Monday, 25 February 2013

Analisa untuk PAS: Perjuangkan Islam Dalam Demokrasi, Selesa atau Terpaksa?




Rata-rata para pejuang Islam dalam PAS mengakui selesa dan berbangga berjuang dalam demokrasi. Namun, tidak dinafikan masih ramai yang merasa terpaksa berjuang dalam ‘sangkar emas’ demokrasi dengan niat kerana Allah. Persoalannya, adakah niat semata-mata diterima di sisi Allah sedangkan jalan yang haram diambil? Tahukah mereka bahawa sebelum beramal perlu diselidiki terlebih dahulu sesuatu perbuatan itu sesuai dengan syarak atau sebaliknya? Pastinya kejahilan tentang hukum Allah menyebabkan pejuang-pejuang Islam dalam PAS berbeza perasaannya berada di dalam sangkar emas democrazy ini. Ada yang selesa dan merasa tidak bersalah tetapi ada pula yang gelisah penuh resah kerana berjuang dalam keterpaksaan. Mari kita teliti bersama kupasan berikut, agar hidup kita dalam keredhaanNya:
Hukum memperjuangkan demokrasi adalah haram. Ini jelas berdasarkan kalimah tauhid “ashhaduanlailahaillallah” iaitu “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”.



Makna “لا اله الا الله“ ialah menolak segala bentuk penyerahan serta penyembahan kepada setiap kuasa selain dari kekuasaan ALLAH, setiap hukum selain hukum ALLAH, setiap perintah selain perintah ALLAH. Kalimah ini juga bermakna tidak memberikan kesetiaan kecuali kepada ALLAH dan tidak mencurahkan kecintaan kecuali kepada ALLAH dan pada jalanNya sahaja.( Rujuk kitab Al-Qaradhawi : Jarimaturriddah wa uqubatul murtad).
Keharaman menyertai, mengambil bahagian, menyokong dan membenarkan demokrasi adalah jelas berkait dengan aqidah. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila semua anggota parlimen yang mengangkat sumpah adalah terlibat dalam penggubalan undang-undang berdasarkan pembahagian kuasa di parlimen iaitu kuasa eksekutif (pentadbiran), kuasa legislatif (penggubalan undang-undang), dan kuasa judikatif (kehakiman). (Rujuk Perlembagaan Persekutuan).



Oleh yang demikian, adalah satu keharaman di sisi Islam apabila manusia mengambil hak Allah sebagai satu-satunya musyarri’ (pembuat hukum). Para anggota parlimen tidak dapat lari dari menjalankan tugas ini iaitu mengusulkan, membincangkan, mempersetujui atau tidak mempersetujui hukum-hukum atau undang-undang yang akan diterapkan dan diamalkan oleh manusia di Malaysia. Ini jelas haram berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 36.
UNSUR KETIGA TAUHID: .( Rujuk kitab Al-Qaradhawi : Jarimaturriddah wa uqubatul murtad).

Tidak Mencari Hukum Selain Hukum ALLAH

Makna bahagian ketiga “Tidak mencari hukum selain hukum ALLAH” iaitu: Tidak tunduk kepada segala bentuk hukum-hukum selain dari hukum ALLAH, dan segala perintah selain dari perintah ALLAH, dan semua bentuk sistem hidup selain dari sistem hidup yang ditetapkan oleh ALLAH, dan semua perundangan selain dari Syariat ALLAH, dan semua bentuk undang-undang ciptaan manusia atau tradisi atau ikutan atau manhaj (kaedah atau pendekatan) atau fikrah (pemikiran) atau nilai yang tidak dibenarkan oleh ALLAH. Sesiapa yang menerimapakai mana-mana bahagian yang disebut di atas samada ketika dia menjadi pemerintah (atau penggubal undang-undang) atau pun semasa dia menjadi rakyat, tanpa kebenaran daripada ALLAH, maka dia telah membatalkan bahagian yang paling asas daripada unsur-unsur Tauhid, kerana dia mencari hukum selain dari hukum ALLAH, sedangkan Hak Menetapkan Undang-undang serta Syariat Yang Tertinggi merupakan hak mutlak ALLAH semata-mata. Firman ALLAH:

{Hukum itu tidak lain hanya, bagi ALLAH. Dia menyuruh supaya kamu jangan menyembah, melainkan kepadaNya. Demikianlah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui}
(Yusuf 12:40).

Bahagian ini sebenarnya merupakan tuntutan mengEsakan ALLAH dari aspek rububiyah dan ilahiyyah. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan seseorang dari hamba-hamba ALLAH (manusia) sebagai penggubal syariat dan perundangan, yang berkuasa memberikan arahan serta larangan, menghalalkan dan mengharamkan mengikut apa yang individu tersebut inginkan, dan dia berikan hak ketaatan kepada individu tersebut, sekalipun individu tersebut menghalalkan perkara-perkara haram, seperti perbuatan berzina, riba’, arak, perjudian, mengharamkan perkara-perkara halal, seperti talak (cerai nikah) dan poligami, menggugurkan kewajipan seperti Khilafah, Jihad, Zakat, amar makruf nahi munkar serta pelaksanaan hukum-hukum ALLAH, sesiapa yang menjadikan individu atau golongan yang mempunyai ciri-ciri yang disebut di atas sebagai pemerintah serta penggubal undang-undang, maka hakikatnya dia telah menjadikan individu atau golongan tersebut tuhan yang dipatuhi setiap perintahnya, serta diikuti setiap peraturannya. Ini disebut dalam Quran dan dijelaskan pula oleh sunnah. Surah At-Taubah menyebut berkaitan dengan Ahli Kitab :


{Mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) menjadikan ahli-ahli agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain ALLAH, dan Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan}
(At-Taubah 9:31).

Kenapa mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) dikatakan menjadikan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan padahal mereka tidak sujud dan beribadat kepada pendita-pendita itu sama seperti menyembah berhala-berhala?

Persoalan ini dijawab sendiri oleh Rasulullah salalahu alaihi wa sallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi, dan Ibnu Jarir iaitu kisah masuk Islam Aadi Ibnu Hatim At-Thoiie, yang telah menganut agama Nasrani pada zaman jahiliyyah. Beliau datang ke kota Madinah, dan orang ramai heboh memperkatakan mengenai kedatangannya. Dia masuk untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan di lehernya tergantung sebuah kayu salib yang diperbuat daripada perak. Ketika itu Baginda sedang membaca ayat ini:

{Mereka menjadikan ahli-ahli agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain ALLAH…}. Maka berkata Aadi: Kami tidak sekali-kali menyembah mereka (pendita-pendita itu)! Nabi s.a.w pun membalas: “Memang kamu menyembah mereka, kerana mereka telah mengharamkan yang halal serta menghalalkan yang haram, kemudian arahan mereka ini dipatuhi. Itulah satu bentuk ibadat kepada mereka”.
(Diriwayat oleh Tirmizi dan Ibnu Jarir dari jalur Ghatif ibn A’yun, tidak ada dalamnya yang thiqah kecuali Ibnu Hibban, kerana itu Tirmizi menyebutnya: hadis gharib. Tetapi hadis ini sahih, mauquf di sisi Huzaifah dan yang lain.)

Ibnu Kathir menyebut: beginilah kata Huzaifah bin Al-Yaman, dan Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat:
Bahawa ahli-ahli kitab itu mengikuti pendita mereka dalam perkara-perkara yang mereka halalkan dan haramkan. As-Suddiy pula menyebut: orang ramai meminta nasihat padahal pendita-pendita itu tidak mengendahkan kitab ALLAH yang mereka sembunyikan di belakang mereka. Berkenaan perbuatan mereka ini ALLAH berfirman: {Padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa} iaitulah Tuhan yang jika Dia menghalalkan sesuatu maka perkara itu menjadi Halal, dan apa-apa yang Dia haramkan maka perkara itu Haram, dan apa-apa bentuk peraturan yang diletakkanNya wajib diikuti, dan hukum-hakamNya wajib dilaksanakan, Tiada Tuhan selainNya, Maha Suci ALLAH dari apa yang mereka persekutukan.
Inilah secara keseluruhannya makna kalimah yang pertama daripada dua kalimah Syahadah iaitu “لا اله الا الله”. Tuntutan kalimah tersebut adalah:
-Tidak menjadikan yang lain dari ALLAH sebagai tuhan
-Tidak mengambil selain ALLAH sebagai pelindung atau penolong
-Tidak mencari hukum selain dari Hukum ALLAH
Ini sebagaimana yang disebut dalam Quran secara jelas dalam ayat-ayat yang bersifat muhkamat.
Untuk penjelasan lanjut tentang keharaman demokrasi dapat digariskan seperti berikut:
1. Penelitian terhadap nas-nas syarak memastikan bahawa hukum itu wajib datang dari syarak semata. Ertinya, ada dalil-dalil qath’ie yang mewajibkan umat islam untuk hanya bertahkim(berhukum) kepada Allah atau mengambil hukum daripada Allah. Oleh itu, tidak ada tempat untuk berijtihad di dalam masalah menyerahkan urusan hukum kepada selain Allah kerana hal itu telah diharam secara qath’ie. Kesahihan dan penunjukkan nas-nas yang mengarah kepada keharaman tersebut telah disepakati oleh umat islam, dan siapa saja yang mengingkari apa yang ditunjuk oleh nas-nas tersebut maka dia kafir. Ertinya, siapa sahaja yang tidak mahu berhukum kepada hukum Allah dengan alasan bahawa hukum Allah itu tidak layak bagi manusia, dan ada sumber hukum lain yang lebih baik dari hukum Allah, maka dia kafir. Masalah ini sangat dikenal (ma’lumun min ad diin bidhdhorurah), sehingga tidak perlu lagi dikemukakan dalil-dalilnya.
2. Kewajipan tunduk kepada hukum syarak ini tidak hanya terbeban kepada individu, tetapi juga kepada institusi negara. Negara dalam islam juga berkewajipan untuk terikat kepada hukum Allah. Negara tidak dibenarkan melepaskan diri dari hukum Allah, apa pun alasannya. Maka dari itu umat islam tidak hanya wajib menanamkan aqidah islam dalam dirinya, tapi mereka juga wajib menjadikan islam sebagai aqidah bagi negaranya. Mereka tidak hanya dituntut untuk menegakkan kedaulatan syarak di dalam dadanya masing-masing, tapi mereka juga wajib menegakkan kedaulatan syarak di dalam negara yang meraka diami. Dengan demikian, negara akan berfungsi sebagai penegak syariat. Hal-hal yang sepadu di dalam islam akan diperlakukan sebagai hukum yang pasti, tidak boleh diganggu gugat. Maka penzina wajib disebat, pencuri wajib dipotong tangannya, orang murtad wajib dibunuh, zakat wajib dipungut dari warga yang muslim, jizyah wajib diambil dari warga yang kafir yang mampu(zimmi), jihad futuhat (pembukaan) wajib dipikul, dan lain-lain. Hukum-hukum itu automatik dilaksanakan tanpa perlu meminta persetujuan rakyat, sebab negara dan rakyat sama-sama wajib tunduk kepada hukum islam. Inilah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam menjalankan Negara Islam yang pertama. Adapun dalam hal-hal zanni, maka keputusannya didasarkan pada ijtihad, bukan suara majoriti. Negara wajib mengambil satu ijtihad yang menurutnya memiliki dalil yang paling kuat, sebab, hukum syarak yang zanni itu memang muncul dari ijtihad, bukan kehendak ramai orang berdasarkan undian. Adapun masalah di luar penentuan hukum, maka boleh diputuskan dengan suara terbanyak (seperti pemilihan ketua negara), kecuali berkaitan perbincangan bidang kepakaran tertentu.
3. Demokrasi pada hakikatnya tidak sesuai dengan dua perkara di atas. Secara formal, negara demokrasi tidak tunduk kepada hukum Allah, tapi dia tunduk kepada kehendak rakyatnya. Negara demokrasi menghambakan diri kepada rakyatnya, bukan menghambakan diri kepada Allah. Ini adalah fakta tentang demokrasi yang tidak boleh dinafikan oleh manusia mana pun. Secara teori, negara demokrasi harus meluluskan kehendak rakyatnya tanpa memandang masalah lain (seperti apakah kehendak itu selari dengan hukum Allah atau tidak). Maka dari itu, demokrasi tidak peduli dengan masalah kewajipan untuk tunduk kepada hukum Allah. Ini tentu saja bertentangan dengan konsep negara dalam islam, di mana dalam islam, negara itu wajib untuk menegakkan hukum syarak dan menyebarluaskan dakwah.
Atas dasar itu, tanpa harus memiliki kemampuan untuk berijtihad, siapa sahaja boleh melihat bahawa sistem demokrasi itu memang tidak menjadikan syarak sebagai ukuran dalam menetapkan hukum, aturan, dan dasar yang dilaksanakan oleh negara. Yang diperlukan di sini hanyalah proses penelitian terhadap fakta demokrasi (tahqiqul manath), yang mana, fakta itu telah mendapat tanggapan qath’ie dari syarak sejak dulu. Faktanya adalah bahawa negara demokrasi itu merupakan institusi yang berhukum kepada rakyatnya, bukan kepada Allah. Allah tidak “diberi” kedudukan formal apa pun dalam sistem demokrasi, justeru rakyatlah yang memiliki kedudukan tertinggi. Fakta ini telah ditolak secara pasti (qath’ie) oleh nas-nas islam. Maka tidak dibenarkan adanya ijtihad dalam menentukan sikap terhadap demokrasi.
Demokrasi bukan sahaja tiada kaitan dengan Islam malah bertentangan dengan Islam. Antara ulama yang mengkritik dan memberi pandangan negatif terhadap demokrasi adalah seperti berikut :



1) Adnan ali Ridha an-Nahwi dalam kitabnya Syura La ad-Dimuqrathiyah halaman 103. Ia menyatakan "Dalam kehidupan dunia kebenaran pendapat tidaklah diukur dan ditetapkan oleh sedikit atau banyaknya jumlah orang yang melakukanya. Kebenaran itu wajib di ukur dan ditetapkan oleh kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip dan minhaj rabbani yang diturunkan dari langit".

2) Sheikh Abul A'la al-Maududi (Pengasas Jamaati Islami) dalam kitabnya Al-Islam wa al-Madaniyah al-Haditsah halaman 36. Beliau mengatakan "Telah saya katakan sebelumnya bahawa pengertian demokrasi dalam peradaban moden adalah memberi kekuasaan membuat hukum kepada majoriti rakyat. Maka dari itu kita menentang sistem sekular yang nasionalis-demokrasi baik yang di tegakkan oleh orang barat atau pun timur, Muslim atau non Muslim".


3) Muhammad Yusuf Musa dalam kitabnya Nizham al-Hukm fi al-Islam halaman 245, dia berkata "Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam bukanlah sistem demokrasi baik dalam pengertiannya menurut kaum yunani kuno mahupun dalam pengertian yang moden".


4) Anwar al-Jundi dalam kitabnya Sumum al-Istisyraq wa al-Mustasyriqun fi al-Ulum al-Islamiyah halaman 96. Ia mengatakan "Pemikiran politik Islam berbeza dengan pemikiran demokrasi barat, di antaranya kerana kedaulatan dalam sistem politik Islam bukanlah di tangan umat seperti sistem demokrasi juga bukan di tangan para pemimpin seperti dalam sistem diktaktor, melainkan ada dalam penerapan syariah Islam, dengan demikian sistem politik Islam sangat jauh berbeza dengan sistem apa pun yang menyimpang itu ".


6) Sheikh Abdul Qadim Zallum dalam kitabnya Ad-Dimuqrathiyah Nizham Kufr : Yahrumu Akhdzuha aw Tathbiquha aw ad- Da'wata ilayha, Beliau menyatakan "Demokrasi yang dijaja oleh barat yang kafir ke negeri-negeri muslimin sesungguhnya merupakan sistem kufur ,tidak ada hubunganya dengan Islam sama sekali ,baik secara langsung mahu pun tidak langsung. Demokrasi sangat bertentangan dengan hukum-hukum Islam baik secara global atau pun secara sebahagian. Oleh kerana itu kaum Muslimin di haramkan secara mutlak untuk mengambilnya,menerapkanya atau menyebarluaskanya".

7) Dr. Fathi Ad Darini, salah seorang ulama besar dalam fiqih siyasah. Dalam kitabnya Khasha`ish At Tasyri’ Al Islami fi As Siyasah wa Al Hukm halaman 370 Dr. Fathi Ad Darini berkata : ”Sesungguhnya sistem-sistem demokrasi Barat, dalam kandungannya hanyalah merupakan ungkapan dari politik tersebut (sekularisme) dan sudah diketahui bahawa demokrasi –pada asalnya— bersifat individualistis dan etnosentris".

8) Muhammad Asad dalam kitabnya Minhaj Al Islam fi Al Hukm halaman 52 mengatakan :
“Adalah merupakan penyesatan yang sangat luar biasa, jika ada orang yang mencuba menerapkan istilah-istilah yang tidak ada hubungannya dengan Islam pada pemikiran dan peraturan/sistem Islam.”

9)Antaranya, Syeikh Khalid Ali al-Anbariy dalam kitab Fiqh Siyasah Syar'iyyah (Halaman:6): " Kita ingin tegaskan bahawa tiada hubungan atau kaitan langsung antara ISLAM dan DEMOKRASI. Tidak ada demo...krasi dalam Islam. Bagaimana mungkin berlakunya keadaan ini, sedangkan demokrasi itu menjauhkan Allah SWT daripada hak menghukum atau memerintah manusia, dan dalam masa yang sama ia dicipta atas dasar bahawa rakyat adalah sumber semua kekuasaan, terutamanya kuasa legislatif. Hak membuat hukum dan undang-undang merupakan hak rakyat sepenuhnya. Mereka memiliki kekuasaan yang paling tinggi, memerintah, melarang, menghalal dan mengharamkan sesuatu. Melalui suara majoriti dalam masyarakat Barat umpamanya, diharuskan seks luar tabi'ie, melakukan zina dan menjual arak"

10)Syaikh Abu Muhammad al-Maqdisi dalam kitab ad-Dimuqratiyyah Dinun berkata: " Nama buruk ini (DEMOKRASI) berasal daripada bahasa Yunani. Ia adalah singkatan daripada dua perkataan 'demos' dan 'kratos' yang bererti hukum, kekuasaan, hak membuat undang-undang. Ini bermakna demokrasi secara istilah bermaksud kekuasaan rakyat, kepimpinan rakyat, atau hak membuat undang-undang oleh rakyat. Oleh itu, demokrasi adalah satu bentuk kekufuran kepada Allah yang Maha Agung, kesyirikan terhadap Rabb langit dan bumi, serta bertentangan dengan ajaran tauhid dan agama para Rasul. Sebab kekufurannya sangatlah banyak di antaranya: Demokrasi ialah penggubalan undang-undang berdasarkan suara majoriti, berhukum kepada thaghut dan bukan kepada hukum ALLAH SWT. Kedua, demokrasi adalah hukum suara terbanyak atau hukum thaghut berdasarkan undang-undang dasar (perlembagaan), dan bukannya berdasarkan syariat Allah. Ketiga, demokrasi adalah buah hasil sekularisme yang kotor dan bukan dibina di atas landasan syarak"


11)Syaikh Imam Aiman adz-Dzawahiri dalam Kitab Al-Kalimah al-Mamnu'ah " Pertama demokrasi tidak sesuai dengan akidah Tauhid kerana demokrasi mengajak untuk menjadikan suara majoriti sebagai penentu hukum, sedangkan kita sepatutnya mengajak untuk menjalankan syariat atas dasar mengEsakan Allah dalam soal menentukan hukum. Orang Islam yang menggunakan sistem demokrasi, hendaknya ia kembali memperbaharui tauhidnya dan hendaknya berlepas diri daripada dosa yang selama ini ia lakukan. Tidak ada dalam ajaran demokrasi yang mirip dengan syura. Syura adalah sistem Islam yang dijalankan oleh sebuah jemaah Muslim yang dipilih imamnya. Jemaah ini mengawasi perjalanan para pemimpin dengan membiasakan amar makruf nahi mungkar. Dan dengan ciri ini syura adalah bahagian paling penting dalam sistem Islam. Oleh itu ia tidak mungkin dipisahkan daripada Islam, dan tidak mungkin digunakan pada sistem yang selain sistem Islam. Syura sendiri memiliki hukum-hukum terperinci. Yang jelas prinsip tersebut bertentangan dengan mana-mana sistem pun selain Islam. Sebagai contoh, bagaimana kita hendak menerapkan prinsip (Tidak ada ijtihad ketika ada nas) dalam sistem selain daripada Islam?".



Oleh yang demikian para pejuang Islam dalam PAS perlulah jelas tentang kedudukan mereka dalam sangkar emas demokrasi ini adalah ibarat berada dalam kawasan larangan Allah. Mereka yang mengatakan bahawa terpaksa mengambil jalan demokrasi kerana darurat adalah tidak benar. Ini adalah kerana walau bagaimanapun keadaannya, memilih jalan demokrasi itu bukan satu-satunya pilihan sebab darurat secara syarak adalah sesuatu yang memberikan desakan yang bersifat mematikan sehingga mahu atau tidak mahu desakan itu harus dihindari. Misalnya, seseorang yang dipaksa menjalankan demokrasi kerana adanya ancaman pembunuhan keluarga, maka langkah darurat diambil sepanjang ancaman itu masih wujud. Jika ancamannya hilang, maka kembali kepada keadaan yang asal iaitu haram menjalankan demokrasi. Namun patut dicatat bahawa desakan seperti itu hanya dialami oleh individu tertentu, dan tidak dialami oleh semua orang, sehingga hukum darurat tidak boleh digunapakai oleh seluruh umat islam -hanya kerana desakan mematikan yang menimpa segelintir orang. Maka dari itu, langkah darurat untuk mengakui demokrasi tidak boleh diambil oleh sebuah parti atau jemaah islam hanya kerana serangan mematikan yang dialami oleh anggota-anggotanya. Namun demikian, anggotanya secara individu boleh mengambil langkah darurat, meski pun dalam hal yang mengancam keselamatan diri, mengambil langkah sabar lebih utama. Oleh yang demikian, haram merasa selesa menjalankan atau duduk dalam sistem demokrasi apatah lagi memperjuangkannya. Bahkan merasa terpaksa atau berada dalam keterpaksaan pun jauh sekali untuk keadaan kita di Malaysia ini kerana tidak adanya ancaman mematikan bagi mereka yang tidak mengundi, menjadi calon, atau bertanding dan semua perbuatan yang menjurus kepada demokrasi. Sekiranya ada sekalipun, ia ibarat memakan daging babi dalam keadaan darurat iaitu tidak boleh sehingga merasa kenyang, cukup sekadar agar tidak mati sahaja kemudian ia kembali menjadi haram.
Dari sisi lain pula, bagaimana pun keadaannya, kita tetap tidak boleh mengeluarkan seruan umum kepada umat bahawa demokrasi itu benar. Sebab, para ulama tidak pernah menghalalkan yang haram dalam keadaan darurat, namun mereka selalu menjelaskan bahawa kebolehan mengambil sesuatu yang haram dalam keadaan darurat itu hanyalah rukhsah. Penjelasan itu dilakukan dengan tidak menyembunyikan hukum azimah-nya (asalnya) yang haram. Di saat makan babi dibolehkan kerana tidak ada pilihan lain, maka para ulama tidak menipu umat dengan mengatakan bahawa babi itu halal. Mereka tetap menjelaskan hukum azimahnya bahwa babi itu haram. Atas dasar itu, jika pejuang Islam dalam PAS yang mengambil demokrasi itu memang menganggap bahawa ikut menjalankan sistem demokrasi adalah langkah darurat, maka mereka tetap wajib menjelaskan kepada umat bahwa azimahnya adalah haram, tidak boleh taqiyah, tidak menipu umat, dan tidak boleh menyembunyikan kebatilan demokrasi dari mata umat.

Monday, 4 February 2013

Khilafah Hanya Perkara Ijtihadi?




Untuk mengurangkan motivasi umat Islam dalam memperjuangkan khilafah, orang-orang yang menolak khilafah atau yang agak malu-malu untuk menolaknya sering mengatakan, “khilafah memang wajib menurut sebahagian ulama, tetapi dalilnya tidak qath’i, kewajipan khilafah ini hanya masalah ijtihadi saja”. Tujuan ucapan ini adalah ingin meyakinkan umat Islam bahawa khilafah bukan satu-satunya pilihan, khilafah bukan hukum qath’i yang mengikat umat Islam sehingga tidak ada pilihan lain selain khilafah. Sebab, ketika khilafah itu hanya “sekadar ijtihad”, bererti masih sah untuk menandinginya dengan “ijtihad” yang lain. Jawabnya untuk pernyataan tersebut minimanya ada tiga:


Jawapan Pertama

Sejak bila kita diwajibkan untuk mengemukakan dalil qath’i dalam menetapkan hukum syara’? Masalah khilafah –sama ada wajib atau tidak- merupakan kajian hukum syara’, bukan masalah aqidah. Sementara, sudah diketahui umum bahawa penetapan hukum syara’ itu tidak mewajibkan dalil qath’i, cukup dalil yang bersifat dzonni yang dianggap rajih (kuat) saja. Maka untuk mengatakan bahawa khilafah itu wajib kita memang tidak diwajibkan mendatangkan dalil qath’i, cukup dalil-dalil yang dianggap kuat.

Sama seperti pendapat majoriti ulama yang menyatakan bahawa zakat fitrah hukumnya wajib. Mereka cukup mendatangkan dalil dzonni yang dipandang rajih untuk menetapkan kewajipan tersebut (perlu diketahui bahawa dalam masalah ini ada khilafiyah, sebahagian ulama Malikiyah generasi awal hanya mensunahkan zakat fitrah dengan dalil-dalil mereka). Contoh lain adalah khitan bagi laki-laki. Jumhur ulama mengatakan hukumnya wajib, namun apakah mereka punya dalil qath’i yang secara meyakinkan menunjukkan bahawa khitan bagi laki-laki itu wajib? (ingat, sebahagian kecil ulama hanya mensunahkan khitan bagi laki-laki dengan berpegang pada beberapa dalil). Contoh lain adalah kewajipan membasuh kaki dalam wudhu. Dalilnya juga tidak qath’i, maka kita mendapati ada segelintir ulama yang mengatakan bahawa kaki tidak perlu dibasuh dalam wudhu, cukup disapu saja.

Lantas jika demikian apakah kita kemudian boleh dengan seenaknya mengabaikan kewajipan-kewajipan yang ada hanya dengan alasan bahwa kewajipan-kewajipan tersebut tidak didukung oleh dalil qath’i tanpa alasan yang matang? Apakah kita layak mengatakan, “tidak perlu zakat fitrah, lihatlah dalilnya tidak qath’i”, atau “anak kita tidak perlu dikhitan kerana khitan memang wajib, tetapi dalilnya tidak qath’i”, atau “tidak perlu harus membasuh kaki dalam wudhu, boleh disapu saja, kerana dalil membasuh tidak qath’i”, apa begitu? Tentu saja tidak kan?

Untuk menolak kewajipan-kewajipan yang tidak qath’i itu kita harus membawakan dalil-dalil syara’ yang lebih kuat dari dalil-dalil yang digunakan untuk mewajibkannya. Maka, untuk menolak khilafah, kita jangan hanya mengatakan “ah, dalil khilafah tidak qath’i”, tetapi, kita harus mengemukakan dalil-dalil syara’ yang lebih kuat yang menunjukkan bahwa khilafah itu tidak wajib untuk menolak kewajipan khilafah. Jika kita tidak mampu membawanya, maka sudah selayaknyalah kita menerima kewajipan tersebut kerana dalil-dalilnya.

Jawapan Kedua

Jika dikatakan bahwa khilafah itu “hanya” hasil ijtihad, maka dengan bahagia saya katakan: “Alhamdulillah, khilafah adalah hasil ijtihad jumhur ulama’, sedangkan sistem pemerintahan lain, seperti sistem demokrasi, sama sekali bukan dihasilkan dari proses ijtihad, sama sekali tidak diambil dari dalil-dalil syara’, dan tidak ada kaitannya dengan Islam”.

Saya katakan demikian kerana suatu hasil ijtihad sebenarnya bukanlah gagasan yang boleh kita anggap sebagai sekadar “pendapat manusia” sama seperti pendapat John Locke atau Plato. Ini kerana ijtihad maknanya -menurut al-Amidi- adalah “mencurahkan semua kemampuan untuk mencari hukum syara’ yang bersifat dhonni, sampai dalam batas merasa tidak mampu lagi untuk mendapatkan tambahan kemampuannya itu”.

Dari definisi di atas, kita dapat memahami bahawa ijtihad adalah usaha maksima dari seorang mujtahid untuk mengetahui hukum syara’ dari suatu masalah. Maka, hasil ijtihad adalah hukum syara’ yang telah difahami dengan sepenuh tenaga oleh seseorang yang memiliki keahlian dalam menggali hukum-hukum syara’ dari sumber-sumbernya (Al-Qur’an dan As-Sunnah). Seorang mujtahid ketika berijtihad tidak melakukan perenungan untuk menggali pendapatnya sendiri, melainkan dia meneliti nas-nas syara’ untuk menggali dan mendapatkan hukum Allah atas masalah yang dia ingin mengetahui hukumnya. Maka, kemampuan yang dimaksud di sana adalah kemampuan berijtihad, iaitu keterampilan untuk menggunakan ilmu-ilmu dan kaedah-kaedah yang diperlukan untuk menggali hukum syara’, baik kaedah-kaedah syar’i maupun kaedah-kaedah bahasa Arab.

Di sisi lain, manusia yang merumuskan pemikirannya tanpa berpijak pada nas-nas syara’, gagasannya tidak digali dari dalil-dalil syara’; tidak dilakukan dengan mengerahkan segala ilmu yang diperlukan dalam memahami dalil-dalil syara’; dan tidak dilakukan dalam rangka mengungkap hukum Allah dalam suatu masalah yang bersifat dzonni, maka pemikiran yang dihasilkannya itu tidak layak disebut ijtihad. Oleh kerana itu, pemikiran manusia seperti Socrates, Aristoteles, John Locke, Rouseou, Bentham, Marx dan lain-lain tidak boleh disetarakan dengan hukum syara’ yang dihasikan melalui proses ijtihad yang dilakukan oleh Ibrahim An-Nakha’i, Abu Hanifah, Sufyan Ats-Tsauri, Syafi’i, Daud az-Zohiri, dan ulama lain. Sebab, kelompok pertama adalah : para pemikir yang berfikir untuk menggali pemikiran mereka sendiri; sedangkan kelompok kedua adalah: para mujtahid yang berfikir dan mengerahkan ilmu mereka untuk menggali hukum Allah dari dalil-dalil syara’. Kelompok pertama sekedar menghasilkan “gagasan manusia”, sedangkan kelompok kedua menghasilkan “hukum syara’” walaupun bersifat dzonni kerana ada dalam batasan usaha manusia untuk memahaminya.

Maka dari itu, jika benar bahwa khilafah “hanya” hasil ijtihad para ulama, maka ini sama sekali bukan tercela. Malah ini merupakan pujian. Sebab, hasil ijtihad para ulama adalah hukum syara’ yang lahir dari usaha maksima para ulama dalam menelaah dalil-dalil syara’ dengan ilmu yang mereka miliki. Sehingga, dengan bahagia saya mengatakan, “alhamdulillah, khilafah adalah hukum syara’, hasil ijtihad yang digali oleh para ulama dari nas-nas syara’, sedangkan sistem yang lain, seperti demokrasi, hanyalah hasil usaha manusia dalam memeras gagasan mereka sendiri tentang pemerintahan yang ideal”.

Yang Ketiga:

Okeylah jika kita mahu meremehkan khilafah kerana khilafah itu “hanya” ijtihad, bukan hukum yang qath’i. Tapi bagaimana jika ijtihad itu dihasilkan oleh hampir seluruh ulama dan hanya segelintir orang yang menolaknya? Kita telah menyatakan bahawa ada perselisihan dalam hukum zakat fitrah, di mana sebagian ulama Malikiyah generasi awal tidak mewajibkannya dan menganggapnya sebagai amalan sunnah saja. Namun, dalam kenyataannya, walaupun terjadi perbezaan pendapat, kita tidak berani seenaknya mengatakan “kita tidak perlu bersikap keras mengamalkan zakat fitrah, lihat ada perbezaan pendapat dalam hal itu”. Jika dalam soal yang terkenal diperselisihkan saja kita tidak berani mengkatakan seperti itu, jadi bagaimana pula terhadap khilafah atau imamah yang kewajipannya hampir menjadi kesepakatan seluruh ulama? (kecuali sedikit yang menolaknya).

Yang saya maksud dengan khilafah adalah batasan minimal khilafah, yakni kepemimpinan umum (imamah) atas umat Islam di seburuh dunia yang berfungsi untuk menegakkan syariah dan membawa dakwah ke seluruh penjuru bumi, inilah yang menjadi kesefahaman bersama di antara ulama-ulama yang berwibawa di tengah umat.

Berkaitan dengan hal ini, Ibnu Hazm menyatakan: “Seluruh Ahlus Sunnah, seluruh Murji’ah, seluruh Mu’tazilah, seluruh Syi’ah dan seluruh Khowarij sepakat mengenai wajibnya imamah, dan (sepakat) bahawa fardhu dan wajib bagi umat untuk tunduk kepada seorang imam yang adil, yang menegakkan hukum-hukum Allah di tengah mereka, serta mengurus mereka dengan syari’ah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kecuali golongan Najdat dari Khowarij”.[1] Beliau juga menyatakan, “dan mereka bersepakat bahwa tidak boleh ada dua imam bagi kaum muslimin pada satu waktu di seluruh belahan dunia, baik kedua imam itu saling sepakat (berdamai) atau pun tidak (berebut), baik keduanya di tempat yang sama mahupun di dua tempat yang berbeza.”[2]

Imam Adz-Dzahabi menyatakan: “Ahlus Sunnah, Mu’tazilah, Murji’ah, Khowarij dan Syi’ah telah menyepakati kewajiban Imamah serta (menyepakati) bahawa wajib bagi umat untuk tunduk kepada seorang imam yang adil, kecuali kelompok Najdiyah dari golongan Khowarij, mereka berkata: imamah tidaklah wajib, manusia hanyalah wajib menjalankan kebenaran (al haq) di tengah-tengah kehidupan mereka, dan ini pendapat yang gugur. Semua kelompok yang kami sebutkan sebelumya sepakat bahawa hanya boleh ada satu imam dalam satu waktu, kecuali Muhammad bin Karrom dan Abu Shobbah As Samarqondi beserta pengikut mereka berdua, mereka membolehkan keberadaan dua imam atau lebih dalam satu waktu.” [3]

Syaikh Abdur Rahman Al-Jazairi menyatakan, “Para imam -semoga Allah merahmati mereka- telah bersepakat bahawa Al Imamah itu wajib, sebab umat harus memiliki seorang pemimpin untuk menegakkan syariat-syariat agama serta membela orang-orang yang dizalimi dari kezaliman orang-orang zalim, dan bahawa tidak boleh ada dua orang imam bagi kaum muslimin di seluruh dunia dalam satu waktu, baik dua imam tersebut saling sepakat atau pun tidak.”[4]

Demikianlah, kewajipan akan adanya pemerintahan yang dipimpin oleh seorang imam atau khalifah bagi seluruh umat Islam didunia ini hampir menjadi kesefahaman para ulama. Lantas apakah kita akan meremehkan pendapat mereka itu dan menyatakan bahawa khilafah “sekadar” ijtihad yang tidak mengikat pilihan umat Islam pada masa sekarang?

Wallahu a’lam


[1] Ibnu Hazm, al-Fashl fi al-Milal wa al-Ahwa wa an-Nihal, juz IV (Beirut: Dar al-Jil, 1996) h. 150
[2] Ibnu Hazm, Maratib al-Ijma’ fi al-Ibadat wa al-Mu’amalat wa al-Mu’taqadat (Beirut:Dar al-Afaq al-Jadidah) h.144
[3] Syamsuddin adz-Dzahabi, al-Muqaddimah az-Zahra fi Idhah al-Imamah al-Kubra (Kaherah: Dar al-Furqan, 2008) h.12
[4] Abdur Rahman al-Jazairi, al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah (Kaherah: Dar al-Hadits, 2004) h. 321

Sunday, 3 February 2013

HARAKAH ISLAM DAN ISU PEMBEBASAN BUMI UMAT ISLAM

Petikan buku ‘Awlawiyat Harakah Islamiah’ karya Dr. Yusuf Qaradawi.


Suatu fakta yang tidak akan dibantah oleh mana-mana orang yang bersikap jujur adalah: Gerakan Islam telah menjadikan isu pembebasan bumi Islam – keseluruhannya – perhatian terbesar sejak penubuhannya.
Saya telah mendengar Imam Syahid Hassan al-Banna berkata di dalam salah satu ceramah beliau: Sesungguhnya usaha dan jihad kita adalah tertumpu sekitar dua isu utama: fikrah Islam, dan bumi Islam.
Punca beliau menggabungkan kedua-dua isu ini adalah: kerana fikrah tidak akan menjadi kukuh dan kuat melainkan di bumi yang bebas merdeka di mana nilai-nilai Islam berkuasa, kalimah Islam ditinggikan, dan Syariah Islam memerintah.
Dari sinilah pentingnya “Negara Islam” yang di dalamnya ajaran Islam hidup, darinya gerakan Islam bermula dan terus memimpin dunia.
Oleh itu ahli-ahli fiqh Islam telah bersepakat bahawa wajib mempertahankan setiap negeri yang diserang oleh golongan kuffar, di mana jihad ini menjadi fardu ain ke atas setiap penduduknya, dan seluruh kaum muslimin adalah dituntut menolong mereka dengan harta, senjata dan tentera apabila diperlukan, sehingga mereka dapat membebaskan negeri mereka dari semua golongan perampas yang masuk ke sana.
Oleh itu gerakan Islam tidak ada peluang sama sekali untuk berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati di hadapan mana-mana bahagian negeri kaum muslimin yang diduduki oleh penjajah asing.
Maka tidaklah aneh apabila Pusat Utama Ikhwan Muslimin di Kaherah telah menjadi markaz para mujahidin serta pejuang revolusi pembebasan Islam, yang bermusuhan dengan para penjajah dari seluruh pelusuk dunia Islam, dari Indonesia sampai Marakish.
Saya pernah mendengar Imam al-Banna berucap dalam salah satu persidangan bagi menerangkan tuntutan-tuntutan negeri yang Ikhwan Muslimin berjuang untuk membebaskannya. Beliau telah berbicara mengenai negeri kecil, iaitu utara dan selatan Lembah Nil (Mesir dan Sudan), berkenaan negeri besar iaitu negeri Arab yang terbentang dari Teluk Parsi sampai ke Lautan Hindi, dan berkenaan negeri terbesar iaitu dunia Islam yang terbentang dari lautan ke lautan.
Beliau menegaskan bahawa pembebasan negeri terbesar ini dari semua kuasa asing merupakan satu kewajipan ke atas seluruh kaum muslimin, dan salah satu tugas asasi Ikhwan Muslimin.
Isu pertama yang menjadi tumpuan Syahid al-Banna, yang beliau menarik perhatian kepadanya, mencetuskan kebimbangan, serta menggerakkan ummah, adalah isu bumi kenabian, bumi Israk dan Mikraj, bumi Palestin, serta bahaya Yahudi yang menantinya, pada masa di mana ramai dari pemimpin umat Islam berada dalam kelalaian terhadap konspirasi terbesar yang sedang mengancam kiblat pertama umat Islam, Masjid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya.
Berapa banyak Hassan al-Banna telah menulis artikel, memimpin demonstrasi, mengadakan persidangan, merekrut tentera, mengumpulkan senjata dan harta, demi isu Palestin.
Cukuplah apa yang dicatat oleh darah para syuhada dan tentera Islam di atas bumi Palestin pada tahun 1948 dan apa yang dirakam oleh sejarah dengan huruf yang bersinar, sebagaimana yang telah disaksikan oleh Jeneral Mawawi, dan panglima tentera Mesir yang lain, malah disaksikan oleh orang Yahudi sendiri.
Di dalam buku karya Ustaz Kamil Syarif “Ikhwan Muslimin dan Perang Palestin” terdapat lembaran-lembaran yang menceritakan jihad mulia ini, yang mengandungi peristiwa serta fakta yang mencukupi.
Inilah peranan Harakah Islam selama-lamanya, berhadapan dengan isu-isu umat Islam di timur dan barat, menentang semua penjajah, sama ada dari barat atau timur, berkulit putih atau berkulit merah.
Dari sini gerakan Islam member perhatian terhadap isu Afghanistan, yang merupakan garisan pertahanan hadapan melawan tentera Merah Komunis, sehingga sesetengah orang menyangka bahawa gerakan Islam telah melupakan isu Palestin kerana isu Afghanistan. Sebenarnya gerakan Islam tidak pernah dan tidak akan melupakan isu Palestin, malah ia adalah isu Islam yang pertama, dan pembebasannya adalah kewajipan pertama, malahan inilah yang dipercayai oleh para mujahidin Afghanistan sendiri.

Keseluruhannya isu Palestin amat berhajat agar panji Islam dijulang agar manusia berkumpul di sekelilingnya, dan bersatu di bawahnya. Ini telah berlaku sejak meletusnya Revolusi Masjid, Intifadhah, dan kadet-kadet tentera batu, yang slogannya adalah: LA ILAHA ILLALAH, ALLAHU AKBAR, dan penghabluran Gerakan Penentangan Islam yang berani serta tabah “HAMAS” yang membumikan keimanan rakyat Palestin dengan keIslamannya, bahawa ia tetap hidup dan tidak mati, dan jihadnya berterusan dibawa oleh tangan-tangan yang bercahaya, serta hati-hati yang suci sehingga datang kemenangan dengan izin Allah.
Gerakan Islam hendaklah meletakkan dirinya sebagai tentera sukarela yang direkrut untuk setiap isu Islam. Setiap kali ia mendengar panggilan maka ia segera datang.
Gerakan Islam hendaklah bersama-sama Eriteria dalam perjuangannya melawan pemerintah Salibisme Marxisme yang zalim yang mahu menelan negara ini, dan mengekalkan perhambaannya, dalam keadaan rakyatnya menjadi hamba abdi tanah di zaman perhambaan.

Gerakan Islam hendaklah bersama-sama Sudan melawan pemberontakan agen Salibisme, yang mahu memaksa fanatisme perkaumannya ke atas seluruh utara dan selatan Sudan, dan mencabut Islamnya.
Gerakan Islam hendaklah bersama-sama muslimin Filiphina melawan pemerintah fanatik Salib yang mahu menghancurkan tanaman mereka, dan tidak mencari mereka kecuali sebagai hamba yang berselerak, yang tidak mampu melakukan apa-apa.
Gerakan Islam hendaklah bersama-sama muslimin Kashmir, sehingga mereka bebas menentukan nasib mereka melalui kehendak serta pilihan mereka sendiri, sama ada bergabung dengan Pakistan, atau mereka sendiri merdeka, dan menghapuskan konspirasi penjajah India yang mahu memusnahkan identiti Islam bagi wilayah berkenaan, melalui pendidikan yang tiada agama, dan melalui sebaran kekejian serta dadah yang dijadikan pengkalan untuk menyerang Pakistan, malah seluruh dunia Islam.
Sewajarnya Harakah Islam mempunyai maklumat yang jelas mengenai setiap gerakan ini, bertemu secara langsung dengan para pimpinan serta mujahidinnya, dan berusaha berterusan untuk menyatukan saf, dengan melupakan perselisihan-perselisihan kecil demi matlamat yang besar. Sesungguhnya masalah jihad yang paling besar adalah perpecahan kelompok-kelompok jihad itu.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
(as-Saf:4)
Menjadi kewajipan gerakan Islam berusaha untuk mengerahkan umat Islam menuju isu Palestin. Ia sebagaimana gerakan Zionis telah mengerahkan orang Yahudi seluruh dunia dalam isu Israel.
Apa yang lebih utama dalam peringkat yang penting ini, yang termasuk peringkat yang penting di mana Israel mahu memindahkan orang-orang Yahudi Soviet ke bumi yang dijajah dengan melupakan penduduk asal Palestin, untuk mencapai impian lamanya mewujudkan Israel Raya yang terbentang dari Sungai Nil hingga ke Sungai Furat, yang mahukan sehingga ke Hijaz, Madinah dan Khaibar!

Saturday, 19 January 2013

MUHASABAH 2: ADAKAH KITA UMAT YANG BENAR-BENAR BERIMAN?


Kita semua tentera-tentera Arab telah bertemu musuh kita (Israel) dalam keadaan kita tidak tetap teguh menghadapinya sebagaimana Allah memerintahkan orang-orang beriman, dan tentera kita tidak mengingati Allah sebanyak-banyaknya, malahan sedikit pun tidak juga, dan kita tidak mentaati Allah dan RasulNya, tetapi kita pergi menghiburkan tentera-tentera itu dengan nyanyian yang menggilakan, serta tarian yang keji, sedang kita tidak berwaspada terhadap larangan Allah dari mencetuskan pertengkaran, lalu kita pun gagal, dan hilang kekuatan kita.
Bagaimana selepas itu kita meletak diri kita di antara orang-orang beriman yang Quran mengambil berat? Bagaimana kita menunggu apa yang Allah janjikan sedang kita tidak memenuhi syarat Allah?
Adalah satu kebiadaban dari kita apabila kita meminta pertolongan Allah sedang kita tidak menolong agama Allah, dan kita meminta dariNya ganjaran orang-orang beriman sedang kita tidak menuntut dari diri kita sifat-sifat orang beriman? Menjadi kewajipan kita mempercayai Allah agar Allah mempercayai kita, yang saya maksudkan ialah hendaklah kita menjadi orang-orang beriman yang sebenar, kita meredhai Allah sahaja sebagai Rab, Islam sebagai manhaj, Rasul sebagai teladan, Quran sebagai imam, dan kita membebaskan diri dari perhambaan kepada tuhan-tuhan selain Allah dalam segala perkara: dalam akidah kita, akhlak serta tingkahlaku kita, dalam perundangan dan sistem hidup kita.
Dengan iman ini sahaja kita dapat mencapai kebahagiaan, kemenangan dan kemuliaan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi orang-orang beriman di dunia, lebih-lebih lagi keredhaanNya dan ganjaranNya di akhirat.
Teman: Kamu memang betul, tetapi tidakkah orang-orang yang beriman itu ada?
Saya: Ya, dan umat ini tidak akan bersepakat di atas kesesatan, tetapi mereka adalah sedikit, dan walaupun mereka sedikit, mereka diselerakkan seperti biji-biji benih yang berselerak yang tidak diatur oleh satu ikatan, dan ramai dari mereka ditimpa kekecewaan dari usaha membaiki, lalu dia meletak senjata, dan membiarkan medan tersebut kepada serangan pemikiran orang kafir penjahat yang licik, dan sesetengah mereka berpada dengan raungan dan keluhan, menangis berpanjangan, dan tenggelam di dalam usaha mendapatkan semula, tanpa menyumbangkan sesuatu yang bermakna atau usaha yang positif, dan sesetengah mereka tidak bermaya disebabkan apa yang menimpa mereka di jalan Allah, lalu menjadi lemah serta beku, dan pelbagai masalah lagi.




Teman: Jika begitu apakah penyelesaiannya?
Saya: Penyelesaiannya terletak di tangan orang-orang beriman yang soleh itu.
Penyelesaiannya ialah mereka saling mengajak antara satu sama lain agar kembali kepada Islam sahih, sebagai akidah, Syariah, serta akhlak, dan mereka mengingatkan umat mereka, dengan membawa berita gembira serta amaran, kerana dengan Islam sahaja mereka akan menang dan memimpin dunia, dengan Islam dapat menyatukan kekuatan mereka, dan di dalam Islam sahaja – bukan ideologi-ideologi lain – ada kemuliaan dunia serta kebahagiaan akhirat... Mereka hendaklah menyatukan perjuangan mereka membebaskan umat dari kejumudan lama, kerosakan baru, dan kekufuran yang menjalar di atas mereka, yang kadang-kadang jelas, dan kadang-kadang memujuk... Hendaklah mereka yang ghairah ini mengenali masa mereka, tuntutan zaman mereka, keadaan masyarakat mereka, aliran-aliran yang saling menariknya, dan masalah-masalah yang mengelilinginya, lalu mereka menghadapinya dengan logik para ulama yang mengkaji serta profesional, bukan dengan pemikiran para pak turut atau para pelawak... Hendaklah mereka mempersenjatai diri dengan kesabaran dan keyakinan untuk melawan gelombang kebendaan pelampau yang telah memusnahkan negeri-negeri umat Islam, dan menyerang akal serta hati mereka dalam bentuk yang mengerikan, sehingga ia dinamakan oleh pendakwah Islam Sayyid Abu Hassan Ali an-Nadwi sebagai (Kemurtadan dan tiada Abu Bakar bagi menghadapinya).
Apabila mereka bersabar di atas kehangatan pertempuran di antara mereka dan kebatilan, meyakini dengan benar ayat-ayat Allah yang bersama-sama mereka, dan lebih mengutamakan Allah serta RasulNya dan jihad di jalan Allah di atas segala yang manusia sangat menginginkannya iaitu keluarga, harta dan tanah air, maka mereka telah layak dijadikan oleh Allah sebagai para pemimpin dunia, dan menjadikan mereka para pewaris, dan meneguhkan kedudukan mereka di muka bumi, sebagaimana firman Allah:
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
(as-Sajdah:24)




Teman: Jika orang-orang beriman yang soleh ini meninggalkan kewajipan tersebut, apakah yang akan berlaku?
Saya: Ia adalah satu tempat pengakhiran yang menakutkan lagi menggerunkan, yang telah ditetapkan tanda-tandanya oleh satu ayat Quran dan ditinggalkan oleh ayat lain dalam keadaan tidak diketahui lagi mengerikan, untuk jiwa pergi dalam gambaran masing-masing. Ayat pertama berbunyi:
Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(at-Taubah:39)
Manakala ayat kedua berbunyi:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(at-Taubah:24)

Friday, 18 January 2013

MUHASABAH: ADAKAH KITA UMAT YANG BENAR-BENAR BERIMAN?


Teman saya yang merupakan seorang muslim yang berwawasan telah bertanya kepada saya, dan dia mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama Islam: Adakah kata-kata orang yang waras akan bertentangan dengan perbuatannya? Saya menjawab: Tentu tidak, selagi dia bercakap dalam keadaan sedar, serta bergerak menuju ke perbuatannya. Mengapa dengan soalan ini?


Teman: Soalan ini merupakan pembuka kepada satu soalan lain yang berterusan menekan fikiran saya, dan saya telah cuba mendapatkan jawapan. Barangkali sekarang saya akan mendapat dari kamu jawapan yang meyakinkan.
Saya: Apa soalan kamu?
Teman: Bukankah Quran adalah firman Allah Taala?
Saya: Tentulah.
Teman: Bukankah semua yang berlaku di alam ini adalah dengan kehendak Allah?
Saya: Tentulah.
Teman: Kenapa kita melihat realiti yang berlaku di alam ini tidak sama dengan apa yang tertulis di dalam Quran?
Saya: Ini tidak akan berlaku, terangkan kepada saya apa yang kamu katakan.
Teman: Kita membaca di dalam Quran firman Allah:
Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.
(ar-Rum:47)
Sedangkan kamu membaca dalam lembaran realiti yang ada bahawa orang-orang yang beriman adalah golongan yang terbiar dan ditindas.
Kamu membaca firman Allah Taala:
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman;
(al-Munafiquun:8)
Sedangkan kita melihat di dalam realitinya orang-orang beriman adalah golongan yang hina yang diperhambakan.
Kita membaca firman Allah:
Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
(an-Nisa:141)
Tetapi apabila kita melihat di sekeliling kita maka kita nampak beribu-ribu jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
Kita membaca di dalam ayat-ayat lain contohnya:
Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman;
(al-Hajj:38)
Balasan yang demikian, kerana sesungguhnya Allah menjadi Pelindung orang-orang yang beriman,
(Muhammad:11)
Dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.
(al-Anfaal:19)
Dan banyak lagi ayat-ayat Quran… Walaupun begitu kita mendapati bahawa kekuatan, kedaulatan dan kemuliaan adalah menjadi milik orang-orang kafir dan golongan mulhid, sedangkan kelemahan, kemunduran serta kehinaan menjadi miliki orang-orang yang beriman! Apakah pandangan kamu berkenaan persoalan ini, dan apakah tafsirannya?
Saya: Tafsiran ayat-ayat Quran ini adalah sangat terang sekali. Segala yang dijamin oleh ayat-ayat ini iaitu kemenangan, kemuliaan, kedaulatan dan bantuan Allah merupakan jaminan untuk orang-orang yang beriman, tetapi bukan jaminan untuk setiap orang yang mendakwa beriman, dan dipanggil dengan nama-nama penganut Islam, kerana paksinya adalah terletak pada benda-benda yang dinamakan dan bukan pada nama-nama itu sendiri, dan yang diambil kira adalah fakta bukan dakwaan.




Teman: Jadi, apa yang saya dapat fahami dari penerangan kamu bahawa kita bukanlah orang-orang yang beriman?
Saya: Sekiranya iman itu adalah mengucap dua kalimah syahadah, dan memelihara beberapa syiar Islam, maka kita memang orang-orang yang beriman, dan jika iman itu merupakan usaha mencapai sifat-sifat yang dinyatakan oleh Quran untuk orang-orang beriman, maka di antara kita dengan iman Quran terdapat jarak yang sangat jauh.
Sesungguhnya orang-orang beriman yang dijamin oleh Allah dengan kemenangan, bantuan dan sokongan di dalam ayat-ayat Quran mempunyai sifat-sifat yang Quran sendiri menyebutnya, yang menampakkan akidah, amalan dan akhlak mereka, yang melayakkan mereka mendapat kemuliaan Allah melalui seruan serta pengarahanNya, sedangkan bukanlah adil kita menyebut janji Allah kepada orang-orang beriman di dalam Quran, kemudian kita mencari pula pengertian ‘orang-orang beriman’ itu di luar Quran.
Teman: Betul, jadi terangkan kepadaku siapakah orang-orang beriman itu menurut pandangan Quran?
Saya: Dengarlah ayat-ayat ini yang bersinar dari kitab Tuhanmu:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.
(al-Anfaal:2-4)
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
(al-Mukminuun:1,2)
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan;
(at-Taubah:71)
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu;
(al-Hujuraat:10)
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
(al-Hujuraat:15)
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
(an-Nur:51)
Dengarlah ayat-ayat ini dan ayat-ayat Quran lain, yang sangat banyak di dalam Quran, kemudian lihatlah realiti ratusan orang dari jutaan manusia yang bergabung kepada Islam, lalu apakah yang dapat kamu lihat? Bukankah kamu hanya melihat satu golongan yang mengabaikan solat dan mengikut syahwat, hati-hati mereka telah disibukkan dari mengingati Allah, dan hubungan mereka dengan Allah adalah terputus:
Permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka).
(al-Hasyr:14)
Kemungkaran adalah menjadi diketahui umum di kalangan mereka, sedang kemakrufan bersembunyi, malah yang makruf menjadi mungkar dan sebaliknya yang mungkar menjadi makruf pula di kalangan mereka, malahan terdapat di kalangan mereka orang yang menyuruh kepada kemungkaran serta mencegah kemakrufan.
Kemudian kami lihatlah kembali kepada enam ratus jutaan orang ini , kamu akan melihat di kalangan mereka ada jutaan orang yang telah dirosakkan oleh sikap melampau kumpulan, ada jutaan orang yang telah dirosakkan oleh putarbalik kepartian, ada jutaan orang yang telah dirosakkan oleh penindasan politik, ada jutaan orang yang telah dirosakkan oleh serangan pemikiran, ada jutaan orang yang telah dipinggirkan oleh penjajah Komunis, ada jutaan orang yang telah dinisbahkan kejahilan padanya oleh penjajah Salib, dan jutaan orang lagi yang hidup mereka tidak bermakna, di dalam kelalaian mereka adalah orang-orang yang tidak ambil peduli, dan di dalam kesusahan mereka adalah orang-orang yang cuai.
Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan).
(an-Nahl:21)
Teman: Memang benar apa yang kamu katakan, tetapi bukankah kita lebih hampir kepada orang-orang yang beriman dari orang-orang Yahudi? Mengapa mereka yang menang, dan kenapa kita yang dikalahkan ?
Saya: Orang-orang Yahudi telah menang setakat mana mereka mengambil pengiktibaran dari sunnatullah pada makhluk, dan mengambil iktibar dari sunnatullah merupakan satu bahagian penting dari iman, manakala kita pula telah mencuaikannya, dan mereka pula telah memeliharanya. Mereka telah bangun sementara kita sudah lena, mereka telah belajar sedangkan kita tidak mengetahui, mereka mara bersungguh-sungguh sedangkan kita ketinggalan, mereka bekerjasama sedangkan kita menjadi lemah, dan mereka telah menyiapkan bekalan untuk hari esok, sedang kita telah melupakan kewajipan hari ini. Golongan tersebut telah mencurahkan keringat dan darah, sedang kita tidak mencurahkan apa-apa selain air mata, lalu manakah di antara dua pasukan itu yang berada pada posisi ini lebih hampir kepada logik iman sebenar?
Sesungguhnya sunnatullah pada peningkatan dan penurunan, menang dan kalah, tidak pernah menzalimi sesiapa, dan tidak pernah cenderung kepada sesiapa. Orang yang mengambil sebab-sebab untuk menang akan memperolehinya walaupun dia seorang Yahudi, dan orang yang menempuh jalan kekalahan akan ditewaskan walaupun dia bergabung kepada Islam.
Perlukah saya memberi kamu satu contoh yang ada pada orang-orang Islam di dalam perang Uhud? Mereka telah melakukan satu kesilapan yang mereka membayar harganya tujuh puluh orang mati syahid, termasuk Hamzah pakcik Rasul, Mus’ab bin Umair, Saad bin Rabie, Anas bin Nadhar, dan lain-lain mukmin yang perwira, tiada yang dapat menyelamatkan walaupun panglima perang mereka adalah Rasulullah, dan musuh-musuh mereka adalah para penyembah berhala.
Quran merakamkannya, dan ia adalah hukum yang adil, ke atas kaum muslimin:
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? Dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Ali Imran:165)
Kemudian saya bertanya: Adakah kamu mahu saya menambah penjelasan?
Marilah membaca bersama-sama saya ayat-ayat Quran ini:
Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.
(an-Nisa:71)
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.
(al-Anfaal:60)
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
(al-Anfaal:45-46)
Adakah kita memahami ayat-ayat ini? Sesungguhnya kita tidak pernah bersedia dan berjaga-jaga, malahan kita telah datang dengan tiba-tiba, lalu kita dikejutkan dengan perancangan-perancangan Zionis sedunia yang berhadapan dengan kita, sedang kita dalam kelalaian terhadap urusan kita... Kita tidak pernah menyediakan segala jenis kekuatan yang dapat kita sediakan, kecuali senjata-senjata rosak yang telah kita membelinya, yang berundur ke penyerang sebelum ia menuju ke pihak yang diserang... Demikianlah kelalaian kita terhadap senjata serta peralatan kita lalu mereka pun menyerang kita sekaligus, sebagaimana yang disebut oleh ayat Quran.
Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.
(an-Nisa:102)

Thursday, 17 January 2013

Analisis di antara KHILAFAH 2.0 dengan BERSIH 2.0


KUALA LUMPUR - Analisis di antara BERSIH 2.0 dengan KHILAFAH 2.0 mendapati bahawa kesamaan di antara keduanya cuma pada nombornya sahaja iaitu akan terjadi buat kedua kalinya.

Namun begitu, BERSIH 2.0 belum benar-benar pasti akan terjadi tetapi sebaliknya KHILAFAH 2.0 (buat kedua kalinya) benar-benar akan terjadi bersandarkan hadis - "..Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam." [Hadis Riwayat Ahmad]

Selain itu, jelas sekali usaha tuntutan-tuntutan himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)adalah untuk mempromosikan sistem demokrasi warisan penjajah iaitu kebebasan bersuara. KHILAFAH 2.0 pula mempromosikan sistem khilafah warisan Rasulullah SAW iaitu akan melaksanakan syariat Islam secara keseluruhan.

Hak bersuara untuk menikmati demokrasi yang telus dan dinamik menyebabkan ramai yang menyokong dan bukan mengecam tuntutan-tuntutan tersebut.

BERSIH 2.0 telah menjemput semua rakyat di Malaysia yang berminat untuk menghadiri dan meluahkan pandangan-pandangan mereka di Majlis Pelancaran Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun 2011.

8 tuntutan BERSIH 2.0 secara terperinci adalah seperti berikut :-


Bersihkan senarai undi
Mereformasikan undi pos
Gunakan dakwat kekal
Akses media bebas dan adil
Masa berkempen minima 21 hari
Kukuhkan institusi awam
Hentikan rasuah
Hentikan politik kotor
Bersihkan Pilihanraya
Kembalikan hak rakyat



Perbezaan yang lainnya di dalam KHILAFAH 2.0 dengan BERSIH 2.0 ada empat asas perlu diperhatikan iaitu:-

Kedaulatan di tangan syara’. Hanya syara’ yang berhak menentukan apa yang halal dan haram serta apa yang terpuji atau tercela. Manusia hanya memahami ayat-ayat Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
Kekuasaan di tangan umat. Maksudnya umatlah yang memilih pemimpin dengan rela untuk menerapkan Syariat Islam.
Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di dunia Islam.
Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak memutuskan hukum syara’.


Tuntutan di dalam KHILAFAH 2.0 kepada pemerintah Islam yang bertanggungjawab kepada umat secara terperinci adalah seperti berikut :-

Pertama : Memelihara Keturunan.
Antara langkah-langkah praktiknya: Mensyariahkan nikah dan mengharamkan penzinaan; Tidak memberikan kebebasan dalam tingkah laku, berhubungan bebas, seks bebas dan sebagainya; Menetapkan berbagai hukuman terhadap mereka yang berzina.

Dalam sistem kehidupan sekular, tentunya perkara-perkara tersebut tidak dapat dilakukan kerana melanggar hak asasi manusia yang merupakan tunjang kepada sistem demokrasi.

Kedua : Memelihara Akal.
Islam telah menetapkan beberapa perkara antaranya; Mewajibkan seluruh warganegara menuntut ilmu dengan pembiayaan sepenuhnya oleh negara. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para khalifah; Mencegah dan melarang dengan tegas segala perkara yang merosakkan akal seperti minuman keras dan dadah; Menetapkan hukuman terhadap semua yang terlibat dengan barangan larangan tersebut.

Dalam sistem sekarang, minuman keras dianggap barang yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerana cukai importnya. Maka, ianya hanya ‘diharamkan’ sekiranya tidak membayar cukai atau diseludup secara haram. Itu pun, hukumannya langsung tidak meninggalkan kesan terhadap pelakunya.

Ketiga : Memelihara Kehormatan.
Hal ini diatur dengan; Memberikan kebebasan untuk melakukan apa pun yang mubah selagi tidak keluar dari sempadan syariah; Melarang orang menuduh zina, jika tiada bukti, hukuman had al-qazaf iaitu disebat 80 kali akan dilaksanakan; Wanita dijadikan sebagai “kehormatan” yang mesti dipelihara, dan bukannya sebagai barangan murahan.

Era dunia sekular sekarang tidak menjamin kehormatan seseorang. Acara-acara hiburan, ekploitasi ke atas wanita, malah aksi-aksi pornografi (lucah) dibiarkan berleluasa.

Keempat : Memelihara Jiwa (Nyawa) Manusia.
Dengan syariah Islam setiap warga daulah Islam walau apa pun bangsa dan agamanya, akan terpelihara dan dijamin keselamatan jiwanya.

Sebaliknya, tanpa syariah Islam, realiti hari ini menunjukkan bahawa setiap hari media ada melaporkan kes pembunuhan. Keluarga mangsa korban selalunya tak dilayan seadilnya. Berbeza dengan Islam yang menetapkan hukum qisas dan diyat.

Kelima : Memelihara Harta.
Dalam Islam, bukan hanya harta peribadi yang dilindungi, tetapi keperluan asas setiap individu juga terjamin. Harta milik umum seperti hasil galian, petroleum dan sebagainya hanya akan dikelolakan oleh negara dan dikembalikan bagi kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, dalam sistem sekular keperluan asas pun tidak dijamin, apatah lagi harta milik umum hanya dirasai segelintir orang kaya termasuklah rakyat asing.

Keenam : Memelihara Agama.
Islam mempunyai hukuman bunuh bagi orang yang murtad.
Dalam sistem sekular, agama ini sering diperlecehkan, aqidah umat juga tidak terpelihara untuk disesuaikan dengan prisip kebebasan beragama.

Ketujuh : Memelihara Keamanan.
Khalifah yang telah dibaiat, sudah tentu tidak akan membiarkan pihak asing menguasai kemanan daulah. Bahkan mereka yang merompak, merusuh dan membuat jenayah akan dibunuh, disalib dan diasingkan dari daulah (salah satu atau ketiga-tiganya). Bandingkan dengan situasi kini, penjenayah bebas keluar masuk penjara tanpa rasa kesal dan rakyat sentiasa rasa tidak aman dan selamat.

Kelapan : Memelihara Negara.
Dalam Islam, keutuhan daulah sentiasa dijaga. Pemberontak negara akan dihukum. Sebarang usaha untuk memecahbelahkan daulah akan dilumpuhkan. Bezanya kini, sistem sekular membiarkan negeri umat Islam berpecah menjadi serpihan kecil dan lemah.


Semoga KHILAFAH 2.0 akan segera terlaksana buat kedua kalinya agar syariat Islam dapat dilaksanakan dan diterapkan secara keseluruhan.

Kebangkitan KHILAFAH 2.0 semakin dekat dan umat Islam perlu bersedia untuk menerimanya dan berusaha untuk mendirikannya.

Friday, 30 November 2012

HIJRAH RASULULLAH - KELUAR DARI DARUL KUFUR MENUJU DARUL ISLAM




Tindakan dan makna politik penting dari hijrahnya Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang sering dilupa dan dilalaikan oleh umat Islam adalah kewajipan menegakkan Negara Islam (ad-Daulah al-Islamiyah). Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sesungguhnya merupakan titik penting dalam babak perjuangan baginda beserta para sahabat di dalam menegakkan agama Allah di mana dari situlah lahirnya sebuah Daulah Islam. Madinah merupakan Negara Islam pertama di dunia yang didirikan oleh Rasulullah SAW yang dibangun berdasarkan aqidah Islam. Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin Negara yang bertanggungjawab mengurus urusan umat (rakyat) secara keseluruhan. Sementara hukum (undang-undang) yang berlaku adalah hukum Islam secara keseluruhan menggantikan hukum Jahiliyyah yang sesat dan zalim.


Keberadaan pemimpin, rakyat dan hukum ini cukup untuk menjadi bukti kukuh bahawa apa yang dibangun oleh Rasulullah SAW di Madinah adalah sebuah Negara, dan ia adalah sebuah Negara (Dar) Islam, setelah sebelumnya baginda dan para sahabat hidup dan berjuang di Mekah yang merupakan Negara (Dar) Kufur pada ketika itu. Negara baru yang dibangun oleh Rasulullah SAW ini dihuni oleh warganegara yang beragam. Selain kaum Muslimin yang menjadi majoriti, terdapat Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Auf, Bani Najjar dan termasuk masih terdapat orang-orang musyrik penyembah berhala. Namun keberagaman ini langsung tidak menghalangi penerapan hukum Islam oleh Rasulullah. Ini kerana hukum Islam sesungguhnya bukan hanya untuk orang-orang Islam sahaja tetapi ia merupakan hukum (undang-undang) Negara yang terpakai ke atas semua warganegara tanpa mengira bangsa dan agama dan ia merupakan rahmat bagi seluruh manusia (rahmatan lil ‘alamin), termasuk non-Muslim. Hubungan antara kaum Muslimin dan warganegara lain yang non-Muslim di atur oleh Rasulullah dengan Islam dan sebuah piagam yang disebut Piagam Madinah (watsiqah al-madinah) diwujudkan. Sebagaimana disebutkan di dalam Sirah Ibnu Hisyam bahawa apabila muncul perselisihan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian, maka wajib dikembalikan kepada Allah dan RasulNya. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa:59. Imam al-Mawardi dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini sebagai kewajipan mentaati Allah SWT dalam seluruh perintah dan laranganNya dan taat kepada Rasulullah SAW. Beliau juga mengutip penjelasan Mujahid dan Qatadah bahawa makna kembali kepada Allah dan Rasul adalah kembali kepada kitabullah dan Sunnah Rasulullah.


Perlu difahami bahawa Rasulullah SAW tidak mendirikan negara-bangsa (nation-state), tetapi baginda mendirikan Negara Islam (Islamic State). Islamic State ini tidak hanya dikhususkan kepada bangsa-bangsa tertentu, tetapi untuk kesemua manusia yang ingin tinggal di dalamnya (dan tunduk kepada Islam) dan wilayah kekuasaan Islamic State ini meluas ke seluruh dunia sebagai konsekuensi kewajipan dakwah Islam ke atas umat manusia seluruhnya. Negara Islam ini kemudiannya berkembang dan terus berkembang dengan jalan dakwah dan jihad yang dilakukan oleh Nabi SAW. Di masa Khulafa’ Rasyidin dan para Khalifah selepasnya, Daulah Islam ini meluas hingga hampir mencapai 2/3 dunia dengan pelbagai bangsa dan agama di dalamnya yang kesemuanya tunduk kepada hukum Islam yang merupakan undang-undang Negara. Walaupun Madinah merupakan sebuah kota kecil ketika itu, namun bukti bahawa Madinah merupakan sebuah Negara Islam tampak jelas dari apa yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana lazimnya dipraktikkan oleh seorang Ketua Negara. Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin, mengatur urusan-urusan dan kepentingan rakyatnya, memenuhi keperluan pokok rakyat, menjamin keamanan dan kesihatan untuk rakyat dan melindungi penduduk Madinah. Rasulullah SAW menjadi hakim (qadhi) pada waktu terjadi perselisihan antara rakyatnya, termasuk mengangkat Ali bin Abi Thalib, Mu’adz bin Jabal, dan Abu Musa al Asy’ari sebagai qadhi di Yaman. Untuk membantu pemerintahannya, Rasululah SAW mengangkat Abu Bakar dan Umar sebagai Mu’awwin (pembantu)nya, Mu’adz bin Jabal menjadi Wali (gabenor) di Janad, Khalid bin Walid sebagai Amil di Sun’a, Ziyad bin Lubaid sebagai Wali di Hadhramaut, Abu Dujanah sebagai Amil di Madinah dan seterusnya. Dalam mengurus politik luar negara, Rasulullah SAW mengirim surat-surat diplomatik, melalui utusan diplomatik baginda yang mana kandungannya mengajak pemimpin dan rakyat negara lain untuk memeluk agama Islam. Sebagai ketua Negara, Rasulullah adalah Amirul Jihad (ketua/pemimpin perang) dalam pelbagai pertempuran dan mengangkat beberapa orang sahabat baginda sebagai Komandan di dalam beberapa peperangan. Baginda mengutus Hamzah bin Abdul Muthalib dan sahabat lainnya dalam pasukan perang menyerang Quraisy, mengutus antara lain Zaid bin Haritsah menyerang Rom, Khalid bin Walid menyerang Dumatul Jandal dan banyak lagi. Kesemua hal ini hanya boleh/layak dilakukan oleh seorang Ketua Negara dan semua fakta ini merupakan hakikat yang tidak boleh dibantah bahawa Madinah adalah sebuah negara dengan Ketua Negaranya adalah Rasulullah SAW.

Bermula dari hijrah Rasulullah SAW yang keluar dari Negara Kufur menuju tegaknya Negara Islam, agama Islam yang sebelum itu hanya menjadi anutan pengikutnya sahaja kemudian telah bertukar menjadi agama yang memerintah negara dan memerintah dunia. Agama suci ini telah zahir di atas agama-agama yang lain dengan peranan Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya ke seluruh pelosok dunia. Namun malangnya, sejak kejatuhan Daulah Islam lebih kurang 90 tahun yang lalu (28 Rajab 1342H), agama Islam sudah tidak lagi memimpin dunia kerana tidak ada lagi Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya. Umat Islam pula sering dipalingkan dari makna hijrah yang sebenar oleh para pemimpin dan oleh ulama su’ (buruk) sehingga sudah tidak ada kesedaran dari sebahagian besar umat Islam bahawa hijrah Rasulullah adalah sesungguhnya bermaksud keluar dari Negara Kufur menuju Negara Islam, dan ini merupakan sebuah kewajipan.

Adapun kewajipan mendirikan Negara Islam (Khilafah) adalah merupakan konsekuensi dari kewajipan menerapkan seluruh syariah Islam sebagai bukti keimanan seorang Muslim kepada Allah SWT. Keberadaan negara (kekuasaan) adalah hal yang mutlak untuk itu. Kewajipan menegakkan syariah Islam dalam pemerintahan seperti menerapkan hudud Allah, qisas, ta’zir, menetapkan mata wang berdasarkan dinar (emas) dan dirham (perak), mengadili pihak yang bersengketa, menjatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah, mengirim pasukan perang, menjamin pengagihan harta di tengah-tengah masyarakat, menjamin keperluan pokok (basic needs) rakyat, mengambil jizyah, kharaj, ghanimah, jihad dan banyak lagi adalah termasuk dalam bidangkuasa (authority) negara, bukannya bidangkuasa mana-mana kelompok atau individu. Kerana itu menyatakan Negara Islam tidak wajib adalah sebuah kebodohan yang tidak dapat diterima di dalam agama kerana ia termasuk di dalam hal yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak ada alasan untuk tidak tahu). Sesungguhnya kewajipan menerapkan syariah Islam secara total bererti kewajipan mewujudkan sebuah negara yang didasarkan kepada Islam (Khilafah). Kewajipan mulia (menegakkan Khilafah) ini tidak pernah diperdebatkan oleh ulama-ulama tersohor dan mukhlis sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslimnya, “Mereka (para imam mazhab) telah bersepakat bahawa kaum Muslimin wajib mengangkat seorang Khalifah”.

Umat Islam semakin Menyahut Seruan Khilafah
Setelah berjaya dalam usaha ratusan tahun mereka meruntuhkan Khilafah, berpuluh tahun pula lamanya usaha golongan kuffar Imperialis Barat melakukan serangan terhadap usaha umat Islam untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah. Di samping tindakan fizikal (peperangan, penangkapan, penyeksaan dan pembunuhan) mereka ke atas anggota-anggota gerakan Islam yang ingin menegakkan semula Khilafah, mereka juga melakukan serangan pemikiran yang bertubi-tubi tanpa henti ke atas usaha mewujudkan kembali Daulah Islam. Mereka melontarkan pelbagai kata-kata dan propaganda jahat bagi menggambarkan kepada dunia bahawa gerakan yang ingin menegakkan Khilafah adalah gerakan yang ekstrem, radikal, teroris dan pelbagai macam tohmahan lagi. Mereka berusaha untuk menakutkan dunia, termasuklah dunia Islam sendiri bahawa Khilafah merupakan sebuah kekuasaan yang penuh dengan kejahatan dan kekolotan. Mereka melantik agen mereka dari kalangan penguasa umat Islam bagi memastikan Khilafah tidak dapat ditegakkan.

Bekas Presiden AS, George Bush sering melemparkan kata-kata jahatnya terhadap gerakan yang ingin mendirikan semula Khilafah, antaranya dia mengatakan, “They hope to establish a violent political utopia across the Middle East, which they call caliphate, where all would be ruled according to their hateful ideology.” (“Mereka mengharapkan berdirinya sebuah entiti politik kejam yang tak masuk akal di Timur Tengah, yang mereka sebut sebagai Khilafah, di mana semuanya akan diperintah mengikut ideologi kebencian mereka”). Sekutu rapat Bush yang juga mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, semasa memberi komen setelah peristiwa pengeboman London menyifatkan pengebom sebagai ‘barbarian’. Tidak berhenti di situ. Blair kemudian menambah, “Undang-undang syariah di dunia Arab akan membawa kepada terbentuknya satu keKhilafahan untuk seluruh manusia dengan Islam.” Menteri Dalam Negerinya Charles Clark ketika itu pun turut memberikan pernyataan (dalam dialognya dengan para pemikir sayap kanan Amerika, The Heritage Foundation), “Kita tidak akan pernah bertolak ansur sedikit pun tentang penegakan Khilafah. Kita juga tidak akan bertolak ansur apa pun tentang pelaksanaan undang-undang (hukum) syariah.” Banyak lagi propaganda dan kenyataan yang dibuat oleh golongan kuffar ini tentang Khilafah. Seruan kepada Khilafah benar-benar telah digambarkan dengan gambaran yang jahat oleh mereka dan mereka sering mengaitkannya dengan keganasan. Padahal, usaha umat Islam untuk menegakkan Khilafah, sejak Khilafah dihancurkan pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), adalah sebuah usaha yang mulia di dalam menegakkan kembali agama Allah yang telah dihancurkan oleh musuh-musuhNya ini.

Hizbut Tahrir adalah antara gerakan Islam antarabangsa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semula Khilafah ke persada dunia melalui jalan politik dan intelektual. Di dalam perjuangan menegakkan Khilafah, Hizbut Tahrir telah dan senantiasa meneladani thariqah (jalan) dakwah Rasulullah SAW semasa di Mekah sehingga tertegaknya Negara Islam di Madinah, yang mana perjuangan dakwah ini semata-mata dilakukan melalui jalan fikriyyah (pemikiran) tanpa kekerasan (la madiyah) sedikit pun. Kita hendaklah yakin bahawa sekiranya kita ikhlas dan bersungguh-sungguh di dalam perjuangan mengembalikan semula Khilafah dengan mengikuti thariqah yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW, Insya Allah pertolongan Allah akan bersama kita, walau bagaimana hebat dan dahsyat halangan dari musuh-musuh Allah sekalipun. Sejak ditubuhkan pada tahun 1953 di Baitul Maqdis, Palestine, seruan menegakkan Khilafah yang dilaungkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia telah membuka mata umat Islam dan mendapat sokongan dari mereka yang ikhlas. Hal ini sesungguhnya semakin menakutkan kuffar Barat (akan kemunculan semula Khilafah). Kaum Muslimin di seluruh dunia mulai sedar dan menganggap perjuangan ini sebagai qadhiyah masiriyah (agenda utama) dan semakin memahami kewajipan hukumnya. Kaum Muslimin juga mula sedar bahawa Khilafah merupakan satu-satunya alternatif terhadap segala kerosakan, kezaliman, penjajahan, perpecahan, kekacauan, pembunuhan dan sebagainya yang kini sedang melanda dunia Islam.

Sejak sekian lama, Hizbut Tahrir telah melakukan banyak seruan, konferens, seminar dan demonstrasi aman di seluruh dunia untuk menyedar dan membangkitkan umat agar berjuang menegakkan Khilafah. Seruan penegakan Khilafah ini telah disambut oleh ratusan ribu kaum Muslimin yang dengan jelas menyokong usaha-usaha ke arah menyatukan umat Islam di bawah satu Negara. Baik di negara umat Islam mahupun bukan, seruan dan usaha ke arah penegakan Khilafah telah kedengaran di mana-mana. Seruan mulia ini telah bergema di setiap lorong, jalan-jalan, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta, universit-universiti, masjid-masjid dan rumah-rumah kaum Muslimin di seluruh dunia. Ribuan umat Islam telah keluar untuk bergabung, menyokong, mendengar dan membicarakan tentang Khilafah. Dari golongan kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun tua, baik lelaki mahupun wanita, pendek kata, kaum Muslimin tanpa mengira bangsa telah mula sedar dan bangkit bahawa Khilafah merupakan satu-satunya jalan dan masa depan bagi umat Islam. Pada tahun 2007 sebagai contoh, Konferens Khilafah Internasional yang diadakan di Indonesia telah dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam yang datang dari seluruh ceruk Indonesia khususnya dan dunia amnya yang menyatakan sokongan yang begitu kuat untuk menegakkan semula Khilafah. Al-Jazeera, BBC, Reuters dan lain-lain media internasional melaporkan tentang himpunan terbesar umat Islam ini yang menginginkan Khilafah. Segala puji bagi Allah, sambutan umat Islam di seluruh dunia kini amat memberangsangkan dan kebanyakan mereka memberi sokongan penuh kepada usaha menegakkan kembali institusi politik agung umat Islam ini.

Justeru, sempena hijrah tahun ini (1434H) Hizbut Tahrir sekali lagi menyeru agar semua pihak bergabung dengan saudara-saudara kita di seluruh dunia dan saling bahu-membahu dalam perjuangan untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah, yang akan menyatukan kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan, membebaskan kaum Muslimin dari cengkaman musuh-musuh Allah serta mengembalikan kemuliaan kaum Muslimin sebagaimana dahulunya. Jadikanlah hijrah Rasul sebagai peringatan untuk kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menukar Darul Kufur yang kita duduki kepada Darul Islam yang sekaligus akan menukar segala hukum kufur kepada hukum Islam. Sentiasalah ingat bahawa hijrah Rasulullah adalah merupakan hijrah baginda dari Negara Kufur menuju Negara Islam dan ia merupakan sebuah kewajipan ke atas kita semua yang tidak ada tawar-menawar lagi. Ia (menegakkan Daulah Islam) adalah perintah Allah dan kita semua wajib mematuhinya. Berusahalah untuk menegakkan Khilafah dan sahutlah seruan Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu, ‘Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?’ mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah...” [TMQ as-Saf (61):14].

Khatimah










Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Sesungguhnya Khilafah bukanlah monopoli salah satu kumpulan atau mana-mana kelompok Islam. Khilafah adalah sistem pemerintahan Islam yang sama-sama kita harap dan usahakan penegakannya. Sistem tersebut merupakan satu kefardhuan yang agung, yang telah Allah SWT tetapkan. Seruan-seruan yang dikumandangkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, selain menjelaskan adanya sebuah kekuatan yang sedang membimbing kaum Muslimin menuju tegaknya Khilafah, juga telah berjaya meruntuhkan berbagai fitnah dan serangan yang dipenuhi kedengkian, berbagai kritikan yang keliru, serta berbagai kebohongan dan propaganda yang telah dihembuskan oleh musuh-musuh Islam sejak bertahun-tahun yang lalu. Kaum Muslimin kini semakin sedar bahawa adalah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk memperjuangkan penegakan semula Khilafah serta mendukung gerakan Islam yang memperjuangkannya. Nas-nas syarak yang jelas dan sejarah sepanjang lebih 1,400 tahun pemerintahan Islam telah membuktikan bahawa Khilafahlah satu-satunya sistem pemerintahan yang wajib, sahih dan adil bagi umat manusia. Dengan janji dan izin Allah, Khilafah akan pasti berdiri dan ia akan kembali memimpin dunia dan akan menggantikan sistem kufur demokrasi yang penuh kebohongan dan kejahatan saat ini dengan sistem Islam yang penuh rahmat dan berkat.