Saturday 19 May 2012

SURAT TERBUKA KEPADA PENULIS NOVEL SEJARAH ISLAM


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Encik Abdul Latip,
Sejak awal tahun 2012 atau penghujung 2011, saya telah melihat dan membaca novel yang tuan tulis berkenaan Salahuddin al-Ayubi. Tahniah saya ucapkan di atas penulisan novel-novel seumpama ini yang menarik perhatian remaja dan pemuda Islam bagi mengenali tokoh-tokoh Islam di pentas sejarah.
Cuma saya ingin membetulkan fakta yang telah tuan tulis berkenaan kedudukan Sultan Salahuddin selepas beliau mengambil alih kuasa memerintah Mesir dengan kewafatan Khalifah al-Adid dari Fatimiyyah di sana.
Di dalam buku tuan disebut: Sultan Salahuddin telah melantik dirinya menjadi khalifah Islam.
Fakta ini adalah salah dari sudut ilmu Syariat berkenaan Siasah Islam (Politik Islam) dan dari sudut fakta sejarah dalam sumber-sumber sejarah Islam.
Dari sudut ilmu Siasah Islam: Sebenarnya Islam tidak mengizinkan wujud dua orang Khalifah dalam satu masa. Ini kerana jawatan Khalifah adalah pemimpin tunggal yang tertinggi bagi orang Islam.
Nabi Muhammad bersabda: 'Jika dibaiat dua orang khalifah (dalam satu masa), hendaklah kamu perangi khalifah yang terkemudian dibaiat'.
Oleh itu jawatan yang tepat (kedudukan sebenar) Sultan Salahuddin adalah sebagai seorang Wali (Gabenor) yang memerintah wilayah Mesir mewakili Khalifah Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad ketika itu. Ini adalah kedudukan Sultan Salahuddin di sisi ilmu Siasah Islam.

Dari sudut fakta sejarah pula, bukti yang menunjukkan bahawa Sultan Salahuddin tidak pernah mengangkat dirinya menjadi khalifah: Semasa beliau mengambil alih kuasa di Mesir, beliau memerintahkan agar Khutbah Jumaat dibaca di atas nama Khalifah Bani Abbasiah, dan ditutup dengan doa untuk Khalifah Abbasiah, bukan di atas nama Salahuddin Ayubi sendiri. Tuan boleh merujuk fakta ini dalam buku berjudul :
Pembaharuan Salahuddin Ayubi,
penulis: Abdullah Nasih Ulwan,
penerbit: Darul Nu'man KL, cetakan 2009.
Saya telah merujuk buku ini yang ditulis oleh ulama Jordan di dalam edisi asalnya.
Saya berharap tuan boleh merujuk kepada buku yang sama, yang mana edisi Bahasa Malaysia-nya ada di pasaran, mungkin di pesta buku yang sedang berlangsung.
Saya berharap teguran saya bermanfaat untuk tuan.
Sekian, terima kasih.




No comments: