Sunday 3 February 2013

HARAKAH ISLAM DAN ISU PEMBEBASAN BUMI UMAT ISLAM

Petikan buku ‘Awlawiyat Harakah Islamiah’ karya Dr. Yusuf Qaradawi.


Suatu fakta yang tidak akan dibantah oleh mana-mana orang yang bersikap jujur adalah: Gerakan Islam telah menjadikan isu pembebasan bumi Islam – keseluruhannya – perhatian terbesar sejak penubuhannya.
Saya telah mendengar Imam Syahid Hassan al-Banna berkata di dalam salah satu ceramah beliau: Sesungguhnya usaha dan jihad kita adalah tertumpu sekitar dua isu utama: fikrah Islam, dan bumi Islam.
Punca beliau menggabungkan kedua-dua isu ini adalah: kerana fikrah tidak akan menjadi kukuh dan kuat melainkan di bumi yang bebas merdeka di mana nilai-nilai Islam berkuasa, kalimah Islam ditinggikan, dan Syariah Islam memerintah.
Dari sinilah pentingnya “Negara Islam” yang di dalamnya ajaran Islam hidup, darinya gerakan Islam bermula dan terus memimpin dunia.
Oleh itu ahli-ahli fiqh Islam telah bersepakat bahawa wajib mempertahankan setiap negeri yang diserang oleh golongan kuffar, di mana jihad ini menjadi fardu ain ke atas setiap penduduknya, dan seluruh kaum muslimin adalah dituntut menolong mereka dengan harta, senjata dan tentera apabila diperlukan, sehingga mereka dapat membebaskan negeri mereka dari semua golongan perampas yang masuk ke sana.
Oleh itu gerakan Islam tidak ada peluang sama sekali untuk berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati di hadapan mana-mana bahagian negeri kaum muslimin yang diduduki oleh penjajah asing.
Maka tidaklah aneh apabila Pusat Utama Ikhwan Muslimin di Kaherah telah menjadi markaz para mujahidin serta pejuang revolusi pembebasan Islam, yang bermusuhan dengan para penjajah dari seluruh pelusuk dunia Islam, dari Indonesia sampai Marakish.
Saya pernah mendengar Imam al-Banna berucap dalam salah satu persidangan bagi menerangkan tuntutan-tuntutan negeri yang Ikhwan Muslimin berjuang untuk membebaskannya. Beliau telah berbicara mengenai negeri kecil, iaitu utara dan selatan Lembah Nil (Mesir dan Sudan), berkenaan negeri besar iaitu negeri Arab yang terbentang dari Teluk Parsi sampai ke Lautan Hindi, dan berkenaan negeri terbesar iaitu dunia Islam yang terbentang dari lautan ke lautan.
Beliau menegaskan bahawa pembebasan negeri terbesar ini dari semua kuasa asing merupakan satu kewajipan ke atas seluruh kaum muslimin, dan salah satu tugas asasi Ikhwan Muslimin.
Isu pertama yang menjadi tumpuan Syahid al-Banna, yang beliau menarik perhatian kepadanya, mencetuskan kebimbangan, serta menggerakkan ummah, adalah isu bumi kenabian, bumi Israk dan Mikraj, bumi Palestin, serta bahaya Yahudi yang menantinya, pada masa di mana ramai dari pemimpin umat Islam berada dalam kelalaian terhadap konspirasi terbesar yang sedang mengancam kiblat pertama umat Islam, Masjid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya.
Berapa banyak Hassan al-Banna telah menulis artikel, memimpin demonstrasi, mengadakan persidangan, merekrut tentera, mengumpulkan senjata dan harta, demi isu Palestin.
Cukuplah apa yang dicatat oleh darah para syuhada dan tentera Islam di atas bumi Palestin pada tahun 1948 dan apa yang dirakam oleh sejarah dengan huruf yang bersinar, sebagaimana yang telah disaksikan oleh Jeneral Mawawi, dan panglima tentera Mesir yang lain, malah disaksikan oleh orang Yahudi sendiri.
Di dalam buku karya Ustaz Kamil Syarif “Ikhwan Muslimin dan Perang Palestin” terdapat lembaran-lembaran yang menceritakan jihad mulia ini, yang mengandungi peristiwa serta fakta yang mencukupi.
Inilah peranan Harakah Islam selama-lamanya, berhadapan dengan isu-isu umat Islam di timur dan barat, menentang semua penjajah, sama ada dari barat atau timur, berkulit putih atau berkulit merah.
Dari sini gerakan Islam member perhatian terhadap isu Afghanistan, yang merupakan garisan pertahanan hadapan melawan tentera Merah Komunis, sehingga sesetengah orang menyangka bahawa gerakan Islam telah melupakan isu Palestin kerana isu Afghanistan. Sebenarnya gerakan Islam tidak pernah dan tidak akan melupakan isu Palestin, malah ia adalah isu Islam yang pertama, dan pembebasannya adalah kewajipan pertama, malahan inilah yang dipercayai oleh para mujahidin Afghanistan sendiri.

Keseluruhannya isu Palestin amat berhajat agar panji Islam dijulang agar manusia berkumpul di sekelilingnya, dan bersatu di bawahnya. Ini telah berlaku sejak meletusnya Revolusi Masjid, Intifadhah, dan kadet-kadet tentera batu, yang slogannya adalah: LA ILAHA ILLALAH, ALLAHU AKBAR, dan penghabluran Gerakan Penentangan Islam yang berani serta tabah “HAMAS” yang membumikan keimanan rakyat Palestin dengan keIslamannya, bahawa ia tetap hidup dan tidak mati, dan jihadnya berterusan dibawa oleh tangan-tangan yang bercahaya, serta hati-hati yang suci sehingga datang kemenangan dengan izin Allah.
Gerakan Islam hendaklah meletakkan dirinya sebagai tentera sukarela yang direkrut untuk setiap isu Islam. Setiap kali ia mendengar panggilan maka ia segera datang.
Gerakan Islam hendaklah bersama-sama Eriteria dalam perjuangannya melawan pemerintah Salibisme Marxisme yang zalim yang mahu menelan negara ini, dan mengekalkan perhambaannya, dalam keadaan rakyatnya menjadi hamba abdi tanah di zaman perhambaan.

Gerakan Islam hendaklah bersama-sama Sudan melawan pemberontakan agen Salibisme, yang mahu memaksa fanatisme perkaumannya ke atas seluruh utara dan selatan Sudan, dan mencabut Islamnya.
Gerakan Islam hendaklah bersama-sama muslimin Filiphina melawan pemerintah fanatik Salib yang mahu menghancurkan tanaman mereka, dan tidak mencari mereka kecuali sebagai hamba yang berselerak, yang tidak mampu melakukan apa-apa.
Gerakan Islam hendaklah bersama-sama muslimin Kashmir, sehingga mereka bebas menentukan nasib mereka melalui kehendak serta pilihan mereka sendiri, sama ada bergabung dengan Pakistan, atau mereka sendiri merdeka, dan menghapuskan konspirasi penjajah India yang mahu memusnahkan identiti Islam bagi wilayah berkenaan, melalui pendidikan yang tiada agama, dan melalui sebaran kekejian serta dadah yang dijadikan pengkalan untuk menyerang Pakistan, malah seluruh dunia Islam.
Sewajarnya Harakah Islam mempunyai maklumat yang jelas mengenai setiap gerakan ini, bertemu secara langsung dengan para pimpinan serta mujahidinnya, dan berusaha berterusan untuk menyatukan saf, dengan melupakan perselisihan-perselisihan kecil demi matlamat yang besar. Sesungguhnya masalah jihad yang paling besar adalah perpecahan kelompok-kelompok jihad itu.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
(as-Saf:4)
Menjadi kewajipan gerakan Islam berusaha untuk mengerahkan umat Islam menuju isu Palestin. Ia sebagaimana gerakan Zionis telah mengerahkan orang Yahudi seluruh dunia dalam isu Israel.
Apa yang lebih utama dalam peringkat yang penting ini, yang termasuk peringkat yang penting di mana Israel mahu memindahkan orang-orang Yahudi Soviet ke bumi yang dijajah dengan melupakan penduduk asal Palestin, untuk mencapai impian lamanya mewujudkan Israel Raya yang terbentang dari Sungai Nil hingga ke Sungai Furat, yang mahukan sehingga ke Hijaz, Madinah dan Khaibar!

No comments: