Sunday 12 June 2011

MEMBAWA DAKWAH: TUGAS UTAMA NEGARA ISLAM (DAULAH ISLAM)

Negara Islam (Khilafah), atau disebut juga dengan Imamah, adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan hukum-hukum syariah Islam dan membawa risalah Islam ke seluruh penjuru dunia (An-Nabhani, Nidzamul Hukm fil Islam, muka 34).
Berdasarkan definasi di atas,Negara Islam (Khilafah) merupakan institusi eksekutif politik (kiyan siyasi tanfizi) yang mempunyai dua tugas utama. Pertama: Menegakkan dan menerapkan hukum-hukum syariah di dalam negeri. Kedua: membawa risalah Islam ke seluruh penjuru dunia menerusi dakwah dan jihad.
Imam Taqiuddin An-Nabhani menggariskan dalam bukunya 'Masyru' Dustur' berkenaan tugas kedua Negara Khilafah iaitu fasal 11: "Membawa dakwah Islam adalah tugas utama negara" (muka 45).

Pengertian Dakwah
Dakwah berasal daripada bahasa Arab, ad-da'wah yang ertinya adalah menyeru, mengajak,mengundang dan memanggil dengan makna menyampaikan sesuatu kepada orang lain untuk mencapai tujuan tertentu. Secara istilah, dakwah adalah satu strategi menyampaikan nilai-nilai Islam kepada umat manusia demi mewujudkan peraturan hidup yang berlandaskan iman dan realiti hidup yang islami (Psikologi Dakwah,muka 29).
Ahmad Mahmud (1995:23) mendefinasikan dakwah sebagai sebuah aktiviti untuk menjadikan seseorang cenderung dan senang hati. Jadi, berdakwah kepada Islam ertinya berusaha menjadikan orang yang didakwah cenderung dan merasa senang dengan Islam.
Oleh itu, dakwah Islam tidak cukup hanya dengan perkataan sahaja, namun harus meliputi apa sahaja yang dapat menjadikan seseorang cenderung dan senang, iaitu perkataan dan sekaligus perbuatan. Di dalam membawa dakwah Islam harus dilakukan dengan menggunakan dua bahasa sekaligus, iaitu bahasa perkataan (lisan al-maqal) dan bahasa tindakan (lisan al-hal). Allah berfirman:
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal salih dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (Fussilat:33).
Ertinya, semasa seseorang menyeru kepada Allah, yakni menyeru kepada syariah Allah, maka dia harus menjadi contoh atas apa yang dia serukan, supaya dapat memberi manfaat pada diri sendiri dan sekaligus pada orang lain (Ibnu Katsir, Tafsir Quran al-Azim). Malah dengan pemberian contoh ini akan memperjelaskan hakikat ajaran atau konsep Islam yang dia serukan agar seseorang menjadi cenderung dan senang (Mahmud, Da'wah ilal Islam, muka 23).

Kewajipan Membawa Dakwah
Dakwah sebagaimana definasi di atas, adalah sebuah aktiviti untuk menjadikan seseorang cenderung dan senang. Setiap orang yang berakal tentu bersetuju bahawa sebaik mana pun objek/bahan dakwah, namun jika tidak pernah dipromosikan, maka tidak ada orang yang akan mengenalinya, apalagi cenderung dan senang padanya.
Begitulah dengan Islam. Sebab, tidak dapat dibayangkan ada orang akan mengenali Islam, tanpa ada dakwah untuk memperkenalkannya. Tidak dapat dibayangkan Islam akan memiliki pengaruh, tanpa ada dakwah untuk mewujudkannya. Tidak dapat dibayangkan Islam akan tegak tanpa ada dakwah untuk menegakkannya. Akhir sekali, tidak dapat dibayangkan Islam akan tersebar dengan kuat, tanpa ada dakwah untuk menyebarkannya.
Ketika aktiviti dakwah tidak ada, maka Islam tidak akan kuat, tersebar dan terpelihara, serta tidak akan tegak hujjah atas makhluk-Nya. Sebaliknya dengan dakwah, Islam akan kembali kuat dan kembali wujud kemuliaannya; dan dengan dakwah pula, Islam akan tersebar di tengah-tengah seluruh umat manusia, sehingga agama itu semata-mata hanya untuk Allah, dan aturan kehidupan dunia tidak rosak seperti sekarang ini (Da'wah ilal Islam, muka:24). Oleh itu, membawa dakwah merupakan satu kewajipan.
Apalagi tidak sedikit ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang menyatakan kewajpan membawa dakwah kepada Islam. Di antaranya firman Allah:
"Hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyerukan kebajikan, menyuruh kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beruntung" (Ali Imran:104)
Imam At-Tabari menjelaskan ayat ini: 'Hendaklah ada di antara kamu, wahai orang-orang Mukmin, segolongan umat yang menyeru manusia kepada kebajikan, yakni kepada Islam dan syariah-syariahnya' (At-Tabari, Jami'ul Bayan fi Ta'wil al-Qur'an).
Allah juga berfirman:
"Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepada kamu dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran (kepadanya)" (Al-An'am:19)
Ayat ini menjelaskan bahawa siapa sahaja yang telah sampai kepadanya Al-Quran, samada orang Arab, bukan Arab ataupun orang lain, berkewajipan untuk menyampaikannya kepada orang lain, dan kewajipan ini tetap berlaku sampai Hari Kiamat (Al-Baghawi, Tafsir al-Baghawi).
Rasulullah saw bersabda:
نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مَقَالَتِي فَوَعَاهَا وَحَفِظَهَا وَبَلَّغَهَا فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ
"Allah menyinari seorang hamba yang mendengar perkataanku, lalu dia menghafal, memahami dan menyampaikannya. Tidak sedikit orang yang menyampaikan fikih itu adalah orang yang tidak faqih; tidak sedikit pula orang menyampaikan fikih kepada orang yang lebih faqih darinya". (asy-Syafie, Musnad asy-Syafie, muka 413)
Semua nas ini menunjukkan bahawa membawa dakwah Islam adalah wajib. Kewajipan membawa dakwah Islam ini bersifat umum mencakupi seluruh kaum Muslimin dan termasuk juga Negara Islam (An-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, muka 46).


Membawa Dakwah: Tugas Utama Negara
Membawa dakwah Islam, di samping merupakan kewajipan kaum Muslimin, juga menjadi kewajipan negara. Membawa dakwah Islam adalah merupakan penerapan syariah dalam hubungan luar negara. Bahkan ia merupakan salah satu hukum syariah yang wajib diterapkan oleh negara sebagaimana syariah wajib diterapkan oleh individu. Bezanya, membawa dakwah Islam bagi negara merupakan dasar yang menjadi asas dalam melakukan hubungan dengan negara-negara lain. Ertinya, membawa dakwah Islam merupakan dasar bagi setiap aktiviti yang berkaitan dengan politik luar negara Negara Islam (Khilafah). Dengan demikian, membawa dakwah Islam merupakan tugas utama Negara Islam (Muqaddimah ad-Dustur, muka 45).
Dalil bahawa membawa dakwah Islam merupakan kewajipan dan tugas utama negara adalah sabda Rasulullah saw:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَيُؤْمِنُوا بِي وَبِمَا جِئْتُ بِهِ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ
"Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan - yang berhak disembah - selain Allah serta mereka beriman kepadaku dan syariah yang aku bawa. Apabila mereka telah melakukannya maka darah dan harta mereka terpelihara di sisiku, kecuali dengan haknya, sementara hisab mereka terserah kepada Allah". (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini merupakan dalil kewajipan membawa dakwah Islam bagi negara. Membawa dakwah dalam perkara ini adalah jihad yang akan berlangsung sepanjang zaman hingga umat Muhammad yang terakhir memerangi Dajjal. Rasulullah saw bersabda:
والجهاد ماض منذ بعثنى الله عزوجل إلى ان يقاتل آخر امتى الدجال لا يبطله جور جائر ولا عدل عادل
"Jihad itu tetap berlangsung sejak Allah SWT mengutusku hingga umatku yang terakhir memerangi Dajjal. Kewajipan jihad ini tidak akan gugur oleh kezaliman pemimpin yang zalim, dan tidak pula oleh keadilan pemimpin yang adil". (HR Abu Daud)
Kedua hadis ini menunjukkan bahawa membawa dakwah Islam merupakan aktiviti yang berlangsung terus-menerus tanpa terputus, baik bersama pemimpin yang adil mahupun bersama pemimpin yang zalim selama dia masih seorang Muslim. Sebab, membawa dakwah Islam merupakan tugas utama negara sehingga dalam keadaan apa sekalipun negara harus terus-menerus melakukannya.
Rasulullah saw sejak wujud kestabilan di Madinah, iaitu wujud kestabilan dalam negeri serta terpelihara, baginda terus-menerus melakukan jihad, mengirimkan para utusan kepada para penguasa negara lain, dan mengadakan berbagai perjanjian. Semua ini baginda lakukan dalam rangka menyampaikan Islam dan membawa dakwah Islam kepada manusia. Ini diceritakan dalam hadis riwayat Muslim dari Anas bin Malik ra:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَبَ إِلَى كِسْرَى وَإِلَى قَيْصَرَ وَإِلَى النَّجَاشِيِّ وَإِلَى كُلِّ جَبَّارٍ يَدْعُوهُمْ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى
"Nabi Muhammad saw menulis surat kepada Kisra (pemerintah Parsi), Kaisar (pemerintah Romawi), Najasyi dan kepada setiap pemimpin besar, untuk menyeru mereka semua kepada Allah SWT".
Begitu juga dengan Khulafa'ur Rasyidin dan para khalifah sesudahnya. Mereka sentiasa melakukan aktiviti yang sama seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw selama baginda menjadi ketua negara. Dengan demikian, dalil yang menunjukkan bahawa membawa dakwah Islam merupakan tugas utama negara, adalah sunnah Rasulullah saw dan Ijmak Sahabat (Muqaddimah Dustur, muka 47).
Berkaitan tugas utama negara yang kedua ini, Imam Taqiuddin Abu Bakar di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar menyatakan: "Bahawa negara dianjurkan untuk memperbanyakkan operasi jihad, kerana banyak ayat Quran dan hadis berkaitannya. Paling minima negara wajib melakukan sekali jihad dalam setahun. Sebab, sejak diutuskan, Rasulullah belum pernah meninggalkannya setiap tahun. Sedangkan meneladani Rasulullah saw itu hukumnya wajib".
Apabila negara bersungguh-sungguh dan serius dalam menjalankan tugas utamanya yang kedua ini, iaitu membawa dakwah Islam, maka seluruh dunia akan disinari cahaya Islam. Dengan ini impian wujudnya aturan kehidupan dunia yang penuh dengan kedamaian dan kasih sayang, bukan sekadar khayalan melainkan kenyataan. Persoalannya sekarang, sudah adakah negara yang akan menjalankan tugas ini? Jika belum maka kewajipan kita adalah segera mewujudkannya.

No comments: