Sunday 3 March 2013

Hubungan Aceh dan Khilafah Islam dalam Catatan Sejarah



TURKI tidaklah asing di telinga masyarakat Nusantara, khususnya Aceh pada saat ini. Ikatan sejarah masa lalu yang telah mendarah daging khususnya bagi masyarakat Aceh. Gerakan-gerakan pemuda Turki masa lalu juga telah menjadi inspirasi bagi perjuangan kemerdekaan Indonesia. Hubungan Aceh dan Khilafah Uthmaniyah pada masa lalu sangatlah erat, hingga boleh dikatakan seperti hubungan abang dan adik.

Beberapa sumber baik yang berasal dari hikayat-hikayat Aceh seperti Hikayat Aceh, Hikajat Soeltan Atjeh Marhoem dan juga tulisan Nuruddin Ar-Raniry yakni Bustanu’s-Salatin menunjukkan bahawa Khilafah Uthmaniyah dahulu telah membantu Kerajaan Aceh dalam memerangi bangsa Portugis.


Angkatan Tentera Yang Dipimpin Sultan Khilafah Uthmaniyah

Dalam Hikajat Soeltan Atjeh Marhoem dikisahkan tentang kemurahan hati Sultan Khilafah Uthmaniyah yang mengirimkan ahli-ahlinya untuk mengajarkan seni berperang, membangun Kerajaan Aceh, juga menghadiahkan beberapa meriam sebagai alat bantu perang yang terkenal dengan nama Meriam Lada Sicupak. Dinamakan Meriam Lada Sicupak kerana jauh dan rumitnya perjalanan dari daratan Aceh ke Turki, yang mengakibatkan utusan Kerajaan Aceh tersesat sampai memakan waktu tiga tahun untuk sampai di daratan Turki. Mereka terpaksa menjual padi, beras, dan lada-hadiah untuk Khalifah Uthmaniyah yang mana barang-barang tersebut dimuatkan dalam tiga kapal layar-demi bertahan hidup.


Meriam Lada Sicupak

Rombongan Aceh yang tiba di Istanbul dengan kapal dengan muatan lada, barangan paling berharga zaman itu telah ditugaskan oleh Sultan Alauddin mempersembahkan lada yang dibawa kepada Sultan Sulaiman. Lada yang dibawa itu juga menjadi sumber perbelanjaan selama rombongan itu di Istanbul sementara menunggu dibenarkan mengadap Sultan Sulaiman yang sedang memimpin tenteranya di Hungary. Akhirnya, Sultan Sulaiman mangkat pada 1566 dan jasadnya dibawa pulang untuk dimakamkan di Masjid Sulaimaniyah, Edirne.

Hanya tinggal Lada sebanyak setengah bambu (Lada Sicupak) yang boleh dipersembahkan kepada Sultan Khilafah Uthmaniyah. Selain itu, dalam De Hikajat Atjeh diceritakan juga tentang kunjungan utusan Kerajaan Turki ke Aceh untuk mencari ubat bagi Sultan Uthmaniyah yang sedang mengidap sejenis penyakit. Setelah mendapatkan ubat yang dicari, maka pulanglah utusan tersebut dari Aceh dan dilaporkanlah kepada Sultan Uthmaniyah tentang kemegahan Kerajaan Aceh. Sultan pun mengatakan kepada wazirnya, “Pada masa lampau di Bumi atas kehendak Allah terdapat dua Raja besar yaitu Nabi Sulaiman dan Raja Iskandar Zulkarnain, maka pada zaman sekarang atas kehendak Allah terdapat dua raja yang amat besar, kita di Barat dan Sri Sultan Perkasa `Alam Raja di Timur.”

Sayangnya, di dalam hikayat-hikayat tersebut tidak ditemui informasi secara jelas tentang raja yang berkuasa di Turki dan di Aceh saat itu. Namun, berdasarkan sumber yang lebih terpercaya sebagaimana ditulis oleh Muhammad Said dalam Aceh Sepanjang Abad, pengiriman bantuan dari Turki ke Aceh terjadi ketika Sultan Ala’uddin Ri’ayat Syah Al-Kahhar berkuasa di Aceh. Apabila kita membaca sumber yang ditulis sejarawan asing, baik dari Turki ataupun negara lain, disebutkan bahawa hubungan Kerajaan Aceh dan Turki telah terjalin sepanjang abad ke-16 sampai awal abad ke-17.

Kerajaan Aceh menjalin hubungan dengan Turki semenjak Khilafah Uthmaniyah berada di bawah kekuasaan Sultan Selim I, kemudian berganti Sultan Sulaiman I, sampai masa Sultan Selim II, bahkan berlanjut lagi pada abad ke-19 ketika kekuasaan di tangan Sultan Abdul Mejid II. Sumber Turki, Ismail Hakki Goksoy, menyebutkan, Sultan Ala’uddin Ri’ayat Syah Al-Kahhar mengirim surat kepada Sultan Sulaiman melalui duta besar Hussein bertarikh 7 Januari 1566 dengan tujuan meminta bantuan ketenteraan untuk memerangi pasukan Portugis.

Namun, bantuan berbentuk pakar perang, kapal, meriam, tentara bersenjata lengkap tidak dapat segera dikirimkan disebabkan beberapa peristiwa yang terjadi di Istanbul pada saat itu, termasuk juga peristiwa perlantikan Sultan Selim II menggantikan Sultan Sulaiman yang mangkat.

Istanbul Turki saat itu pernah dikenali sebagai "Islambul" yang bermaksud Kota Islam yang dibelah dua oleh Selat Bosphorus, memisahkan benua Asia dari Eropah. Menara masjid yang kelihatan di mana saja di kota itu menggambarkan pengaruh Islam yang kuat sepanjang 471 tahun era Khilafah Uthmaniyah di Istanbul. Sejak 1453 hingga 1924 iaitu dari detik Muhammad Al-Fateh membuka kota Constantinople hingga ke saat Mustafa Kamal Atarturk mengisytiharkan berakhirnya institusi Khalifah Uthmaniyah di Turki, 1001 peristiwa tercatat di lembaran sejarah Islam.

Keagungan Sultan Sulaiman Al-Qanuni, pemimpin Khilafah Uthmaniyah yang mewariskan kemegahan Islam melalui perluasan jajahan takluk dan penyebaran agama Islam, masih disebut hingga hari ini. Mungkin kejayaan itulah yang menjadi inspirasi kepada Sultan Aceh, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Kahhar, hingga merangsang beliau menghantar wakil diplomatik ke Istanbul.

Saat itu, ketika ancaman Portugis di Nusantara para rombongan Aceh turut menceritakan hal itu kepada Sultan, maka baginda mengerahkan armadanya bersama meriam Turki, pakar pembuat meriam dan senjata api pulang bersama rombongan Aceh. Pelabuhan Melaka bersejarah adalah kota rebutan di Selat Melaka yang menyaksikan kehadiran tiga kuasa Eropah sejak 1511 berpunca daripada perdagangan rempah yang dikuasai pedagang Islam yang berulang alik antara dunia timur dan barat.


Makam Ulama Turki Salahuddin di Aceh ( Teungku Di Bitay)

Selama keberadaannya di Aceh, utusan yang dikirim dari Khilafah Uthmaniyah telah banyak memberikan pengaruh yang besar terhadap Kerajaan Aceh. Di samping hubungan dagang di antara kedua kerajaan tersebut, Khilafah Uthmaniyah juga telah mendirikan akademi tentera di Kesultanan Aceh yang telah melatih para pemimpin perang yang hebat. Salah seorangnya Laksamana Keumalahayati. Keumalahayati adalah seorang perempuan Aceh yang pernah memimpin berpuluh kapal perang, yang di setiap kapal tersebut terdapat ratusan tentara. Di samping itu, Goksoy juga menyebutkan dalam tulisannya tentang bendera Kerajaan Aceh yang berlatar merah bersimbolkan bulan sabit dan bintang putih dengan pedang di bawahnya.


Ini semua pengaruh dari Khilafah Uthmaniyah. Hubungan antara dua kerajaan berlanjut lagi pada pertengahan abad ke-19 ketika Belanda menjajah Aceh. Sultan Aceh meminta bantuan kembali kepada Sultan Uthmaniyah agar mengirimkan pasukan tentera dan juga meminta kerajaan Aceh agar ditegaskan sebagai salah satu wilayah Khilafah Uthmaniyah. Tujuannya agar Belanda tidak dapat menguasai tanah Aceh.

Namun, pada abad ini Khilafah Uthmaniyah telah mengalami kemunduran yang teruk kerana kekuatan Eropah yang semakin kuat dan semakin berkuasa di tanah Turki. Tidak banyak yang dapat mereka lakukan, walaupun Khilafah Uthmaniyah mengirimkan rombongan utusannya ke Aceh. Sekalipun tidak berhasil mengusir penjajah dari Melaka, kesultanan Aceh memberi isyarat jelas kepada Portugis bahawa Aceh bukan negeri yang sembarangan, dan kerajaan Islam terbesar di nusantara itu turut mempunyai sekutu dan sangat disegani di Eropah.



Tidak dapat dinafikan bahawa lipatan sejarah hubungan Aceh dan Khilafah Uthmaniyah ini memang berjaya memanifestasikan keagungan Khilafah Uthmaniyah dan hubungannya dengan Nusantara dan negara-negara Asia Timur. Namun, lipatan sejarah ini seharusnya sudah cukup untuk menimbulkan banyak pertanyaan yang mendesak – mengapakah keagungan ini sudah tidak lagi wujud hari ini? Bukankah Daulah Khilafah ini sudah wujud lebih 1300 tahun lamanya lalu apakah yang menjadikan umat generasi hari ini begitu istimewa sehingga tidak memerlukan lagi Daulah Khilafah? Bukankah menegakkan Khilafah ini merupakan suatu kewajipan yang tidak akan pernah gugur sehingga hari kiamat. Sejarah meriam Sicupak dari Istanbul ini bukanlah setakat imbasan sejarah yang menghiburkan, ia lebih dari itu. Ia sewajarnya menyedarkan kita bahawa keagungan dan kemuliaan Islam itu wajib dikembalikan dan kitalah, umat generasi hari inilah yang bertanggungjawab untuk merealisasikannya!

Wallahu’alam.