktivis dakwah Hizbut Tahrir


"Dalam peristiwa pembukaan Masjid Raya, Syeikh Abdul Aziz al-Badri sedang menyampaikan khutbah di atas mimbar. Tiba-tiba masuk presiden Iraq ketika itu, Presiden Abdul Salam Arif. Belum sempat Abdul Salam Arif mengambil tempat duduknya, Syeikh Abdul Aziz al-Badri mula memberi nasihat kepadanya dengan kata-kata yang masyhur, tanpa merasa ragu-ragu dan takut: 'Wahai Abdul Salam! Terapkan Islam! Jika engkau mendekati Islam sehasta, maka kami akan mendekati sedepa. Wahai Abdul Salam, Nasionalisme tidak layak bagi kami. Hanya Islam tempat kami berlindung!'. Apabila khutbah selesai Syeikh al-Badri duduk di sebelah presiden Iraq itu tanpa menoleh kepadanya. Akhirnya, Presiden Abdul Salam Arif berdiri dan bersalam dengan Syeikh al-Badri lalu berkata: "Aku berterima kasih di atas 'keberanian' ini!"".

Thursday 15 November 2012

HIJRAH : TITIK PERUBAHAN KEPIMPINAN DUNIA



Berkumandangnya azan Maghrib pada senja 14 November ini akan mengakhiri tahun 1433 Hijrah, sekali gus menandakan masuknya tahun baru 1434 Hijrah. Jika 1434 tahun dahulu Rasulullah telah berjaya merubah keadaan kaum Muslimin yang dihina, diseksa dan dibunuh kepada satu keadaan yang memberikan mereka kemuliaan, kekuatan dan kekuasaan, namun pada hari ini, kemuliaan dan kekuatan ini telah tercabut dari umat Islam. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, tahun Hijrah kali ini akan turut berlalu dengan meninggalkan luka parah ke atas umat Islam yang masih belum dapat diubati. Apa tidaknya, umat Islam masih kehilangan ibunya yang dulu sentiasa menjaga dan merawat mereka serta sentiasa memberi perlindungan dan kejayaan kepada mereka. Akibat dari ketiadaan ibu yang menjaga mereka, umat Islam hari ini telah menjadi santapan serigala dari segenap arah yang menyerang dan membunuh mereka tanpa sedikit pun rasa kasihan. Tambah malang, para pemimpin yang memimpin mereka turut membantu serigala-serigala ini melahap hidangannya tanpa belas kasihan. Bagaikan haruan yang memakan anak sendiri, pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini turut meratah hidup-hidup anak-anak yang sepatut dijaganya. Inilah gambaran kehidupan umat Islam yang dapat kita saksikan saban tahun yang berlalu, sehinggalah ke saat ini.

Di samping keperitan kita menyaksikan nasib umat Islam di seluruh dunia yang tidak terbela setelah kejatuhan Khilafah Utsmaniah pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), kita turut terhiris mendengar para ulama dan pemerintah yang menyelewengkan makna sebenar Hijrah. Atas alasan kononnya Islam bukanlah agama yang sempit, maka makna Hijrah telah diperluaskan seluas-luasnya. Hijrah dikatakan bermaksud apa-apa sahaja perubahan sama ada dari segi ekonomi, kewangan, pekerjaan, status sosial dan lain-lain lagi, asalkan perubahan itu menuju ke kedudukan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Inilah konsep hijrah yang sering diketengahkan, seolah-olah inilah konsep yang benar. Pembahasan hijrah dengan ‘makna bahasa’ seperti ini telah melarikan umat Islam dari pengertian hijrah yang sebenar, sebagaimana yang terjadi kepada pengertian jihad. Kesalahfahaman juga terjadi di dalam mengungkap atau menjelaskan peristiwa Hijrah Rasul itu sendiri di mana sesetengah umat Islam beranggapan bahawa Rasul berhijrah kerana ingin menyelamat atau melarikankan diri.

Benarkah Hijrah Adalah Melarikan Diri?

Dalam kita memperkatakan tentang makna hakiki dari Hijrah, tidak sedikit dari kalangan ilmuan, termasuk Orientalis mendakwa bahawa Hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah adalah kerana melarikan diri dari ancaman kafir Quraisy. Sebagaimana tercatat di dalam sebuah Ensiklopedia, “the departure of the prophet Muhammad from Mecca in Sept. 622, Muhammad was a monotheist and preached against the polytheism of the Meccan religion. This aroused the hostility of the merchant leaders of his native city, who derived much of their wealth from pilgrimages to Mecca and its surrounding cities. Forced to flee from his enemies, Muhammad went to Yathrib (later renamed Medina), where he became ruler” [Columbia Encyclopedia - Hegira].

Di dalam menjawab pertuduhan seumapama ini, di sini kami ingin mengemukakan terlebih dahulu beberapa fakta yang jelas tentang peristiwa yang berkaitan dengan hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam:-

1. Rasulullah tetap tinggal di Mekah sedangkan sekelompok sahabat lain Hijrah Ke Habsyah: Pengkaji-pengkaji sirah yang memerhati dengan teliti tentang dakwah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, mahu tidak mahu terpaksa akur dengan fakta hijrah Rasul dari Mekah ke Madinah sebenarnya bukan kerana baginda menghadapi banyak kesulitan yang menghalang dakwah, lalu baginda tidak dapat bersabar atau tidak mampu untuk menghadapi tindakan itu. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabar selama lebih kurang 10 tahun di Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berubah pendirian atau berpaling dari dakwah. Baginda dan para pengikutnya memang mengalami berbagai ancaman dalam aktiviti dakwah mereka, namun kejahatan-kejahatan kafir Quraisy tidak pernah berjaya untuk melemahkan mereka sedikit pun. Tentangan-tentangan dari Quraisy tidak pernah meredakan tekad Nabi dan para sahabat dalam berdakwah, bahkan semakin menambah iman mereka. Keyakinan mereka akan pertolongan Allah malah semakin teguh dan mantap. Akan tetapi, setelah Nabi melihat suasana dakwah di Mekah, dengan masyarakatnya yang amat keras, berfikiran dangkal, berhati batu, cenderung kepada kesesatan dan berbagai kerosakan lainnya, maka meneruskan dakwah di Mekah tidak akan membuahkan hasil yang diingini. Oleh kerana itu, baginda melihat bahawa dakwah harus dipindahkan dari keadaan masyarakat seperti ini kepada suatu keadaan masyarakat yang lain. Lalu baginda berfikir tentang kemungkinan hijrah dari Mekah. Pemikiran inilah yang membawa Nabi untuk hijrah ke Madinah, bukan kerana baginda dan para sahabatnya sering mendapatkan seksaan.

Memang benar bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan para sahabatnya hijrah ke Habsyah untuk menghindari dari ancaman dan seksaan kafir Quraisy. Hijrah mereka pada waktu itu adalah untuk menyelamatkan agama dari wilayah yang penuh dengan fitnah. Perkara seperti ini dibolehkan bagi kaum Muslimin, meskipun sesungguhnya berbagai penganiayaan justeru akan menyucikan iman. Berbagai tekanan dalam dakwah juga akan menyemarakkan keikhlasan dan segala tentangan akan lebih menguatkan tekad. Memang benar, iman kepada Allah mampu menjadikan seorang Mukmin menyerahkan dirinya di jalan Allah. Akan tetapi, penganiayaan yang terus¬-menerus dan seksaan tidak henti-henti tentu akan menjadikan seorang Mukmin itu hanya disibuk dan diletihkan dengan kesabaran menahan ujian dan seksaan. Hal ini boleh mengalihkan perhatian mereka dari usaha-usaha menyebarluaskan dakwah dan ketelitian dalam berfikir. Maka, kaum Muslimin harus hijrah dari wilayah-¬wilayah yang penuh dengan fitnah seperti ini. Ini terjadi pada peristiwa hijrahnya kaum Muslimin ke negeri Habsyah. Bagaimanapun, hijrah ke Madinah berlaku atas sebab-sebab yang lain.

2 Persiapan untuk merealisasikan dakwah di Madinah: Hijrah kaum Muslimin ke Madinah dilakukan supaya mereka dapat meneruskan penyampaian risalah Islam ke dalam satu keadaan yang memungkinkan risalah ini hidup di tengah-tengah masyarakat yang baru, yang sekaligus akan meninggikan kalimat Allah. Semenjak itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berfikir untuk memerintahkan para sahabatnya berhijrah ke Madinah, setelah masuk dan tersebarnya Islam di sana. Ini melalui pemerhatian Rasulullah sendiri terhadap laporan perkembangan dakwah oleh Mus’ab bin Umair, yang diutus selepas Baiah Aqabah pertama ke Madinah. Komitmen masyarakat Yathrib ini terbukti bila mereka sanggup melakukan Baiah Aqabah Kedua yang dinamakan oleh ahli Fiqh dan ahli sejarah Islam sebagai Baiah Perang. Setelah selesai melakukan Baiah ini, mereka kemudian pulang ke Madinah. Selang tidak berapa lama, Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Mereka berangkat secara berasingan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Hijrah gelombang pertama dilakukan secara berseorangan atau dengan beberapa kumpulan. Dalam waktu itu, kaum Quraisy akhirnya mengetahui peristiwa Baiah Aqabah tersebut dan mereka berusaha menyekat pemergian ini. Halangan-halangan dari kafir Quraisy ini langsung tidak mempengaruhi proses hijrah. Bahkan gelombang hijrah kaum Muslimin ke Madinah berlaku secara berterusan. Sedangkan Rasulullah sendiri masih tinggal di kota Mekah. Tidak seorang pun dapat memastikan apakah Muhammad akan hijrah ke Madinah. Buktinya Abu Bakar, sahabat karibnya sendiri pernah meminta izin kepadanya untuk turut berhijrah ke Madinah. Namun baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab “Jangan terburu-buru, mungkin Allah akan menyediakan seorang teman untuk engkau hijrah bersama" Dari jawaban itu, Abu Bakar menangkap bahawa Rasulullah juga berniat untuk hijrah.

3. Kafir Quraisy mengadakan persidangan di Darul Nadwah setelah melihat dan menyedari ancaman yang akan mereka hadapi jika Rasulullah berhijrah ke Madinah: Di tengah-tengah gelombang hijrah yang berlaku, kafir Quraisy mula menimbang kemungkinan hijrahnya Muhammad ke Madinah. Mereka tahu bahawa jumlah kaum Muslimin di Madinah semakin ramai dan berkeupayaan untuk membentuk satu kekuatan baru yang akan berpusat di Madinah. Tambahan pula dengan bergabungnya kaum Muslimin yang berhijrah dari kota Mekah, maka jumlah itu tentu akan membentuk satu kekuatan yang besar. Jika ini terjadi, maka menyusulnya Muhammad untuk hijrah ke Madinah pasti akan membawa kecelakaan kepada mereka dan kehancuran kaum Quraisy tidak dapat dielakkan lagi. Berdasarkan pertimbangan ini, maka kafir Quraisy berfikir cara-cara untuk mencegah Rasul dari hijrah ke Madinah. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka juga khuatir dengan keberadaan Muhammad di kota Mekah kerana mungkin kaum Muslimin yang telah membentuk kekuatan di Madinah itu akan datang ke Mekah untuk menyelamatkan Muhammad. Oleh kerana itu, mereka berfikir untuk membunuh Muhammad agar baginda tidak sempat menyusul kaum Muslimin ke Madinah, sekaligus agar tidak timbul konflik antara mereka dengan penduduk Madinah kerana Muhammad dan Islam. Akhirnya kafir Quraisy mengadakan pertemuan di Darul Nadwah membincangkan perkara ini dan pertemuan tersebut diakhiri dengan keputusan membunuh Muhammad. Mereka kemudian berpecah untuk melaksanakan tugas itu. Tidak berapa lama. Jibrail datang menemui Rasulullah dan memerintahkan baginda agar malam itu tidak bermalam di tempat tidur di rumahnya. Jibrail memberitahu Rasul tentang rencana jahat kaum Quraisy. Pada malam itu, baginda tidak bermalam di rumahnya dan Allah memerintahkannya hijrah ke Madinah.

Dapat disimpulkan dengan adanya kekuatan Islam yang secara nyata di Madinah, dan kesanggupan masyarakat Madinah untuk menerima Rasulullah, serta usaha mewujudkan sebuah Daulah Islamiah di sana, inilah yang mendorong Rasul untuk berhijrah atau merupakan sebab langsung hijrahnya Rasulullah. Dengan demikian, amat keliru apabila ada pihak yang beranggapan bahawa Muhammad hijrah dari Mekah kerana khuatir dengan ancaman orang-orang kafir Quraisy yang hendak membunuhnya, maka baginda pun terpaksa melarikan diri. Dalam aktiviti dakwah, Rasulullah tidak pernah memperhitungkan masalah penderitaan. Soal kematian tidak pernah menggusarkannya dan bermain di mindanya. Soal keselamatan dan nyawa juga tidak pernah menjadi agenda utama dalam dakwahnya. Hijrahnya ke Madinah hanya semata-mata kerana dakwah dan untuk mendirikan Daulah Islamiah, dan dilakukan berdasarkan wahyu Allah.

Hijrah merupakan batas pemisah tahapan-tahapan dakwah, iaitu dari dakwah secara fikriyyah (pemikiran) kepada sebuah kekuatan politik yang menerapkan Islam dan menyebarluaskan Islam melalui jalan dakwah dan jihad, dengan Rasulullah sebagai ‘Ketua Negara’ yang sebelumnya baginda hanyalah merupakan seorang ‘ketua sebuah kutlah (kelompok)’. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam merupakan momentum sejarah yang penting di dalam Islam kerana bermula dari sinilah tegaknya peradaban Islam di muka bumi ini. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para sahabat itu telah mengubah keadaan kaum Muhajirin yang tertindas (mustadh'afin) semasa berada di Mekah menjadi kaum yang berjaya menzahirkan Islam di atas segala agama lain, di Madinah. Dari Madinahlah rahmat Allah seterusnya menyebar ke seluruh Jazirah Arab dan lain-lain bahagian dunia. Umat Islam kemudiannya menjadi pelopor kepada perubahan dunia setelah itu. Inilah fakta yang tidak dapat dinafikan. Rasulullah telah menghasilkan satu peradaban baru dunia yang dibina berdasarkan wahyu, setelah berjaya mendirikan Daulah Islamiah di Madinah. Inilah hasil dari hijrah Rasul.

Perubahan Kepimpinan Dunia Setelah Hijrah




Sebagaimana yang telah dinyatakan, selama 13 tahun dakwah Rasulullah di Mekah, baginda hanyalah merupakan seorang ketua sebuah kutlah (kelompok) Islam. Dengan kata lain, Rasulullah bukanlah seorang pemimpin (kota) Mekah. Kepimpinan Mekah selama waktu itu dipegang oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan beberapa orang pemuka Quraisy yang lain. Sebagai seorang pemimpin politik, di dalam dakwahnya di Mekah, Rasulullah berusaha untuk mendapatkan kepimpinan kota Mekah bagi membolehkan baginda menerapkan segala hukum Allah. Banyak kisah yang meriwayatkan bahawa para pembesar Quraisy telah beberapa kali menemui Nabi dan berusaha untuk berkompromi dengan baginda dengan menawarkan jawatan sebagai raja dan ketua kepada Nabi. Mereka sanggup untuk melantik Nabi menjadi ketua di Mekah dengan syarat Nabi meninggalkan dakwah. Semua tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh baginda Rasul.

Kafir Quraisy memahami bahawa Muhammad ingin mendapatkan sebuah kekuasaan dan hal ini bukannya perkara yang boleh ditawar-menawar. Mereka juga memahami bahawa Muhammad tidak menerima perkongsian kuasa (antara kafir dan Islam). Rasulullah inginkan kuasa yang mutlak berada di tangan Islam dan tidak ada hak ke atas orang kafir di dalam urusan pemerintahan. Ternyata mereka benar-benar memahami kehendak Rasulullah dan ternyata, disebabkan keengganan mereka untuk memeluk Islam, maka mereka telah memerangi Rasulullah dan dakwah baginda. Berbeza dengan kedudukan kaum Aus dan Khazraj dari Madinah yang bersedia memeluk Islam dan sanggup menerima Rasulullah sebagai pemimpin mereka, walaupun Rasulullah bukan dari kaum mereka. Inilah peristiwa yang menjadi benih kepada proses perjalanan hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Secara ringkasnya, setelah tiba di Yathrib (Madinah), maka Rasulullah terus menjadi pemimpin Madinah. Dengan kata lain, Rasulullah telah menjadi seorang pemimpin Negara (Daulah Islam). Jika dulu Nabi hanyalah pemimpin sebuah kutlah, tetapi dengan Hijrah ke kota Madinah, baginda telah menjadi pemimpin sebuah Negara Islam, dan sekaligus merupakan pemimpin dunia Islam. Hijrahlah yang telah mengubah kaum Muslimin yang pada awalnya hanyalah merupakan sebuah kelompok dakwah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjelma menjadi suatu umat yang memiliki satu entiti politik antarabangsa. Dengan kedudukannya sebagai seorang Ketua Negara, Rasulullah terus menerapkan Sistem Pemerintahan berdasarkan wahyu, sebuah sistem pemerintahan yang penuh sistematik.

Rasulullah memelihara semua urusan kaum Muslimin, baik di dalam mahupun di luar negeri. Aktiviti politik praktis yang dilakukan oleh Rasulullah di dalam negeri di antaranya: Pertama, mengangkat para wali (gabenor) untuk wilayah tertentu dan mengangkat para pegawai. Rasulullah mengangkat Utbah bin Usaid menjadi gabenor di Kota Mekah tidak lama setelah pembukaan(fath)nya, Zayyad bin Labid bin Tsa'labah al-Ansari bertugas di Hadhramaut, Amru bin Ash menjadi gabenor Oman dan lain-lain lagi. Kedua, mengangkat pegawai pemerintahan. Rasulullah saw mengatur kemaslahatan umat dengan mengangkat para petugas pencatat administrasi dan pengaturannya. Ali bin Abi Thalib, misalnya, dilantik sebagai petugas pencatat berbagai perjanjian. Harits bin Auf diangkat sebagai petugas yang memeterai cop kenegaraan dengan cincin Nabi saw. Mua'qib bin Abi Fatimah menjadi petugas pencatat harta rampasan perang. Hudzaifah bin Yaman menjadi penyimpan rekod laporan hasil penduduk Hijaz. Zubair bin Awwam mencatat kekayaan Negara hasil pengumpulan zakat. Mughirah bin Syu'bah mencatat hutang Negara dan berbagai muamalat.

Ketiga, mengangkat para qadhi (hakim). Rasulullah mengangkat sejumlah hakim yang tujuannya untuk memutuskan berbagai perkara di antara manusia. Sebagai contoh, baginda melantik Ali bin Abi Thalib menjadi hakim di Yaman, Abdullah bin Naufal menjadi hakim di Madinah, serta Muadz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy'ari sebagai hakim di Yaman. Keempat, melakukan syura. Dalam menjalankan pemerintahan, Rasul sering bermusyawarah dengan para sahabatnya untuk mencari penyelesaian bagi permasalahan yang sedang dihadapi oleh Negara. Ada 14 orang yang sering dijadikan rujukan musyawarah oleh Rasulullah, 7 dari kaum Ansar dan 7 lagi dari kaum Muhajirin.

Adapun aktiviti politik luar negeri yang dilakukan Rasulullah atas nama Negara di antaranya: Pertama, membuat perjanjian dengan dengan negara/kabilah tetangga. Rasululullah misalnya membuat perjanjian dengan kaum Yahudi dari Bani Dhamrah, Bani Mudlaj, kaum Quraisy, penduduk Ailah, Jirba', dan Adzrah. Kedua, melancarkan ekspedisi militer. Ekspedisi militer yang dimaksud adalah dalam rangka untuk menakut-nakuti dan mengintai kekuatan musuh serta memerangi kaum Quraisy. Ekspedisi militer yang pernah dilancarkan Rasul di antaranya pasukan Ubaidah bin al-Harits, dan Saad bin Abi Waqash dalam ekspedisi militer yang bertugas memerangi Quraisy. Beliau juga mengutus Zaid bin Haristah, Ja'far bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah untuk memerangi Rumawi dan lain-lain. Baginda juga sering memimpin sendiri pasukan dalam jumlah yang ramai dan terjun langsung ke pelbagai kancah peperangan.

Demikianlah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menegakkan struktur Negara Islam. Semasa pemerintahan Rasulullah di Madinah, struktur pemerintahan Daulah Islam sudah terbentuk secara sempurna, yakni memiliki pemimpin (ketua negara); para pembantu (mu’awwin), para wali (gabenor), para qadhi (hakim), panglima perang, ketua administrasi, dan majlis syura. Struktur ini kemudian diteruskan pasca kepemimpinan Nabi selaku Ketua Negara oleh Khulafa ar-Rasyidin dan terus berlangsung sehinggalah ke waktu keruntuhannya. Demikianlah, peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah sesungguhnya merupakan titik perubahan kepimpinan dunia dari tangan Rom dan Parsi (ketika itu) ke tangan umat Islam. Walau bagaimanapun, setelah hancurnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924, kepimpinan dunia telah beralih ke tangan kaum kuffar Barat. Justeru, selagi tidak berlakunya Hijrah umat Islam dari Darul Kufur menuju Daulah Islam, maka selama itulah dunia ini akan diterajui oleh kekufuran, kekejaman dan kezaliman. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengambil alih semula teraju kepimpinan dunia, maka umat Islam wajib berhijrah dengan menukar negeri-negeri mereka yang kufur menjadi Negara Islam, seterusnya kesemua negeri kaum Muslimin ini wajib bergabung di bawah satu entiti politik yakni Daulah Khilafah. Dari sinilah, InsyaAllah titik perubahan kempimpinan dunia akan beralih ke tangan umat Islam sekali lagi.

Khatimah




Wahai kaum Muslimin! Sejak runtuhnya Khilafah Utsmaniah lebih 80 tahun yang lalu, umat Islam yang telah dibangunkan berabad-abad yang lampau mengalami keruntuhan dan terpecah belah dengan dahsyatnya, seperti yang kita lihat sekarang. Pertanyaannya, apakah kalian tidak ingin kembali mengulangi kejayaan hijrah seperti yang pernah dialami oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kalian rela hidup dalam keadaan lemah, tercerai-berai dan terpecah-belah seperti sekarang? Apakah kalian suka hidup menderita di bawah tekanan sistem Demokrasi yang kufur? Islam dan kaum Muslim bukan saja mengalami kemunduran yang sangat parah, tetapi jauh lebih dari itu, menjadi bahan ejekan dan hinaan bangsa-bangsa kafir. Kedudukan dan keadaan sosial-ekonomi dan politik umat Islam pun sangat terpuruk. Bahkan, ramai di kalangan umat Islam ditindas di negeri mereka sendiri. Kedudukan umat Islam yang pernah mengalami masa kejayaannya sejak hijrahnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah kepada Kekhilafahan Utsmaniah di Turki, kini tinggal kenangan.

Wahai kaum Muslimin!

Kalian mungkin tidak pernah dibentangkan dengan makna hakiki Hijrah Nabi, walhal catatan mengenainya memenuhi lembaran kitab-kitab tafsir dan sirah. Sesungguhnya Hijrah jelas-jelas merupakan perpindahan Rasulullah dan para sahabat dari Darul Kufur menuju Darul Islam. Hakikat hijrah ini diambil dari fakta Hijrah Nabi itu sendiri dari Mekah (pada waktu itu merupakan Darul Kufur) ke Madinah (Darul Islam). Rasulullah telah berpindah dari satu negeri yang menerapkan Sistem Jahiliah ke satu negeri yang baginda menerapkan Sistem Islam di dalamnya. Hijrah semacam inilah yang seharusnya dilakukan kembali oleh kaum Muslimin saat ini, sesuai dengan hakikat hijrah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat pada masa lalu. Ini tidak lain wajib dilakukan dengan cara mengubah negeri-negeri kaum Muslimin saat ini yang memerintah berdasarkan Sistem Demokrasi dengan undang-undang ciptaan manusia, kepada Daulah Khilafah Islamiah yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.

Oleh sebab itu, momentum Hijrah sejatinya menjadi momentum kembalinya sistem Islam ke tengah-tengah kaum Muslimin. Kembalinya sistem Islam bererti kembali diterapkannya syariat Islam dalam kehidupan, yang tidak mungkin terwujud kecuali dalam institusi Daulah Khilafah Islamiah. Karena itu, perjuangan menegakkan Daulah Khilafah Islamiah wajib diteruskan dan mesti menjadi agenda utama seluruh komponen umat Islam saat ini. Hanya dengan berhijrah mewujudkan sebuah Daulah Khilafah Islamiah sahajalah umat Islam akan kembali menjadi umat yang terbaik, sekali gus kembali menerajui kepimpinan dunia. Insya Allah.