Saturday 9 June 2012

BAGAIMANA MEMBINA KESEDARAN POLITIK KELUARGA KITA, KELUARGA MUSLIM?




Politik (siyasah) dalam pandangan Islam bermaksud mengatur urusan umat, sama ada urusan dalam negara mahu pun luar negara, dengan cara Islam. Jadi politik pada dasarnya bukanlah kegiatan yang kotor , oleh itu politik tidak wajar dijauhi dalam hidup kita. Memimpin dan mengatur urusan umat serta mengadakan pembaikan yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat adalah intipati dari tujuan politik. Jadi politik itu sendiri sangatlah penting. Tidak akan tegak kehidupan manusia tanpa politik. Namun, kehidupan sebuah masyarakat tidak akan menjadi baik tanpa politik yang berdasarkan Islam.
Banyaknya masalah umat yang tidak diselesaikan mengakibatkan keadaan umat semakin buruk tidak lain adalah berpunca dari tidak diterapkan syariat Islam dalam kehidupan. Rasululah SAW mengingatkan di dalam hadisnya:
مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ تَعَالَى وَالْمُدَّهِنِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فِي الْبَحْرِ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا وَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا يَصْعَدُونَ فَيَسْتَقُونَ الْمَاءَ فَيَصُبُّونَ عَلَى الَّذِينَ فِي أَعْلَاهَا فَقَالَ الَّذِينَ فِي أَعْلَاهَا لَا نَدَعُكُمْ تَصْعَدُونَ فَتُؤْذُونَنَا فَقَالَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا فَإِنَّنَا نَنْقُبُهَا مِنْ أَسْفَلِهَا فَنَسْتَقِي قَالَ فَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ فَمَنَعُوهُمْ نَجَوْا جَمِيعًا وَإِنْ تَرَكُوهُمْ غَرِقُوا جَمِيعًا
“Perumpamaan orang yang menjaga serta menerapkan batasan (peraturan/hukum-hukum) Allah adalah seumpama kelompok penumpang kapal yang memilih tempat duduk mereka. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas, dan sebahagian lagi mendapat tempat di bahagian bawah. Jika mereka memerlukan air, orang yang berada di bawah perlu berjalan melintasi bahagian atas kapal. Mereka lalu berkata: “Alangkah baik jika kita menebuk lubang sahaja di bahagian bawah kapal ini (untuk mendapatkan air), supaya tidak menyusahkan orang yang berada di bahagian atas”. Jika mereka menghalang dan mencegahnya, selamatlah mereka semua. Sebaliknya jika mereka membiarkannya, maka tenggelamlah mereka semua”.

Hadis riwayat Ahmad

Oleh itu wujudnya kesedaran politik Islam memang sangat penting. Bermula dari kesedaran politik ini, umat menjadi tahu bagaimana sepatutnya kehidupan diri dan masyarakatnya diatur sesuai dengan peraturan hidup Islam. Ketika pengaturan hidup yang Islami tidak wujud maka umat akan berusaha atau berjuang untuk mewujudkannya. Inilah hakikat perjuangan atau dakwah politik. Untuk memastikan kesedaran politik sudah tertanam dalam akal serta fikiran anak-anak ketika mereka dewasa, kesedaran politik perlu dibina sejak mereka masih kecil lagi.

1. Memberi pemahaman yang benar tentang politik.
Pemahaman yang benar tentang makna politik sangat penting diberikan kepada anak agar anak tidak memahami politik dengan cara yang salah seperti yang sedang berlaku di tengah-tengah masyarakat pada saat ini. Anak juga harus diberikan gambaran tentang betapa pentingnya kegiatan politik bagi umat. Perlu dijelaskan berkenaan apa yang akan terjadi jika aktiviti politik tidak dilakukan, dan bagaimana pula jika kegiatan politik itu dilakukan bukan berdasarkan Islam. Jika perlu, ia hendaklah dilengkapkan dengan dalil-dalil serta contoh-contoh yang dapat difahami oleh anak.



2. Melibatkan anak dalam dakwah.
Kegiatan politik Islam pasti tidak lepas dari aktiviti amar makruf nahi mungkar (dakwah). Melibatkan anak dalam aktiviti dakwah merupakan satu proses pembelajaran politik yang boleh dirasakan secara langsung oleh anak-anak. Ajaklah anak-anak ikut bersama ketika kita menjadi peserta atau pengacara dalam pengajian, diskusi, seminar atau malahan boleh juga aksi-aksi protes di jalanraya. Apabila pulang ke rumah, kita boleh meminta pendapat anak-anak berkenaan kegiatan yang baru sahaja diikutinya. Kita juga boleh bertanya kepada anak berkenaan pengajaran yang disampaikan oleh orang tua, maklumbalas atau pandangan peserta, malahan mungkin tanpa kita menduga, anak-anak juga mempunyai kritikan serta cadangan yang membina untuk kita. Namun sebelum membuat keputusan membawa anak, perlu juga dipertimbangkan persediaan diri anak-anak. Buatlah persiapan yang perlu agar anak-anak merasa selesa di dalam program serta tidak pula menimbulkan masalah.

3. Diskusi politik.
Ketika melihat TV atau membaca akhbar biasanya ada topik yang menarik. Contohnya isu perjuangan anak-anak Palestin, atau mungkin berita banjir, letusan gunung berapi, tsunami yang mengakibatkan kerosakan serta penderitaan yang teruk, atau soal kehidupan sesetengah anggota masyarakat yang miskin dan cacat. Semua itu boleh menjadi bahan perbincangan yang hangat dengan anak-anak. Adalah sangat bagus jika anak-anak boleh terus memberikan ulasan dan pendapatnya sendiri. Kita hanya perlu menambah atau memberikan arahan serta solusi menurut Islam. Kalau anak-anak masih tidak memberikan maklumbalas, kita boleh memancingnya dengan bertanya kepada mereka, apa pandangannya setelah melihat isu-isu tersebut. Tidak hanya setakat pandangan, jika perlu, ajaklah si anak memberikan respon dengan cara yang kongkrit, misalnya mengumpul wang dari tabung mereka untuk membantu anak-anak yang ditimpa musibah yang kelihatan di kaca TV. Boleh juga diajak mereka berdoa bersama-sama setelah selesai solat berjemaah agar Allah memberikan pertolongan. Jangan lupa membiasakan anak-anak berdoa untuk keselamatan serta kejayaan umat Islam di seluruh dunia.
Cara ini sangat berkesan untuk menanamkan sikap kepedulian terhadap masalah umat di jiwa anak-anak. Salah satu kelemahan umat Islam ketika ini adalah sikap ketidakpedulian terhadap pelbagai persoalan yang menimpa umat Islam di dunia. Penindasan, pembunuhan dan pembantaian terhadap kaum muslimin di Iraq atau Palestin misalnya, tidak lagi menjadi perhatian seluruh umat Islam. Umat lebi banyak berdiam diri dan sibuk dengan urusan peribadi serta keluarga masing-masing. Perlu diterangkan kepada anak-anak bahawa itu bukanlah sikap seorang muslim. Seorang muslim seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah mestilah peduli dengan keadaan orang Islam yang lain. Sampaikanlah kepada mereka hadis Nabi berbunyi:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
“Sesiapa yang tidak memikirkan urusan kaum muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka”.
Hadis riwayat al-Tabrani
Jelas sekali, kepedulian terhadap persoalan umat Islam mesti mula ditanam kepada anak-anak sejak awal lagi. TV, radio, majalah atau surat khabar boleh dijadikan alat untuk menimbulkan kepedulian ini, bukan sekadar alat hiburan semata-mata.



4. Mengajak anak menyertai Masirah.
Masirah merupakan bentuk aktiviti politik untuk memberikan teguran kepada pemerintah ketika pemerintah mengeluarkan dasar-dasar yang merugikan kepentingan umat, atau ketika mereka lalai lalai terhadap tugas menguruskan kepentingan umat. Kegiatan ini boleh dijadikan sebagai pembelajaran politik kepada anak sekaligus reaksi politik bagi keluarga berkenaan. Pekikan politik, teriakan semangat yang menggentarkan, lagu-lagu nasyid Islam ke arah penegakkan syariah dan Khilafah akan memberikan pengalaman baru bagi anak. Jangan merasa hairan jika anak kemudiannya terbiasa dengan Allahu Akbar, Tegakkan Syariah dan Khilafah, serta slogan-slogan yang lain. Aktiviti ini boleh dijadikan alat untuk mencetuskan perkembangan sosialnya. Ketika anak berada dalam kesesakan orang ramai, secara tidak langsung anak akan belajar mengenal banyak orang dengan watak yang berbeza-beza. Sebelum mengajak anak menyertai masirah perlu diperiksa keadaan fizikal si anak. Siapkan bekalan serta keperluan anak sebaik mungkin, agar keselesaan si anak tidak terganggu.

5. Memperkenalkan negeri-negeri umat Islam.
Anak perlu diperkenalkan kepada wilayah-wilayah negeri-negeri muslimin yang pernah mencapai kejayaan ketika Islam memerintah. Jelaskan kepada anak-anak bagaimana bermula terpecahnya negeri-negeri Islam, kemunduran dan kelemahannya ketika negeri-negeri umat Islam tidak bersatu, dan perlunya pemimpin yang menyatukan negeri-negeri tersebut. Dengan memberikan gambaran yang jelas kepada anak, diharapkan si anak akan termotivasi untuk turut berjuang menyatukan kembali negeri-negeri kaum muslimin yang terpecah-pecah kini. Jika kewangan anda stabil, tidak salah mengajak anak-anak menyaksikan kesan-kesan kejayaan Islam yang masih tersisa dengan melawat negeri-negeri umat Islam yang bersejarah.

6. Mengenalkan tipudaya musuh terhadap umat Islam.
Kepedulian terhadap masalah umat Islam boleh juga dilakukan dengan cara mengenalkan tipudaya musuh terhadap umat Islam. Contohnya: mengenalkan gerakan-gerakan missionary yang menyusup di kalangan umat Islam dan menyedarkan keluarga, dengan membincangan bahaya mereka, alat mereka memasukkan racun ke dalam madu, serta tempat–tempat di mana umat Islam menjadi sasaran mereka. Anak juga dikenalkan dengan propaganda-propaganda yang merosakkan di Dunia Islam seperti sekularisme, nasionalisme, zionisme, dan sebagainya, yang pastinya dengan menggunakan bahasa dan contoh yang dapat difahami oleh anak.




7. Memahamkan kepentingan penerapan syariat Islam.
Banyak masalah umat yang tidak akan selesai pada saat ini sememangnya kerana tidak diterapkan syariat Islam. Langkah tidak menerapkan syariat Islam akan menimbulkan banyak masalah seperti kemiskinan, ketidakadilan, serta kezaliman, termasuk juga penjajahan, perpecahan, serta langkah membahagi-bahagikan umat Islam menjadi beberapa bahagian, yang saling berperang antara satu sama lain; penjajahan bangsa Yahudi di negeri Palestin, kiblat kedua umat Islam, serta perancangan mereka mengusir umat Islam dari seluruh tanah Arab. Perlu ditegaskan kepada si anak, bahawa perjuangan utama umat Islam adalah berusaha menegakkan syariah dan melalui penerapan syariah itulah rahmat Islam benar-benar menjelma.
Wallahu a’lam.