Thursday 13 September 2012

MENELITI SEMULA KONSEP TAHALUF SIYASI



Di pentas politik kini antara istilah yang popular adalah tahaluf siyasi. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ini? Dalam bahasa Arab, tahaluf berasal dari kata hilfun yang bererti perjanjian (mu’ahadah) atau kesepakatan (mu’aqadah). Siyasi bererti politik. Dalam bahasa Latin ia disebut co-alescare yang bermaksud: tumbuh menjadi alat penggabung.
Tahaluf siyasi bermaksud ikatan atau gabungan antara dua atau lebih negara untuk mencapai tujuan tertentu. Ia juga boleh diertikan sebagai gabungan beberapa parti dalam parlimen untuk mendapat majoriti yang dapat membentuk kerajaan.

Tahaluf siyasi anehnya berlaku antara parti yang menamakan dirinya parti Islam dan parti sekular. Landasan kerjasama hanyalah pada persamaan platform, walaupun fakta menunjukkan bahawa faktor yang dominan hanyalah kepentingan sementara. Platform yang dijadikan dasar adalah sama-sama mengembangkan demokrasi dan membentuk kerajaan yang kuat untuk meneguhkan dasar-dasar yang dibuat. Tidak dinyatakan pula dalam kesepakatan itu berjuang bersama untuk menegakkan hukum Allah (Syariat Islam).

Mengukuhkan Hukum Sekular
Timbul pula persoalan: bolehkah bekerjasama dalam rangka mewujudkan platform demokrasi sekular tersebut?
Inti dari demokrasi adalah kedaulatan berada di tangan rakyat. Penggubalan pelbagai undang-undang diserahkan kepada Parlimen. Ertinya: Pihak yang memiliki autoriti untuk menghalal dan mengharamkan sesuatu, menentukan sama ada sesuatu perkara itu terpuji atau tercela, menetapkan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh di tengah-tengah masyarakat adalah para wakil rakyat di Parlimen.
Kerjasama parti Islam dengan parti sekular adalah kerjasama untuk mengukuhkan hukum yang berada di tangan manusia, sedangkan pihak yang memiliki autoriti untuk menentukan hukum hanyalah Allah SWT. Amat nyata sekali firman Allah:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
(al-Maidah:50)
Allah SWT juga berfirman:
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّـهِ ۚ
Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah.
(Yusuf:40)
Kerjasama yang seumpama ini merupakan aktiviti yang diharamkan oleh Islam. Malah Islam menganggapnya sebagai masalah ketuhanan (rubbubiyah). Allah SWT menegaskan:
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّـهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ
Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam.
(at-Taubah:31)
Berkaitan dengan persoalan ini, Imam Ibnu Kathir menceritakan bahawa Adi bin Hatim pernah datang ke Madinah menemui Rasulullah. Ketika itu Adi memakai kalung salib perak. Melihat keadaan tersebut, Nabi Muhammad membaca ayat di atas (yang bererti): Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah. Adi pun mengulasnya: ‘Sesungguhnya mereka tidak pun menyembah ahli-ahli agama itu’. Rasulullah menyanggahnya: “Memang mereka menyembah ahli-ahli agama. Ahli-ahli agama itu telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, lalu mereka mengikuti ahli-ahli agama itu. Begitulah mereka menyembah ahli-ahli agama itu”. Lalu baginda mengajak Adi masuk Islam dan beliau pun menyahut seruan Nabi SAW dengan mengucapkan kalimah syahadah.
Islam juga menganggap kerjasama seperti yang dikemukakan di atas sebagai satu bentuk pengukuhan berhukum kepada thaghut, yang kaum muslimin telah diperintahkan agar mengingkarinya sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat Quran:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَن يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
(an-Nisa:60)

Kerjasama Dalam Kemungkaran
Kesimpulannya, nyata sekali bahawa tahaluf siyasi merupakan kesepakatan/perjanjian yang bertujuan menegakkan serta mengukuhkan hukum manusia yang amat dilarang oleh Islam. Padahal Rasulullah menegaskan:
لَا حِلْفَ فِي الْإِسْلَامِ
“Tidak boleh ada perjanjian (yang batil) dalam Islam”.
Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad.
Imam Nawawi menghuraikan maksud hadis ini dengan menyatakan: “Yang dimaksudkan dengan hilfun yang dilarang dalam hadis di atas adalah perjanjian untuk saling mewarisi (yang ada pada masa awal hijrah bagi orang-orang yang saling dipersaudarakan oleh Rasulullah) dan perjanjian pada segala yang dilarang oleh syariat”.
An-Nawawi, Syarh Muslim, jilid 3/302.
Jelaslah dilihat dari aspek kesepakatan untuk mengembangkan demokrasi sekular, kerjasama parti Islam dengan parti sekular merupakan perbuatan yang bertentangan dengan Islam.
Pihak-pihak yang bersepakat pun sememangnya saling bekerjasama dalam menjalankan dan mempertahankan platform sekular itu. Aktiviti seperti ini bukanlah merupakan tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, tetapi tolong-menolong dalam dosa dan keharaman. Ini kerana aktiviti demikian bertentangan dengan firman Allah:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(al-Maidah:2)
Imam Ibnu Kathir menjelaskan ayat di atas: “Allah telah memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman untuk tolong-menolong dalam mengerjakan perbuatan baik, iaitu al-birr, dan meninggalkan kemungkaran, iaitu at-taqwa. Allah juga melarang mereka tolong-menolong dalam kebatilan, dosa dan perkara-perkara yang diharamkan”.
Tafsir Ibnu Kathir, jilid 2/12-13.

Mencampuradukkan Haq Dengan Batil
Dalam realitinya, tahaluf ini sudah tidak mengambilkira ideologi parti, sama ada Islam atau sekular. Intipati dari tahaluf ini adalah kompromi. Akhirnya, kompromi pun tidak mengambilkira ideologi parti. Malah seringkali ideologi parti dikorbankan, digantikan dengan pragmatisme serta kepentingan sementara waktu. Satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam setiap kompromi adalah saling mengorbankan sebahagian keyakinan serta kepentingan sendiri dengan menerima sebahagian keyakinan serta kepentingan rakan kongsi tahaluf. Malangnya, kompromi dalam tahaluf siyasi terjadi antara hukum Islam dan hukum sekular, mencampurkan yang halal dengan yang haram, perkara haq dengan perkara batil. Seringkali parti Islam tidak berani walaupun sekadar menyebut syariat Islam. Ini bertentangan dengan perintah Allah:
وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
(al-Baqarah:42)
Adh-Dhahak menerangkan makna ayat ini: “Jangan kamu mencampurkan hak dengan batil, kebenaran dengan kedustaan”.
Abu Aliyah menyatakan: “Jangan kamu mencampurkan haq dengan batil dan sampaikanlah peringatan kepada hamba Allah, umat Nabi Muhammad. Jangan kamu mencampuradukkan antara Yahudi dan Nasrani dengan Islam, padahal kamu mengetahui bahawa agama Allah adalah Islam, sedangkan Yahudi dan Nasrani adalah rekaan manusia, bukan dari Allah”.
(Tafsir Ibnu Kathir, jilid 1)
Lebih tegas lagi, Syeikh ‘Atha Abu Rasytah menerangkan kandungan ayat ini: “Ayat ini melarang dua perkara. Pertama: mencampuradukkan haq dengan batil. Kedua: menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui kebenaran itu. Sesungguhnya perbuatan mencampuradukkan hak dengan batil adalah satu penyesatan, manakala menyembunyikan kebenaran bermakna menutup serta mengabaikannya. Kedua-duanya merupakan dosa besar dalam agama Allah ini”.
(at-Taisir fi Usul at-Tafsir, muka 42)
Dengan demikian, tahaluf parti Islam dengan parti sekular adalah haram di sisi syarak.

Pengesahan Parti Sekular
Salah satu implikasi tahaluf parti Islam dengan parti sekular adalah kerjasama, saling membantu, saling mempertahankan, dan saling membela dalam persepakatan. Hakikatnya ada dua perkara. Pertama: Pengesahan, pengakuan serta persetujuan parti Islam terhadap kewujudan dan kesahihan parti sekular. Kedua: Pengukuhan parti sekular dengan menjadi teman rapat (bithanah) parti Islam. Padahal Allah mewajibkan setiap parti menjadikan dasarnya adalah Islam. Allah menegaskannya:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Ali Imran:104)
Dalam Tafsir Jalalain dinyatakan bahawa makna menyeru al-khair adalah menyeru al-Islam. Selaras dengan kenyataan ini, Imam Ibnu Kathir sewaktu mentafsirkan ayat ini memetik riwayat dari Abu Jaafar al-Baqir, bahawa Rasulullah membaca surah Ali Imran ayat 104 lalu bersabda: “al-Khair adalah mengikuti al-Quran dan sunnahku”.


Ayat ini menegaskan bahawa puak/parti yang diperintahkan dalam ayat ini mestilah menjalankan dua tugas: Menyeru Islam secara keseluruhan dan melakukan amar makruf nahi munkar. Salah satu bentuk kemungkaran adalah sekularisme. Dengan adanya tahaluf siyasi ini, sebagai ganti melakukan amar makruf nahi munkar terhadap parti sekular, akhirnya parti Islam berganding bahu dan menjaga pula kelangsungan parti sekular malahan memberikan kesahihannya. Ini adalah bertentangan dengan hukum Islam.
Kesimpulannya, hasil daripada kajian hanya beberapa realiti sudah cukup menjelaskan bahawa haram bagi parti Islam bertahaluf dengan parti sekular. Semoga Allah menunjukkan umat Nabi Muhammad ini ke jalanNya yang lurus.

No comments: