Monday 20 August 2012

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM: HARAM MEMILIH PEMIMPIN SEKULAR
















Pilihan raya umum semakin hampir. Parti-parti politik tanahair kini semakin sibuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan. Pelbagai bentuk latihan persediaan dan kempen politik dilaksanakan untuk memastikan masing-masing dapat ikut serta dalam berkuasa semakin hebat dilakukan. Kerjasama antara parti pula menjadi pilihan wajib, kerana tidak ada satu parti pun yang mampu meraih undi lebih 50%. Parti Islam pun tidak terlepas. Pakatan dengan parti yang berbeza platform dan ideologi menjadi pilihan yang tidak dapat dielakkan apabila parti Islam memilih untuk berpatisipasi dalam kerajaan baru yang akan dibentuk. Sebaliknya, jika ia memilih untuk menjadi parti oposisi, parti Islam akan kehilangan peluang untuk mendapatkan kekuasaan. Akibatnya, misi yang pernah mereka war-warkan iaitu ‘menghalang kerajaan dari dikuasai oleh parti sekular dan mencorakkan kerajaan dengan warna keIslaman’ nampaknya jauh panggang dari api. Untuk itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain mendekati parti sekular bagi mendapat suara besar.
Cuma, dengan mendapat suara yang boleh dikatakan ‘merugikan’ parti Islam yang tidak mempunyai posisi yang kuat berbanding parti-parti sekular. Parti Islam ini ternyata tidak dapat menentukan arah dan bentuk kerjasama, namun perlu tunduk di bawah kehendak parti sekular. Kerjasama seperti ini tentu akan mendorong parti Islam melibatkan diri dalam pakatan pragmatis yang tiada ideologi. Akidah dan syariah yang sepatutnya dijadikan landasan dan ukuran setiap tindakan terpaksa ditinggalkan demi kepentingan-kepentingan politik sementara. Malangnya lagi, golongan ini tidak malu-malu menakwilkan dalil-dalil syarak bagi mengharuskan tindakan mereka.
Realiti yang ada ini setidak-tidaknya mendorong umat Islam mempersoalkan: Bolehkah parti Islam melibatkan diri dalam pilihan raya seperti ini? Apa pandangan syariah Islam terhadap pilihan raya umum dan pakatan parti Islam dengan parti sekular?



Alasan Kerjasama
Terdapat beberapa alasan penting yang mendorong parti Islam bekerjasama dengan parti sekular. Pertama: alasan yang bersifat pemikiran. Terdapat parti Islam yang meyakini bahawa kerjasama dengan parti sekular dan musyarakah (ikut serta) dalam pemerintahan kufur bukanlah tindakan yang melanggar syariah. Mereka berdalih dengan Perjanjian Hudaibiyah, kaedah ahwanus syarrain, masalih mursalah serta hujah-hujah lain yang sebenarnya tiada hubungan sama sekali dengan kerjasama politik dan musyarakah.
Perjanjian Hudaibiyah misalnya, konteksnya adalah perjanjian antara negara dan sama sekali tidak berkaitan dengan kerjasama parti Islam dengan parti sekular mahupun pemerintahan kufur. Kaedah ahwanus syarrain (memilih bahaya yang lebih kecil) juga telah digunakan tidak kena pada konteksnya yang sebenar. Sebabnya, masih ada jalan halal bagi melakukan perubahan di negara ini. Pilihan raya umum, parlimen dan musyarakah dalam pemerintahan kufur bukannya satu-satu pilihan yang ada bagi parti Islam, yang kemudian dengan bermudah-mudah mereka boleh menggunakan kaedah ahwanus syarrain atau akhzu akhaffu dhararain bagi membolehkan kerjasama dengan parti sekular dan musyarakah dengan pemerintahan kufur.
Kedua: alasan yang bersifat politik-pragmatis. Kerjasama antara parti juga adalah berasaskan kepentingan-kepentingan yang bersifat pragmatis. Biasanya, pakatan adalah bertujuan bekerjasama dalam meraih kekuasaan, membentuk kerajaan baru yang padu, kuat dan sah, bersama alasan-alasan politik lain yang bersifat pragmatis. Jika pakatan sudah dijalin, parti-parti ahli pakatan akan memberi komitmen untuk terikat dengan isi-isi kesepakatan politik itu, dan akan berusaha merealisasikan kerjasama tersebut dalam bentuk yang lebih nyata. Adakalanya pakatan antara parti bersifat tetap dan menyeluruh. Maksudnya, parti-parti tersebut bekerjasama tidak hanya dalam kerajaan sahaja, tetapi juga di parlimen, dan ruang kesepakatannya hampir merangkumi semua bidang kehidupan, hingga ke akhir tempoh pemerintahan kerajaan itu.
Dalam pandangan syariah Islam, kerjasama dan parsitipasi mestilah sentiasa didasarkan pada akidah dan syariah Islam serta dilakukan untuk tujuan-tujuan yang selaras dengan akidah dan syariah Islam. Ini kerana Quran telah menggariskan bahawa kerjasama dan partisipasi harus dalam kebaikan dan takwa. Tidak ada kerjasama dan partisipasi dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah dan syariah. Oleh itu kerjasama parti Islam dengan parti sekular untuk menegakkan sistem pemerintahan kufur, melantik ketua kerajaan yang akan menerapkan hukum-hukum kufur dan berpatisipasi dalam pemerintahan sekular jelas merupakan partisipasi yang dilarang oleh Islam.
Ada alasan yang menyatakan bahawa pakatan dengan parti sekular merupakan satu strategi bagi mencorakkan kerajaan yang akan datang dengan warna Islam. Sesungguhnya alasan seperti ini tidak lain hanya pembohongan yang tidak seiring dengan fakta nyata. Ini kerana dengan suara yang boleh dikatakan sederhana, posisi tawar-menawar parti Islam di hadapan parti-parti sekular adalah sangat rendah. Jika mereka tetap ingin mendapat kekuasaan, parti Islam harus tunduk dan patuh dengan arahan dan bentuk kerjasama yang ditentukan oleh parti-parti besar. Apalagi sejak awal parti Islam menyatakan bahawa pakatan dengan parti sekular tidak akan mempersoalkan platform dan ideologi parti. Maknanya, pakatan yang mereka bentuk sudah tidak dilandaskan pada ideologi Islam (akidah Islam), tetapi kepentingan politik yang pragmatis. Padahal bukankah perbuatan yang tidak berlandaskan akidah dan syariah Islam pasti akan ditolak oleh Allah? Adakah parti Islam telah melupakan urusan akhiratnya, sehingga dalam beramal tidak lagi dilandaskan pada akidah Islam, tetapi pada kepentingan pragmatis? Lalu bagaimana mereka boleh menyatakan, bahawa pakatan dengan parti sekular merupakan strategi ampuh untuk mencorakkan pemerintahan dengan Islam, sedangkan sejak mula lagi mereka mencampakkan ideologi dan syariah Islam demi mendapatkan kekuasaan? Ternyata parti Islam bukanlah pihak yang mencorakkan, tetapi adalah pihak yang akan dicorakkan.
Ketiga: ikut serta dalam memilih pemikiran ini. Faktor lain yang menjadi asas pakatan parti Islam dengan parti sekular ialah pandangan yang keliru yang dipegang oleh parti Islam akibat ikut serta secara sukarela dengan pemikiran politik sekular. Dalam pandangan mereka, politik diidentitikan dengan how to get power dan to distribute power (bagaimana cara memperolehi dan mengagihkan kuasa). Pandangan seperti ini telah membahagikan parti politik kepada dua kelas besar: 1.parti pemerintah 2.parti oposisi. Parti pemerintah adalah parti yang berjaya meraih kekuasaan, atau mendapat kuasa, dan terlibat secara aktif dalam pemerintahan. Sebaliknya, parti oposisi adalah parti yang meletakkan diri sebagai pembangkang, dan tidak melibatkan diri dalam pemerintahan (eksekutif). Jika parti politik ingin memainkan peranan dalam pemerintahan, ia harus menjadi parti pemerintah. Sebaliknya, jika ia memilih untuk menjadi parti oposisi bermakna ia tidak berperanan aktif dalam pemerintahan.
Pandangan ini juga telah menjangkiti parti Islam. Jika parti Islam ingin memberikan pengaruh politiknya pada kerajaan maka dia harus melibatkan diri dengan pentadbiran kerajaan itu, tanpa mempertimbangkan lagi halal dan haram. Sebaliknya, jika mereka mereka memilih untuk menjadi parti oposisi, mereka tidak mungkin dapat berperanan dan berpasitipasi dalam kerajaan yang ada. Sedangkan strategi dakwah mereka adalah melakukan perubahan melalui pemerintahan, di samping melalui parlimen. Oleh itu, satu-satunya pilihan bagi mereka adalah bekerjasama dengan parti sekular dan bermusyarakah dengan pemerintahan kufur. Mereka sudah tidak kisah hakikat bahawa parti sekular dan kerajaan yang mereka dukung itu sebenarnya adalah musuh sejati mereka.

Wajib Memisahkan Diri
Selama ini ada anggapan bahawa tindakan tidak melibatkan diri dalam kerajaan yang ada adalah satu sikap tidak peduli dengan nasib bangsa, tidak produktif, dan pilihan yang tidak bertanggungjawab. Tanggapan ini adalah benar jika pihak yang menguruskan pemerintahan dan negara menerapkan serta menjalankan hukum-hukum Islam, dan menjadikan akidah Islam sebagai asas bermasyarakat dan bernegara. Sebaliknya, jika para pengurus negara menjalankan peraturan-peraturan kufur, dan mencampakkan akidah Islam sebagai asas bermasyarakat dan bernegara, maka sepatutnya seorang muslim harus memisahkan diri dari mereka, dan terus berjuang untuk mengubah keadaan tersebut. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا
“Akan ada para penguasa, kemudian kamu akan mengetahui makruf dan mungkarnya. Sesiapa yang membencinya akan bebas (dari dosa). Sesiapa yang mengingkarinya akan selamat. Sesiapa yang rela dan mengikutnya (dia akan binasa). Para sahabat bertanya: “Bolehkah kita memerangi mereka?”. Baginda bersabda: “Tidak, selama mereka masih mendirikan solat”.
Ketika mengupas hadis ini, Imam Nawawi dalam kitab Syarh Sahih Muslim menyatakan:
‘Dalam hadis ini terkandung mukjizat nyata mengenai kejadian yang akan berlaku pada masa depan. Peristiwa ini telah terjadi sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah. Manakala maksud dari frasa: ‘Bolehkah kita memerangi mereka?’, lalu baginda bersabda: “Tidak, selama mereka masih mendirikan solat”, adalah larangan memisahkan diri dari para khalifah, jika para khalifah itu sekadar melakukan kezaliman dan kefasikan, dan selama mereka tidak mengubah satu pun dari sendi-sendi Islam’.
Berdasarkan hadis Nabi di atas, melibatkan diri dengan pemerintahan yang telah melepaskan sendi-sendi Islam jelas merupakan perbuatan haram. Kewajipan kaum muslimin sekarang adalah berjuang dengan cara lain, bukan dengan musyarakah, untuk menegakkan kembali ketuanan Islam dan kaum muslimin.



Larangan Memilih Pemimpin Sekular
Secara umumnya, seorang muslim, sama ada pemerintah atau rakyat, dilarang menerapkan hukum-hukum selain hukum Allah. Keharaman menerapkan hukum selain hukum Allah telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil yang tegas. Allah berfirman:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
(al-Maidah:44)
Masih banyak ayat-ayat lain yang maknanya senada.
Manakala berhubung dengan penguasa, Allah telah mewajibkan Nabi Muhammad dalam kedudukannya sebagai ketua negara untuk memerintah manusia hanya dengan hukum Allah semata-mata (Lihat ayat 48 surah al-Maidah). Allah juga berfirman:
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.
(al-Maidah:49)
Ketika Rasulullah mengutus Muaz ke Yaman, baginda bertanya kepada Muaz: “Dengan apa kamu akan memutuskan sebarang perkara?”. Jawab Muaz: ‘Dengan Kitabullah’. Rasulullah bertanya lagi: “Jika kamu tidak menemuinya?” Muaz menjawab: ‘Dengan Sunnah Rasulullah’. Rasulullah kembali bertanya: “Jika kamu tidak menemuinya?” Muaz menjawab: ‘Saya berijtihad dengan pendapat saya’.
Mendengar jawapan yang sangat bijak ini, Rasulullah terus memuji Allah : “Segala pujian bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan RasulNya pada sesuatu yang dicintai Allah dan RasulNya”.
Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa seorang ketua negara wajib mengatur urusan rakyat hanya dengan peraturan Islam semata-mata. Dia dilarang mengatur urusan rakyat dengan hukum-hukum kufur.
Dari sini dapat difahami bahawa seorang muslim dilarang memilih pemimpin yang berhasrat menerapkan hukum kufur. Sebab, memilih pemimpin yang akan menerapkan hukum kufur sama maknanya dengan membuka jalan bagi penerapan hukum-hukum kufur itu sendiri. Oleh itu, dalam konteks pilihan raya umum yang akan datang, seorang muslim dilarang memilih seorang ketua kerajaan yang terang-terang membuka jalan bagi penerapan hukum sekular yang kufur. Seorang muslim hanya diizinkan memilih ketua kerajaan yang mempunyai komitmen yang kuat untuk menerapkan syariah Islam, baik di peringkat peribadi, masyarakat mahupun negara. Ini hanya dapat diwujudkan apabila kaum muslimin hidup dalam pimpinan seorang khalifah dan berada dalam sistem Khilafah Islamiyah yang menjadikan akidah dan syariah Islam sebagai sendi bermasyarakat dan bernegara. Wallahu a’lam.

No comments: