Thursday 17 February 2011

WAHAI MUSLIM, APA ITU ISLAM?


ISLAM : CARA DAN SISTEM HIDUP YANG BERLANDASKAN AKIDAH
 

  
 Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh. Salam sejahtera buat para pembaca budiman. Kini Nizamul Hayah tampil untuk menyuarakan aspirasi-aspirasi perjuangan Islam; iaitu sebuah Ad-Din, cara hidup yang syumul, sempurna dan amat kita bangga-banggakan. Subhanallah , segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan bagi kami nikmat Islam dan Iman.

Apa Itu Islam?

   Al-Imam Taqiyuddin An-Nabhani , seorang ulama umat ini telah mendefinasikan ISLAM: “ Cara hidup/Ad-Din yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW, yang mengatur hubungan manusia dengan Khaliq (Pencipta)nya, hubungan manusia dengan dirinya, dan hubungan manusia dengan manusia lain. Hubungan dengan Khaliqnya tercakup dalam aspek akidah dan ibadah. Hubungan manusia dengan dirinya tercakup dalam aspek akhlak, makanan dan pakaian. Hubungan di antara sesama manusia pula tercakup dalam aspek mu’amalah dan uqubat (hukuman jenayah)”.
(petikan buku Nizamul Islami)

  Manakala Al-Imam Hassan Al-Banna, seorang mujaddid yang tidak asing lagi bagi kita memperkenalkan: “ Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh bidang kehidupan, iaitu:
1)     Negara dan tanah air atau kerajaan dan umat.
2)     Akhlak dan kekuatan atau rahmah dan keadilan.
3)     Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.
4)     Material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan.
5)     Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
6)     Sepertimana ia adalah akidah yang sebenar dan ibadah yang sahih, sama sahaja tanpa ada perbezaan.”
(Prinsip pertama dari usul 20)



  Oleh itu Nizamul Hayah merumuskan bahawa Islam adalah sebuah sistem kehidupan bagi manusia yang diciptakan oleh Allah, untuk menjalani kehidupannya di dunia ini. Sistem ini mengatur hubungan tiga hala manusia iaitu dengan Penciptanya, dengan dirinya sendiri, dan dengan sesama manusia. Ini dapat diperincikan dengan memahami bahawa hubungan manusia dengan Khaliqnya adalah mencakupi akidah yang sebenar dan ibadah yang sahih. Manakala hubungan manusia dengan dirinya sendiri terkandung dalam akhlak, makanan dan pakaian. Hubungan sesama manusia pula merangkumi aspek negara, kerajaan dan umat, kebudayaan, ilmu dan undang-undang, material dan kekayaan, serta jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.

No comments: