Friday 25 February 2011

SAMBUNGAN 2: APAKAH KANDUNGAN UTAMA KALIMAH LA ILAHA ILA LAAH?



UNSUR KETIGA:
Tidak Mencari Hukum Selain Hukum ALLAH
Makna bahagian ketiga “Tidak mencari hukum selain hukum ALLAH” iaitu: Tidak tunduk kepada segala bentuk hukum-hukum selain dari hukum ALLAH, dan segala perintah selain dari perintah ALLAH, dan semua bentuk sistem hidup selain dari sistem hidup yang ditetapkan oleh ALLAH, dan semua perundangan selain dari Syariat ALLAH, dan semua bentuk undang-undang ciptaan manusia atau tradisi atau ikutan atau manhaj (kaedah atau pendekatan) atau fikrah (pemikiran) atau nilai yang tidak dibenarkan oleh ALLAH. Sesiapa yang menerimapakai mana-mana bahagian yang disebut di atas samada ketika dia menjadi pemerintah (atau penggubal undang-undang) atau pun semasa dia menjadi rakyat, tanpa kebenaran daripada ALLAH, maka dia telah membatalkan bahagian yang paling asas daripada unsur-unsur Tauhid, kerana dia mencari hukum selain dari hukum ALLAH, sedangkan Hak Menetapkan Undang-undang serta Syariat Yang Tertinggi merupakan hak mutlak ALLAH semata-mata. Firman ALLAH:

{Hukum itu tidak lain hanya, bagi ALLAH. Dia menyuruh supaya kamu jangan menyembah, melainkan kepadaNya. Demikianlah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui}(Yusuf:40).

Bahagian ini sebenarnya merupakan tuntutan mengEsakan ALLAH dari aspek rububiyah dan ilahiyyah. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan seseorang dari hamba-hamba ALLAH (manusia) sebagai penggubal syariat dan perundangan, yang berkuasa memberikan arahan serta larangan, menghalalkan dan mengharamkan mengikut apa yang individu tersebut inginkan, dan dia berikan hak ketaatan kepada individu tersebut, sekalipun individu tersebut menghalalkan perkara-perkara haram, seperti perbuatan berzina, riba’, arak, perjudian, mengharamkan perkara-perkara halal, seperti talak (cerai nikah) dan poligami, menggugurkan kewajipan seperti Khilafah, Jihad, Zakat, amar makruf nahi munkar serta pelaksanaan hukum-hukum ALLAH. Sesiapa yang menjadikan individu atau golongan yang mempunyai ciri-ciri yang disebut di atas sebagai pemerintah serta penggubal undang-undang, maka hakikatnya dia telah menjadikan individu atau golongan tersebut tuhan yang dipatuhi setiap perintahnya, serta diikuti setiap peraturannya. Ini disebut dalam Quran dan dijelaskan pula oleh sunnah. Surah At-Taubah menyebut berkaitan dengan Ahli Kitab :

{Mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) menjadikan ahli-ahli agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain ALLAH, dan Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan}(At-Taubah:31).





Kenapa mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) dikatakan menjadikan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan padahal mereka tidak sujud dan beribadat kepada pendita-pendita itu sama seperti menyembah berhala-berhala?


Persoalan ini dijawab sendiri oleh Rasulullah salalahu alaihi wa sallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi, dan Ibnu Jarir iaitu kisah masuk Islam Aadi Ibnu Hatim At-Thoiie, yang telah menganut agama Nasrani pada zaman jahiliyyah. Beliau datang ke kota Madinah, dan orang ramai heboh memperkatakan mengenai kedatangannya. Dia masuk untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan di lehernya tergantung sebuah kayu salib yang diperbuat daripada perak. Ketika itu Baginda sedang membaca ayat ini:
{Mereka menjadikan ahli-ahli agama dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain ALLAH…}. Maka berkata Aadi: kami tidak sekali-kali menyembah mereka (pendita-pendita itu)! Nabi s.a.w pun membalas: “Memang kamu menyembah mereka, kerana mereka telah mengharamkan yang halal serta menghalalkan yang haram, kemudian arahan mereka ini dipatuhi. Itulah satu bentuk ibadat kepada mereka”.
Ibnu Kathir menyebut: beginilah kata Huzaifah bin Al-Yaman, dan Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini:
Bahawa ahli-ahli kitab itu mengikuti pendita mereka dalam perkara-perkara yang mereka halalkan dan haramkan. As-Suddiy pula menyebut: orang ramai meminta nasihat padahal pendita-pendita itu tidak mengendahkan kitab ALLAH yang mereka sembunyikan di belakang mereka. Berkenaan perbuatan mereka ini ALLAH berfirman: {Padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa} iaitulah Tuhan yang jika Dia menghalalkan sesuatu maka perkara itu menjadi Halal, dan apa-apa yang Dia haramkan maka perkara itu Haram, dan apa-apa bentuk peraturan yang diletakkanNya wajib diikuti, dan hukum-hakamNya wajib dilaksanakan, Tiada Tuhan selainNya, Maha Suci ALLAH dari apa yang mereka persekutukan.

No comments: