Friday 25 February 2011

SAMBUNGAN 1: APAKAH KANDUNGAN UTAMA KALIMAH LA ILAH ILLA LAAH?


   Syiar “ربنا الله “ maksudnya ‘Tuhan kami ALLAH’ adalah satu bentuk pengistiharan pemberontakan serta penentangan terhadap  penguasa yang zalim di dunia ini.
    
 Oleh kerana matlamat inilah Nabi Musa a.s. menghadapi ancaman akan dibunuh, dan bangkit seorang pemuda yang beriman daripada kalangan kerabat keluarga Firaun lalu berkata:  


{Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: Tuhanku ialah ALLAH?!
                                                                                         (Al-Mu’min @Ghaafir:28).   

 Oleh kerana matlamat ini jugalah Nabi kita Muhammad salallahu alaihi wa salam serta para sahabat baginda menghadapi penindasan, penyeksaan dan pengusiran dari tanah air dan harta-benda..
 
{Mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, semata-mata kerana berkata: Tuhan kami ialah ALLAH}
 

                                                                                                               (Al-Hajj:40).  

UNSUR KEDUA:

Tidak Mengambil Selain ALLAH Sebagai Penolong (Wali)
     
  Makna bahagian kedua “Tidak mengambil selain ALLAH sebagai penolong (wali)” iaitu tidak sekali-kali menyerahkan AL-WALA’ (kesetiaan) kepada selain dari ALLAH dan partiNya. Bukanlah daripada ajaran Tauhid, seseorang mengaku bahawa Tuhannya adalah ALLAH, kemudian dia menghalakan kesetiaan, cinta serta sokongannya kepada selain ALLAH, barangkali kepada musuh-musuh ALLAH.
 Firman ALLAH: 

{Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin, pelindung, penolong). Dan sesiapa yang melakukan sedemikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari ALLAH dalam sesuatu apa pun.}                                          
                                                                                                              (Ali Imran:28).

  Sesungguhnya pengertian Tauhid yang hakiki bagi sesiapa yang beriman bahawa Tuhannya adalah ALLAH ialah: menyerahkan sepenuh kesetiaannya kepada ALLAH serta golongan yang diarahkan oleh ALLAH agar diberikan kesetiaan kita, sebagaimana firmanNya: 

{Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah ALLAH, RasulNya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dalam keadaan mereka tunduk (menjunjung perintah ALLAH). Dan sesiapa yang menjadikan ALLAH dan RasulNya serta orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ajaran) ALLAH itulah yang tetap menang.}
                                                                                                       (Al-Maidah:55-56).


  Di sini Al-Quran mencela golongan musyrikin apabila mereka membahagi-bahagikan (kesetiaan) hati mereka antara ALLAH Ta’ala dengan tuhan-tuhan tandinganNya yang mereka ambil daripada berhala-berhala, lalu mereka memberikan cinta dan kesetiaan sama sebagaimana mereka berikan kepada ALLAH.
 
{Ada di antara manusia yang mengambil selain dari ALLAH (menjadi) sekutu-sekutu ALLAH, mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai ALLAH; sedangkan orang-orang yang beriman itu sangat-sangat mencintai ALLAH s.w.t.
                                                                                          (Al-Baqarah:165).                                                                                                                       
 Sesungguhnya ALLAH tidak akan menerima sebarang bentuk perkongsian di dalam hati-hati hamba-hambaNya yang beriman. Maka tidak boleh dijadikan sebahagian hati untuk ALLAH dan sebahagian lagi untuk Thaghut, atau sebahagian untuk Khaliq (Tuhan yang menciptakan-ALLAH) dan sebahagian lagi untuk makhluk. Seluruh kesetiaan dan hati wajib diserahkan kepada ALLAH, Tuhan seluruh alam ciptaanNya serta semua urusan. Inilah perbezaan di antara orang mukmin dengan orang musyrik, orang mukmin menyerahkan diri kepada ALLAH, sepenuh Ubudiyah (pengabdian diri) bagi ALLAH semata-mata, sedangkan orang musyrik membahagikan (kesetiaan dan pengabdian) antara ALLAH dan selain ALLAH:



{Allah memberikan satu contoh perbandingan: seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa tuan-tuan yang berkongsi dan tuan-tuan itu saling bertentangan tabiat serta kemahuan, dengan seorang hamba yang dimiliki oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya? (Tentulah tidak sama). Segala pujian hanya bagi ALLAH. Bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) itu tidak mengetahui}
                                                                                                             (Az-Zumar:29).
 


No comments: